‘Blueprint’ tangani sosial yang parah

Nasional
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengharapkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya berganding bahu secara serius untuk mengemukakan satu blueprint bagi menyelesaikan sosial yang semakin parah berlaku dalam institusi keluarga.

Tambahan lagi, KPWKM digalas oleh Timbalan Perdana Menteri, manakala KDN pula diterajui oleh bekas Timbalan Perdana Menteri. Kedua-duanya mempunyai keluasan pengalaman dan keprihatinan mengenai isu ini.

Keparahan sosial yang dimaksudkan adalah merujuk kepada soalan jawab secara bertulis di Dewan Rakyat bertarikh 19 Julai 2018. Soalan tersebut dikemukakan oleh Ahli Parlimen Batu Kawan kepada Menteri Dalam Negeri mengenai bilangan kes rogol, sumbang mahram, pencabulan, liwat, gangguan seksual dan keganasan rumah tangga dari tahun 2013 hingga yang terkini Mei 2018.

Secara keseluruhannya, statistik yang dikemukakan oleh KDN menunjukkan penurunan sekitar kurang 10% (2016-2017) bagi setiap kesalahan kecuali kesalahan seks luar tabii dan sumbang mahram.

Berdasarkan statistik itu juga, terdapat kebimbangan yang serius terhadap jumlah mangsa rogol, sumbang mahram dan seks luar tabii yang berusia di bawah 18 tahun.

Pada tahun 2017, jumlah mangsa rogol di bawah umur 18 tahun ialah 1,257 daripada 1,582 orang.

Jumlah mangsa sumbang mahram di bawah 18 tahun pula ialah 253 daripada 296 orang, manakala jumlah mangsa perbuatan seks luar tabii pula ialah 234 daripada 375 orang.

Selain itu, bagi kes keganasan rumah tangga, majoriti kes yang berlaku adalah terdiri daripada pasangan yang berumur 45 tahun ke bawah.

Statistik-statistik ini jelas menunjukkan tindakan ampuh perlu diambil bagi memulihkan institusi keluarga khususnya daripada masalah keparahan sosial. Lebih menyedihkan, semua kesalahan yang telah dilaporkan menunjukkan kadar penglibatan yang tinggi dalam kalangan orang Melayu.

Blueprint yang dikemukakan harus mengambil banyak aspek seperti pendidikan untuk kesedaran dan nasihat, pencegahan kesalahan dan juga penguatkuasaan undang-undang syariah.

PAS bersedia untuk turut membantu menangani kes-kes ini demi untuk menyelamatkan rakyat dan mensejahterakan Malaysia.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
12 Zulkaedah 1439 | 25 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 25/7/2018