Sambut baik kesediaan Pusat teliti RUU355

Nasional
Typography

SAYA menyambut baik jawapan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) kepada pertanyaan lisan oleh YB Marang pada 18 Julai 2018 berkenaan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 iaitu Kerajaan Persekutuan sedang meneliti fungsi dan peranan institusi agama dengan memberi keutamaan kepada aspek memperkasa Mahkamah Syariah secara menyeluruh meliputi kompetensi Hakim dan Pendakwa Syarie, aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah.

Kerajaan Negeri Kelantan telah pun melaksanakan usaha-usaha tersebut dengan meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang diluluskan dalam sidang Dun Kelantan pada Julai 2017. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri Kelantan juga telah mengkaji beberapa Enakmen bagi dicadangkan untuk pindaan iaitu Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan 1982 dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Kelantan 2002.

Semua ini adalah usaha dan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan bagi memartabatkan Mahkamah Syariah di Kelantan khususnya dan Malaysia amnya. Saya berharap Kerajaan Persekutuan mengambil serius untuk menyegerakan dan memberi keutamaan kepada usul pindaan Akta tersebut agar dibawa dalam Persidangan Dewan Rakyat pada kali ini bagi menjayakan hasrat murni demi kebaikan umat Islam di Malaysia.

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
(Dato' Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan
12 Zulkaedah 1439H/25 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 25/7/2018