Kesultanan Brunei berkembang, luas wilayah

Nasional
Typography

BRUNEI yang telah menerima pengaruh Islam sejak akhir abad ke-10M telah bangkit sebagai sebuah Kerajaan Islam pada pertengahan abad ke-13M dengan Islam-nya Raja mereka, Awang Alak Betatar pada 1368M. Setelah mendirikan kerajaan pada 1363M, Brunei yang merupakan sebuah pelabuhan yang strategik di Borneo, kerana kedudukannya yang mengadap Laut China Selatan dan terletak di tengah-tengah laluan perdagangan antara Melaka (Tanah Melayu), China dan Kepulauan Filipina, telah menjadi tumpuan para pedagang khususnya dari China dan Arab. Hubungan ini telah menyebabkan kedudukan dan pengaruh Islam menjadi semakin baik kerana para pendakwah dari China dan Arab terlibat sama dalam perdagangan di Brunei. Hubungan lama umat Islam di China dan Arab dengan Brunei telah mempercepatkan proses dakwah ini. Dengan pengaruh para pendakwah ini, Awang Alak Betatar selaku pemerintah Brunei telah memeluk Islam dan meletakkan Brunei sebagai wilayah terbaru Islam di rantau Nusantara.

Peng-Islaman Brunei ini kemudiannya membawa kepada kebangkitan Brunei sebagai sebuah kuasa politik yang besar di sebelah Timur Nusantara, serentak dengan penguasaan Empayar Melaka di Barat, Kerajaan Demak di Selatan dan Champa di Utara. Keadaan ini telah menyebabkan tularnya pengaruh Islam di setiap penjuru Nusantara. Brunei sendiri sejak zaman Sultan Syarif Ali (1425-1432M) dan Sultan Bolkiah (1485-1524M), bukan sahaja telah menegakkan Islam sebagai agama rasminya, tetapi berdiri teguh sebagai sebuah empayar yang besar. Brunei telah berkembang pesat sepanjang abad ke-16M sehingga dapat menguasai seluruh Borneo dan Filipina, sebelum kedatangan pengaruh penjajah Portugis dan Sepanyol di kawasan Brunei pada akhir abad ke-16M itu. Brunei walau bagaimanapun, sehingga pertengahan abad ke-19M masih dapat mempertahankan empayarnya sehinggalah kedatangan British di Sarawak pada 1839M. Kerajaan Brunei diakui antara Kerajaan Islam yang berpengaruh di Nusantara sehingga Sepanyol dan British berusaha menguasainya sejak abad ke-16M lagi.

Kerajaan Islam di Borneo

Ketika berlakunya peng-Islaman Raja-raja di Kedah (1136M), Jawaka (1267M) dan Champa (1360M), Kerajaan Islam belum berdiri di negara-negara tersebut. Sedangkan Kerajaan Islam telah wujud di Perlak (840-1292M), Samudera-Pasai (1267-1521M) dan Melaka (1262-1511M). Di daerah-daerah lain di Nusantara juga telah dimasuki oleh Islam seperti di Maluku dan Jawa, telah Kerajaan Islam juga masih belum berdiri. Di Borneo, kedatangan pendakwah dari Melaka telah menyebabkan Islam mulai tersebar pada abad ke-14M di Brunei dan Mindanao. Antara yang terawal datang berdakwah di kawasan ini ialah Makhdum Syed Abdul Aziz, Syarif Ali Bafaqih dan Wan Nik al-Fathani. Kawasan-kawasan pelabuhan seperti Brunei, Sulu, Maguindanao dan Maluku menjadi tumpuan mereka. Hasil daripada gerakan ini, para pendakwah berketurunan Ahli Bait ini bukan sahaja dapat meng-Islamkan pemerintah tempatan, tetapi turut diangkat menjadi Raja dan mendirikan Kerajaan Islam di tempat-tempat tersebut. Ini termasuklah Brunei, di mana selepas mereka berjaya meng-Islamkan Awang Alak Betatar, Syarif Ali telah mengahwini anak Sultan Ahmad yang juga anak saudara Awang Alak Betatar. Pada gilirannya, Syarif Ali telah diangkat menjadi Sultan Brunei selepas kemangkatan Sultan Ahmad pada 1425M.

Tiga Raja terawal iaitu Sultan Mohammad Shah (Awang Alak Betatar), Sultan Abdul Majid Hassan dan Sultan Ahmad, mereka hidup sezaman dan telah memeluk Islam, tetapi Brunei belum menjadi Negara Islam. Selepas mangkatnya Sultan Ahmad, Syarif Ali telah ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Syarif Ali atau Sultan Barakat. Bagindalah yang bertanggungjawab menjadikan Brunei sebuah Kerajaan Islam. Selain menjadikan Islam sebagai agama rasmi, kerajaan telah menubuhkan masjid-masjid dan proses pelaksanaan Syariat telah mulakan. Gerakan dakwah dan program keilmuan Islam di masjid dan surau diperluaskan sehingga ia menyebar dengan cepat di kalangan penduduk tempatan, yang akhirnya seluruh wilayah asal Brunei di-Islamkan. Pengaruh Hindu-Buddha yang berkembang pada zaman penjajahan Majapahit mulai hilang dan masyarakat mereka beralih menganut Islam. Akhirnya Kerajaan Islam Brunei mula menjadi kuasa politik bila gerakan pembukaan negeri dan perluasan wilayah berlaku pada zaman Sultan-sultan berikutnya.

Perkembangan Kerajaan Brunei

Selepas berdirinya Kerajaan Brunei, kemasukan Islam telah melonjakkan kedudukan Brunei sebagai kuasa politik yang baru. Hubungan politik dengan China yang dibina pada zaman Sultan Abdul Majid Hassan, telah membolehkan Brunei mengukuhkan kedudukannya. Sejak Sultan Syarif Ali menjadikan Islam sebagai agama rasmi, gerakan dakwah diperluas dan pelaksanaan Syariat dipergiatkan, pada zaman Sultan Sulaiman, Brunei mulai meluaskan jajahan takluknya. Sesetengah penulis berkata, Brunei telah menggantikan Melaka sebagai kuasa politik dan perdagangan pada abad ke-16M. Kemuncak pengaruh politik Brunei ialah pada zaman Sultan Bolkiah di mana Brunei berjaya menguasai Kota Seludang (Manila) dan mendirikan Kerajaan Islam di Pulau Luzon. Brunei turut menguasai Visaya, Mindanao dan Kalimantan, termasuk Sabah dan Sarawak. Perluasan wilayah ini membolehkan berlakunya penyebaran Islam kepada penduduk Sarawak dan Sabah yang berada di pesisir Laut China Selatan, selain mengembangkan Islam di Luzon dan kawasan Dayak di Lembah Kapuas.

Perkembangan Kerajaan Brunei sebenarnya mulai terancam apabila Ferdinand Magellan tiba di Kepulauan Visaya dan cuba menyebarkan pengaruh Portugis pada 1521M. Selepas kedatangan Portugis, telah berlaku persefahaman antara Portugis dan Sepanyol pada 1529M untuk membolehkan Sepanyol menguasai Visaya dan Luzon, yang akhirnya menyebabkan Kesultanan Amanillah di Luzon ditawan oleh Sepanyol pada 1577M, diikuti oleh serangan ke atas Jolo, Sulu pada 1578M. Selepas kejatuhan Luzon, gerakan untuk menyebarkan Kristian juga berlaku di Brunei, tetapi gagal. Keagungan Brunei dikatakan mengalami kemerosotan selepas zaman Sultan Muhammad Hassan (1582-1598M), di mana pada zamannya Brunei telah diperkukuhkan dengan sistem adat istiadat kerajaannya.

Selepas kemasukkan penjajah Barat di Nusantara, pada abad ke-19M, telah berlaku pemberontakan orang Dayak, Melayu, Bidayuh dan Cina terhadap Pengeran Mahkota, wakil Kerajaan Brunei di Sarawak. Untuk membendung keadaan ini, Pangeran Muda Hashim telah meminta bantuan pedagang Inggeris, James Brooke pada 1839M. Setelah berjaya mengalahkan para pemberontak, James Brooke dilantik menjadi Raja Sarawak yang berkuasa di kawasan Kuching pada 1841M, dan pengaruh Brunei semakin berkurang sehingga akhirnya Sultan Omar Ali Saifuddin menyerahkan seluruh Sarawak kepada James Brooke pada 1842M. Kedatangan konsul Amerika Syarikat untuk menyewa Borneo Utara (Sabah) pada 1865M pula telah menyebab Brunei kehilangan Sabah ke tangan British secara berperingkat melalui Syarikat Berpiagam Borneo Utara British mulai 1882M. Akhirnya Brunei hanya dapat bertahan di kawasan Belait, Tutong, Bandar Seri Begawan, Muara dan Temburong, apabila British yang menguasai Brunei sejak 1906M hanya menyerahkan kawasan tersebut sahaja kepada Brunei ketika kemerdekaannya pada 1984, sedangkan seluruh kawasan Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963M.

Perluasan wilayah dan pembangunan empayar

Kejayaan Sultan Syarif Ali memartabatkan Islam sebagai dasar negara yang membawa kepada perluasan program dakwah dan penyebaran Islam, telah mendorong kepada pengukuhan Brunei sebagai kuasa politik Islam yang baru. Brunei sebenarnya memiliki kekuatan yang hampir seimbang dengan Kerajaan Aceh yang wujud pada akhir abad ke-15M di Sumatera, sedangkan Brunei berpengaruh di Borneo, Mindanao, Visaya dan Luzon. Zaman utama kekuatan politik Brunei ialah zaman Sultan Syarif Ali (1425-1432M), Sultan Sulaiman (1432-1485M) dan Sultan Bolkiah (1485-1524M) hingga zaman Sultan Muhammad Hassan (1582-1598). Ketika Brunei berada di puncak kuasanya, kawasan jajahan Brunei adalah lebih luas daripada Aceh. Gerakan dakwah juga telah berjalan lancar dalam empayarnya, selain mengembangkan dakwah ke Mindanao, Menado, Makassar hingga ke Maluku. Pada hujung abad ke-16M, pengaruh Brunei mulai merosot ekoran kedatangan penjajah Barat seperti Portugis, Sepanyol, Amerika Syarikat, Belanda dan British yang menggugat kawasan-kawasan taklukan Empayar Brunei.

Sepanjang tempoh kekuasan Brunei ini, perluasan wilayah dan penaklukan yang berlaku telah membolehkan Brunei menguasai sungai-sungai utama di Sarawak dari Miri sampai ke Kuching, termasuk kawasan Dayak di hulu Rajang. Kemudian, Brunei menguasai sebelah Timur dan Utara Borneo hingga Kimanis dan Kudat, sebelum kawasan Sandakan, Semporna dan Tawau turut dikuasai oleh Brunei. Brunei turut berpengaruh di kawasan Timur Kalimantan hingga ke Banjarmasin. Pada zaman Sultan Bolkiah, Brunei melanjutkan perluasan wilayah ke Kepulauan Visaya dan Luzon sehingga dapat menubuhkan Kerajaan Amanillah di Luzon pada awal abad ke-16M. Kemudian, melalui beberapa pendekatan diplomatik dan perkahwinan, Brunei turut menaungi Kerajaan-kerajaan Islam seperti Sumbawa di Barat Kalimantan, Sulu di Jolo dan Maguindanao di Timur Mindanao. Kerajaan-kerajaan Islam yang berada di Lembah Kapuas di Selatan Kalimantan juga tunduk kepada Brunei sehingga sesetengah pengkaji mengatakan Brunei menguasai seluruh Pulau Borneo dan juga Filipina hari ini. Dengan kekuatan ini, Brunei dapat menguasai laluan perdagangan sebelah Timur Nusantara, sekali gus menjadi tumpuan gerakan Kristian dalam melemahkan pengaruhnya.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
7 Zulqaedah 1439 / 20 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 25/7/2018