ECRL: Kandungan tempatan, peluang pekerjaan

Nasional
Typography

HARI ini dalam soalan tambahan saya kepada Menteri Tenaga Manusia berkenaan dasar pengambilan pekerja tempatan saya telah menyoal secara spesifik mengenai projek mega ECRL yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan akan diteruskan.

Saya seperti dalam ceramah saya sebelum pilihan raya lagi sudah pun berpandangan bahawa projek rel ini perlu untuk meransang pembangunan Pantai Timur yang masih ketinggalan jauh taraf infrastruktur asas jaringan pengangkutan berbanding Pantai Barat. Yang kita persoal adalah mengenai kos projek yang akan akhirnya ditanggung rakyat, peluang pekerjaan dan peluang penglibatan dalam perbekalan dan perkhidmatan dalam projek ini.

Saya tidak seperti Rafizi Ramli yang pernah mengumumkan projek rel keretapi di Pantai Timur sebagai membazir atas alasan tidak 'viable'.

Dalam ruang soalan saya, saya telah bertanya dasar kerajaan dalam memastikan rakyat tempatan mendapat bahagian yang besar dalam peluang pekerjaan.

Saya turut meminta supaya kerajaan mempertimbangkan penglibatan industri tempatan dalam perbekalan dan perkhidmatan.

Secara khususnya ini peluang terbaik untuk melibatkan industri besi tempatan seperti Perwaja dilibatkan sama dalam projek ECRL, mungkin melalui pemindahan teknologi. Ini sudah tentu membuka peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat. Saya difahamkan projek rel melibatkan kuantiti besi yang besar.

Cukup-cukuplah amalan lalu mengeksport bijih besi mentah ke China di Terengganu seperti amalan Kerajaan BN Terengganu yang lalu.

Untuk skala projek bernilai RM81 billion seperti diumum oleh Menteri Kewangan, tidakkah sudah memadai merundingkan pemindahan teknologi? Menghidupkan kembali industri besi yang sudah sedia ada kemudahannya.

Isu peratus kandungan tempatan 'local content' perlu dipertegaskan dalam projek ECRL. Seperti juga peratus penglibatan pekerja tempatan dalam pelbagai sektor berkait projek ini.

Saya berterima kasih atas penjelasan Menteri bahawa kerajaan akan merundingkan kembali terma perjanjian ECRL ini yang akan memasukkan elemen jaminan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan peratus kandungan tempatan dalam perbekalan bahan.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
24 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 24/7/2018