PTMP: CAP bantah pinjaman RM1 bilion

Nasional
Typography

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mendapatkan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk memulakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi membiayai projek Pan Island Link (PIL) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan yang terdahulu yang kini menjadi Menteri Kewangan telah memberi jaminan bahawa projek itu tidak akan melibatkan sebarang dana awam.

Kini cerita yang berbeza diberitahu dan jika pinjaman itu diluluskan, ia mungkin meletakkan risiko situasi kewangan Pulau Pinang. Terdapat risiko ekonomi dan alam sekitar yang besar berkaitan dengan PTMP dan adalah diragui bahawa sesetengah projek utama dikaitkan dengan rancangan itu boleh menjana hasil untuk membayarnya sendiri.

Tambahan lagi, bagaimana jika kemudiannya didapati RM1 bilion itu tidak mencukupi dan kerajaan negeri terpaksa meminjam dengan lebih banyak? Ini hanya akan menambahkan lagi beban berat terhadap kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang.

Kami diberitahu oleh Kerajaan Persekutuan, termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Malaysia tidak mampu untuk mempunyai projek mega disebabkan hutang negara yang berjumlah trilion ringgit.

Kenapa pengecualian dibuat bagi PTMP? Anggaran kos projek itu ialah lebih RM40 bilion.

Dana daripada Kerajaan Persekutuan diperlukan untuk Pulau Pinang. Tetapi dana ini diperlukan untuk perbelanjaan penting termasuk pemulihan beratus cerun dan kawasan bukit yang terjejas oleh tanah runtuh dan menambah baik keadaan sungai serta mewujudkan ruang hijau dan permukaan yang telap untuk menyerap air hujan. Dana juga diperlukan untuk pemulihan dan pemuliharaan kawasan pantai seperti pantai dan hutan bakau, projek tebatan banjir dan memperbaiki keadaan kehidupan golongan yang mudah terjejas dan komuniti miskin.

Ini semua adalah perkara utama yang memerlukan pembiayaan jika Pulau Pinang mahu pulih daripada kerosakan yang disebabkan oleh ribut, angin kencang, hujan lebat dan banjir dan untuk mencegah atau mengurangkan masalah ini pada masa depan.

Kerajaan Pulau Pinang perlu memohon untuk membiayai dengan segera pelan dan strategi lengkap bagi mengelakkan banjir dan bencana alam sekitar lain pada masa depan.

PTMP, terutama sekali dengan penarahan bukit dan tebus guna tanah secara besar-besaran daripada laut akan menambahkan lagi masalah alam sekitar ini daripada menyelesaikannya.

CAP sekali lagi mengulangi gesaan supaya dilakukan semakan semula secara lebih komprehensif seluruh PTMP.

Penilaian Kesan Alam Sekeliling bagi PIL yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan banyak kemudahan awam termasuk Taman Belia, sekolah, kuil, dan kawasan sensitif seperti Bukit Bendera akan terjejas dengan lebih serius. Ramai komuniti kini sedar kepada hakikat bahawa PTMP memberikan kesan bencana terhadap cara hidup dan alam sekitar di Pulau Pinang.

PTMP ini perlu digantung sehingga semakan semula secara komprehensif dilakukan dan komuniti yang akan terjejas dengan serius di Pulau Pinang dapat memahami kesan Pan Island Link (PIL) dan mampu untuk memberikan maklum balas.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak seharusnya meminta pinjaman RM1 bilion untuk mempercepatkan pelaksanaan PTMP dan Kerajaan Persekutuan seharusnya tidak menyediakan pinjaman itu.

SM Mohamed Idris
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 23/7/2018