Sokong sepadukan UEC, SPM, STPM

Nasional
Typography

MAJLIS Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyokong sepenuhnya cadangan Tan Sri Rais Yatim yang mencadangkan supaya sijil UEC wajib 'disebatikan' dengan sijil SPM dan sijil STPM bagi menjadikan Sistem Pendidikan Negara lebih kukuh untuk mencapai perpaduan nasional dan integrasi kaum melalui Sistem Pendidikan Negara.

MAPPIM dan UMMAH mendesak serta mencadangkan supaya sistem pendidikan di sekolah persendirian Cina disemak dan dinilai semula oleh Kementerian Pendidikan bagi 'disepadukan' dengan kurikulum pendidikan kebangsaan bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Negara dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dikhuatiri sistem dan kurikulum yang digunapakai tidak memenuhi aspek kurikulum kebangsaan Sistem Pendidikan Negara dan keperluan negara dari sudut memahami tata kenegaraan, Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana sebahagian besar pelajar, kebanyakannya yang lahir daripada sistem pendidikan sekolah Cina kurang fasih Berbahasa Melayu sama ada tulisan dan bacaan, kurang pergaulan dengan orang Melayu dan lain-lain bangsa serta kurang solidarti kenegaraan sebagai rakyat Malaysia yang juga sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk dan berbilang bangsa serta budaya di mana orang Melayu sebagai kaum majoriti yang perlu dihormati.

Maka hasrat murni Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk mengukuhkan perpaduan kaum melalui sistem pendidikan sukar untuk dicapai.

Memperkasakan sistem pendidikan sekolah di bawah satu bumbung, satu aliran serta satu kurikulum perlu diusahakan segera di antara Kementerian Pendidikan dan Pentadbir Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina bagi menerima pakai Dasar dan Sistem Pendidikan Negara dan kurikulum kebangsaan sepenuhnya.

Sudah pasti, ini suatu bentuk dan proses pendidikan yang lebih harmoni bagi memperkukuhkan agenda integrasi nasional di negara kita. Sistem pendidikan sekolah-sekolah Cina mesti menerima dan menggunakan Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.

MOHD ZAI MUSTAFA
Ketua Eksekutif MAPPIM
Ahli Jawatankuasa Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) - HARAKAHDAILY 23/7/2018