Brunei: Empayar Islam di Borneo

Nasional
Typography

SEMENJAK berdirinya Kerajaan Melaka (1262-1511M) dan Kerajaan Samudera-Pasai (1267-1521M), beberapa Kerajaan Islam mulai tumbuh sepanjang abad ke-14M di Nusantara. Kerajaan yang muncul lebih awal termasuklah Kedah (1136M), Kelantan (1181M), Jawaka (1267M), Terengganu (1303M) dan Champa (1360M). Ternyata negeri-negeri yang menjadi pesisir Laut China Selatan terlebih dahulu menerima Islam dan mendirikan kerajaan. Salah satu faktornya ialah peranan perdagangan, selain gerakan dakwah yang turut berkembang dari China pada zaman Dinasti Ming (1368-1863M). Di sinilah munculnya Brunei sebagai sebuah Kerajaan Islam yang ditubuhkan pada 1363M, yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah Empayar Melayu Islam dengan menguasai kawasan Utara dan Barat Borneo (Sambas di Kalimantan Barat, Sarawak dan Sabah) dan juga Kepulauan Visaya dan Luzon (di Filipina hari ini). Pada zaman kemuncaknya, Brunei menjadi penyebar Islam ke kawasan Kepulauan Timur Nusantara.

Kemunculan Brunei sebagai sebuah Kerajaan Islam adalah kesan daripada gerakan dakwah yang dibuat oleh Melaka. Dua tokoh yang dikatakan berperanan besar dalam peng-Islaman Brunei ialah Syarif Ali, ulamak dan pendakwah dari Taif dan Wan Nik al-Fathani, adik Syed Hussein Jamadil Kubra. Kerajaan Brunei dikatakan telah diasaskan oleh Awang Alak Betatar, seorang pemimpin berbangsa Visaya yang tinggal di Semenanjung Klias, iaitu kawasan yang menjadi pelabuhan dan pusat perdagangan. Setelah memeluk Islam, baginda dikenali sebagai Sultan Muhammad Shah Wa Daulah, iaitu Sultan Brunei yang pertama pada 1363M. Brunei mencapai kemuncak kemajuan apabila Syarif Ali diangkat menjadi Sultan Brunei ketiga pada 1425M bergelar Sultan Barakat. Sejak itu, Brunei mulai muncul sebagai Empayar Islam yang menguasai Timur Nusantara. Kebangkitan Brunei yang berlaku serentak dengan zaman kemuncak Melaka dan kebangkitan Demak (1475-1554M) di Pulau Jawa dan Sulu di Mindanao (1405-1915M) telah membentuk gabungan gerakan dakwah yang besar di Nusantara.

Kebangkitan Brunei: Kuasa Politik Islam di Timur

Menurut Syair Awang Semaun, perkataan Brunei berasal dari kata "baru nah" yang bermaksud tempat yang sangat baik untuk didirikan penempatan dan kerajaan. Pada awalnya, dikatakan seorang pemimpin Sakai, Awang Patih Berbai telah pergi ke Sungai Brunei untuk membina negeri dan mendapati tempat ini sangat sesuai dijadikan negeri dan dinamakan "Baru Nah" atau kemudiannya disebut "Brunei." Berdasarkan catatan Cina pula, Brunei dikatakan wujud sejak abad ke-7 Masehi dan disebut sebagai Poli, Polo, Po-ni dan Puni, sebelum disebutkan sebagai Bunlai. Sesetengah pengkaji mengatakan Zabaj dan Randj dalam catatan Arab adalah Brunei. Pada peringkat awal, Brunei dikatakan beragama Hindu-Buddha berdasarkan penemuan stupa-stupa Hindu di negara tersebut. Hal ini mungkin berlaku ketika Brunei ditakluki oleh Kerajaan Hindu Majapahit pada era Mangkubumi Patih Gajah Mada (m. 1364M).

Selepas peng-Islaman Awang Alak Betatar, Brunei telah menjadi sebuah kerajaan yang masih belum meluas pengaruh Islamnya. Namun begitu, kegiatan dakwah telah berlaku terutama selepas kedatangan Syarif Ali Bafaqih dan Wan Nik al-Fathani. Pada zaman Sultan ketiganya, Sultan Syarif Ali (1425-1432M), baharulah Islam berkembang pesat di mana masjid-masjid mula dibina dan Islam mula dilaksanakan. Pada zaman Sultan Bolkiah (1485-1524M) dikatakan pengaruh Brunei telah sampai ke kemuncak di mana Brunei telah menguasai Pulau Luzon dan Visaya, selain mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Sulu dan turut menguasai Sarawak hingga ke Sambas. Kedatangan penjajah Sepanyol di Luzon yang meruntuhkan Kesultanan Amanillah (Manila) pada 1570M telah menggugat pengaruh Brunei, sebelum kedatangan James Brooke pada 1839M telah menyebabkan pengaruh Brunei mulai merosot di Sarawak. Pada zaman kemuncak Kerajaan Brunei, seluruh kawasan Utara Borneo dari Sambas di Barat Kalimantan memanjang hingga Sarawak dan Sabah hingga ke Timur Kalimantan, termasuk Kepulauan Visaya dan Kota Seludang (Luzon). Ini meletakkan Brunei sebagai kerajaan terbesar di Timur Nusantara pada abad ke-16M.

Peng-Islaman Brunei

Menurut catatan Cina, Islam telah tiba di Brunei sekitar abad ke-10M, di mana pada 977M Islam dikatakan telah sampai di Brunei dari China. Menurut Shong Shi, Raja Po-ni (Brunei) pada 977M telah mengirimkan Diplomat ke China diketuai Shi Nu (Sheikh Nuh), Pu'a Li (Abu Ali) dan Pun Guan Ge Xin (Kadhi Kassim). Pengiriman Diplomat Islam ke China ini membuktikan bahawa Islam bukan sahaja telah tiba di Brunei, tetapi juga telah berpengaruh sehingga wujud jawatan Kadhi, dan adanya ulamak seperti Sheikh Nuh. Namun begitu, belum ada catatan yang jelas mengenai Brunei, adakah sebuah kerajaan atau tidak, berbanding dengan kedudukan Brunei sebagai jajahan Kerajaan Hindu Majapahit sejak berlakunya perluasan kuasa pada 1336M seperti yang dicatat dalam Negarakertagama bertarikh 1365M. Sejak abad ke-11, telah terdapat bukti ketibaan orang Islam di Brunei dengan penemuan beberapa batu nisan yang terawal bertarikh 1048M, iaitu selepas pembunuhan orang-orang Arab di Canton pada 878M.

Dari aspek kekerajaanan, kebangkitan disepakati oleh para pengkaji bahawa ia bermula dengan peng-Islaman Awang Alak Betatar yang dikatakan berlaku pada 1368M. Selepas memeluk Islam, Awang Alak Betatar yang menggunakan gelaran Sultan Muhammad Shah Wa Daulah atau disebut dalam catatan China sebagai Ma-ha-mo-sha. Ada beberapa pendapat yang menyebut mengenai peng-Islaman Awang Alak Betatar:

●      Awang Alak Betatar adalah seorang pemimpin orang Visaya. Baginda berkenalan dengan seorang saudagar Arab, yang juga merupakan pendakwah dan wali Allah. Wali Allah itu mendoakan supaya Awang Alak Betatar memeluk Islam dan menjadi pemerintah yang berdakwah menyebarkan Islam. Sejak itu, baginda bergelar Sultan Mohammad Shah;

●     Awang Alak Betatar memeluk Islam melalui perkahwinan baginda dengan Puteri Raja Bakhie, dari Johor pada 1368M; dan

●     Islam dibawa masuk ke Brunei oleh pedagang China sejak 977M, dan akhirnya sekitar 1406M, Awang Alak Betatar memeluk Islam dan menukar nama kepada Sultan Muhammad Shah.

Selepas peng-Islaman Awang Alak Betatar ini, Brunei didatangi oleh Syarif Ali dari Taif yang telah berdakwah mengembangkan Islam di Brunei dan menjadi menantu Sultan Muhammad Shah. Sejak Syarif Ali menjadi Sultan Brunei, Islam mulai berkembang pesat dan Brunei menjadi pusat penyebaran dakwah Islam di sebelah Timur.

Sultan-sultan Brunei

Sejak berdirinya Kesultanan Brunei Darussalam pada 1363M sebagai sebuah Kerajaan Islam, seramai 29 orang Sultan telah memerintah negara minyak ini. Kesultanan Brunei pada awalnya dimulakan oleh Awang Alak Betatar, tetapi selepas baginda memeluk Islam pada 1368M, baginda menggunakan gelaran Sultan Muhammad Shah Wa Daulah. Sultan Brunei ketiga, Syarif Ali adalah pendakwah berketurunan Ahli Bait dari Taif, baginda menjadi menantu Sultan Ahmad dan diangkat menjadi Sultan pada 1425M dan dikenali juga sebagai Sultan Barakat. Sejak itu, Sultan-sultan Brunei adalah keturunan baginda. Berikut adalah senarai Sultan-sultan Brunei:

●    Sultan Muhammad Shah (1363-1402M)

●     Sultan Ahmad (1402-1425M)

●     Sultan Syarif Ali atau Sultan Barakat (1425-1432M)

●     Sultan Sulaiman (1432-1485M)

●     Sultan Bolkiah (1485-1524M)

●     Sultan Abdul Kahar (1524-1530M)

●     Sultan Saiful Rijal (1530-1581M)

●     Sultan Shah Brunei (1581-1582M)

●     Sultan Muhammad Hassan (1582-1598M)

●     Sultan Abdul Jalil al-Akbar (1598-1659M)

●     Sultan Abdul Jalil al-Jabbar (1659-1660M)

●     Sultan Muhammad Ali I (1660-1661M)

●     Sultan Abdul Haq al-Mubin (1661-1673M)

●     Sultan Muhyidin (1673-1690M)

●     Sultan Nasaruddin (1690-1710M)

●      Sultan Hussin Kamaluddin (1710-1730 M dan 1737-1740M)

●      Sultan Muhammad Alauddin (1730-1737M)

●      Sultan Omar Ali Saifuddin I (1740-1795M)

●      Sultan Muhammad Tajuddin (1795-1804 dan 1804-1807M)

●     Sultan Muhammad Jamal al-Alam I (1804M) 

●      Sultan Muhammad Kanz al-Alam (1807-1826M)

●     Sultan Muhammad Alam (1826-1828M)

●     Sultan Omar Ali Saifuddin II (1828-1852M)

●      Sultan Abdul Mu'min (1852-1885M)

●      Sultan Hashim Jalil al-Alam Aqamaddin (1885-1906M)

●     Sultan Muhammad Jamal al-Alam II (1906-1924M)

●      Sultan Muhammad Tajuddin II (1924-1950M)

●      Sultan Omar Ali Saifuddin III (1950-1967M)

●      Sultan Hasanal Bolkiah (1967-sekarang)

Walaupun Sultan-sultan Brunei berasal dari keturunan Awang Alak Betatar, tetapi dengan kedatangan Syarif Ali, keturunan Sultan Brunei telah beralih kepada Ahli Bait. Syarif Ali adalah Syarif Ali bin Syarif Ajlan bin Rumaithah bin Mohammad Abu Numaie bin Abu Saad al-Hassan bin Ali al-Akbar dari keturunan Saidina Hassan bin Ali bin Abi Talib. Sebelum Syarif Ali menjadi Sultan Brunei, Sultan Ahmad, adik kepada Sultan Mohammad Shah menjadi Sultan ketiga. Anakanda Sultan Mohammad Shah, Sultan Abdul Majid Hassan menjadi Sultan Brunei dalam jangka masa yang pendek dan meninggal dunia di China sebelum Sultan Ahmad. Oleh kerana tiada pewaris, menantu baginda Syarif Ali menjadi Sultan.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
6 Zulqaedah 1439 / 19 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 22/7/2018