Sedia sertai JK Pendidikan Negara

Nasional
Typography

MAJLIS Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyambut baik cadangan Menteri, Kementerian Pendidikan menubuhkan Jawatankuasa Kajian Semula Pendidikan Negara bagi tujuan memperkasa dan mengukuhkan Falsafah Pendidikan Negara serta Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Jawatankuasa ini mestilah berperanan bagi memastikan strategi dan program pendidikan menepati kurikulum kebangsaan dan pendidikan bersepadu (holistik) bagi melahirkan insan yang bertanggujawab kepada agama, bangsa dan negara.

Bagi melengkapi Jawatankuasa tersebut UMMAH melalui Kluster Pendidikan bersedia menawarkan khidmat melalui penyertaan sebagai Jawatankuasa bagi tujuan di atas untuk bersama-sama memberikan input, idea dan cadangan serta strategi pelaksanaan bagi melengkapi proses pembaharuan pendidikan yang merentasi budaya, bangsa, negara dan agama.

Halatuju pendidikan negara serta pengukuhan Dasar Pendidikan Kebangsaan mestilah merangkumi intipati penting Falsafah Pendidikan Negara.

Polisi dan Dasar Pendidikan Kebangsaan mestilah digarap secara keseluruhan bagi memenuhi serta melengkapi semua segmen kepelbagaian bangsa, budaya dan agama.

Melalui penyertaan dalam Jawatankuasa ini banyak isu-isu pendidikan rakyat secara khususnya dapat dibincangkan dan diperbaiki bagi melengkapi secara umumnya dasar dan polisi pendidikan negara ke arah yang lebih inklusif merangkumi semua segmen dalam masyarakat dan negara.

MOHD ZAI MUSTAFA
Ketua Eksekutif MAPPIM
Ahli Jawantankuasa Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
Kluster Pendidikan - HARAKAHDAILY 22/7/2018