Beri perhatian peneroka baharu Felda

Nasional
Typography

AHLI Parlimen Kubang Kerian dalam ucapannya di Parlimen pada 19hb Julai dengan jelas memberi saranan kepada kerajaan supaya tanah 360,000 hektar yang diserahkan kepada FGV dimasukkan peneroka yang baharu khasnya anak generasi kedua dan ketiga Felda.

Perjuangan anak-anak generasi kedua Felda sebelum ini memang menjadikan agenda kemasukan peneroka sudah lama sejak dari zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu, namun terhalang kerana kerajaan waktu itu telah membenarkan tanah ini dimajukan tanpa dimasukkan peneroka, walaupun jelas dikatakan melanggar Akta Tanah ini.

Tanah ini telah menjadi salah satu sumber pendapatan besar kepada kumpulan setelah ladang tanpa peneroka ini mulai mengeluarkan hasil lewat tahun 90-an.

Pendapatan dari ladang ini mampu menghasilkan RM1.8 billion setahun ketika harga komuditi sawit mencecah paras harga BTS RM800 satu metrik tan.

Semasa penyenaraian FGV, tanah ini diserahkan kepada FGV sebagai aset utama untuk memastikan keyakinan pelabur besar untuk memberi saham-saham terbitan FGV dan telah niagakan dengan harga RM4.50 sesaham.

Penyerahan tanah ini ditentang oleh aktivis anak generasi Felda, namum pihak kerajaan waktu itu tidak melayan bantahan dan meneruskan perpindahan kuasa ladang milik Felda kepada FGV dengan sembunyikan timbal balas transaksi besar ini.

Saranan YB Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Kubang Kerian telah memberi harapan baharu kepada kami semua anak generasi kedua dan ketiga Felda kerana jika tanah ini dimasukkan semula peneroka, dijangka 80,000 rakyat khasnya anak peneroka Felda akan berpeluang menjadi peneroka baharu.

(Penulis ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Peneroka Felda Lajnah Tanah PAS Pusat)
21 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 21/7/2018