Antara wala' dan taat

Nasional
Typography

MUKADIMAH

Interpretasi yang salah terhadap definisi wala' telah menyebabkan perkataan tersebut semakin dipandang negatif. Tanpa dinafikan, terdapat sebahagian orang yang menjual perkataan wala' sehingga mematikan proses percambahan idea di dalam jemaah, menyekat sebarang bentuk kritikan hatta di medan yang paling tertutup seperti usrah dan mesyuarat. Sebahagian lain pula yang berminda kritis tetapi kurang sabar dan matang terus menghukum wala' sebagai doktrin negatif.

Tulisan ini bertujuan mengatasi masalah ini. Ia juga ditulis atas dasar wala'. Dibahagikan kepada beberapa siri agar mudah dicerna dan tidak berat. Pembahagian siri adalah seperti berikut:

1.     Beza wala' dan taat.

2.     Wala' dari rukun baiah.

3.     Manifestasi wala'.

4.     Virus perosak wala'.

5.     Antonim wala'.

Kita mulakan siri pertama dengan memahami perbezaan antara wala' dan taat.

Keliru antara wala' dan taat

Bila berada di lapangan jemaah, memang dikesan fenomena salah faham terhadap wala' berlaku. Kebanyakan menyamakan wala' dengan taat. Mematuhi sesuatu arahan disebut sebagai wala'. Sedangkan itu adalah taat. Dan taat hanya salah satu dari bukti wala'. Dan tidak semestinya seseorang yang taat itu wala'.

Kesan salah faham ini, tuntutan wala' yang selain dari mematuhi arahan itu tidak lagi difahami dan diamalkan ahli gerakan. Menyebabkan para jundi tidak memberikan sumbangan optimum bagi memajukan jemaah. Wala' menjadi mati, ahli hilang jati diri dan jemaah semakin sepi.

Wala' itu akidah, taat itu syariah

Bagi mengatasi masalah ini, kefahaman kalimah wala' perlu kembali diperbetulkan. Pertama, jika dikaji ayat-ayat al-Quran berkenaan wala' dari berbagai wazannya, kita akan mendapati bahawa kalimah ini bersifat dasar dan prinsip. Ayat-ayatnya banyak berkait dengan tajuk-tajuk akidah. Boleh dikatakan wala' adalah salah satu cabang akidah. Sementara ayat-ayat taat pula merujuk kepada polisi dan garis panduan. Ayat-ayatnya banyak berkait dengan hukum syariat. Menjadi salah satu kewajipan terhadap Allah, Rasul dan Ulil Amri.

Tiada sesiapa yang boleh menghukum seseorang itu wala' atau tidak kerana ia adalah persoalan akidah dan hati. Sebaliknya pihak berautoriti boleh menghukum seseorang sebagai tidak taat dan ingkar, kerana ia adalah perbuatan zahir.

Wala' itu kesetiaan, taat itu kepatuhan

Wala' mudah didefinisikan sebagai kesetiaan (loyalty), sementara taat itu adalah kepatuhan (obedient). Kepatuhan bermakna mendengar, akur dan melaksanakan sebarang arahan dan peraturan yang ditetapkan jemaah dan pemimpin selagi tidak bercanggah dengan syarak, sama ada suka ataupun tidak. Wala' pula adalah setia; meletakkan kepentingan jemaah pada tahap pertama mengatasi segala yang lain.

Manifestasi wala' ini akan membuahkan perkara seperti taat, kasih, redha, beri perhatian dan bersedia membantu, melindung dan berkorban. Tidak timbul soal suka atau tidak bagi mereka yang memiliki kesempurnaan wala', kerana mereka akan suka (atau sekurangnya cuba untuk suka) apa jua ditetapkan jemaah.

Ini bermakna, orang yang memiliki wala' sudah tentu dia bersikap taat. Sebaliknya orang yang taat tidak semestinya memiliki wala'. Bezanya berada pada isu keredhaan. Orang yang taat sahaja boleh jadi tidak suka dengan arahan atau keputusan yang dicapai. Namun orang yang memiliki wala' akan berusaha meredhai dan suka terhadap apa jua keputusan dan arahan.

Taat dengan wala' berbeza seperti Islam dengan iman 

Taat dan wala' boleh dianalogikan seperti iman dan Islam. Keduanya berbeza dari sudut makna dan penumpuan. Wala' umpama Iman manakala taat umpama Islam. Iman adalah persoalan hati dan akal. Sementara Islam adalah persoalan jawarih (anggota zahir). Rukun-rukun Iman semuanya bersifat kepercayaan, bukan tindakan. Rukun-rukun Islam pula bersifat tindakan, bukan kepercayaan.

Orang yang melakukan kesemua rukun Islam tidak semestinya beriman, kerana mungkin mereka munafik. Tetapi orang yang memiliki kesempurnaan iman sudah tentu akan melakukan rukun Islam. Beza inilah yang membuatkan Allah menyatakan orang Badwi sekadar Islam tapi tidak beriman. (Surah al-Hujurat ayat 14)

Bahkan manifestasi iman akan membuahkan perkara yang lebih daripada lima rukun iman sahaja. Inilah yang disebutkan oleh Nabi S.A.W bahawa iman memiliki lebih dari 70 cabang.

Wala' hasil rukun baiah, taat salah satu rukun baiah 

Taat adalah salah satu daripada rukun baiah yang sepuluh. Sementara wala' merupakan buah daripada kesepuluh rukun tersebut. Wala' akan hasil dari faham, ikhlas, amal, jihad, tadhiyah, taat, thabat, tajarrud, ukhuwwah dan thiqah. Hilang satu unsur ini, tempanglah wala'. Perkara ini insyaAllah akan dijelaskan dalam siri akan datang.

Wala' proaktif, taat reaktif

Orang yang taat semata-mata bersifat reaktif kerana mereka hanya akan melakukan ketaatan apabila wujud arahan dan keputusan. Sebaliknya wala' itu proaktif kerana apabila seseorang itu memiliki kesetiaan sehingga menumpahkan kasih sayang terhadap jemaah, ia tidak hanya menunggu arahan dan keputusan sebaliknya mengambil inisiatif melakukan apa yang terbaik bagi jemaah.

Jemaah dan pemimpin tidak mampu mengeluarkan arahan dan keputusan dalam setiap perkara. Bukan semua benda perlu dan sempat dipermesyuaratkan. Bukan semua benda sempat difikirkan pimpinan. Bahkan mungkin ada perkara yang diilhamkan kepada jundi, tetapi tidak pada qiyadi. Jika bersifat hanya menunggu arahan dalam dunia yang pantas ini, banyak perkara akan tercicir dan gagal.

Wala' Habib bin Munzir

Justeru sikap ahli yang wala' perlu peka keadaan sekeliling dan bersedia mencadangkan sebarang perkara kepada kepimpinan jemaah tanpa mengira apakah kita punya jawatan atau tidak, apakah kita layak atau tidak. Ambil contoh Habib bin Munzir yang mencadangkan kepada Nabi S.A.W supaya kem Islam dipindahkan ke hadapan dalam Perang Badar, walaupun dia bukanlah kepimpinan utama dan bukan bidang tugasnya menentukan kawasan kem.

Beliau adalah contoh terbaik mengenai erti sebuah wala'. Bukan kerana tidak mahu taat kepada keputusan tempat kem yang dibuat oleh Nabi S.A.W, tetapi wala' yang dimilikinya membuatkan beliau merasa bertanggungjawab untuk mengemukakan cadangan. Jika Habib sekadar memiliki taat, cadangan tersebut tidak akan timbul.

Agenda islah dan tajdid yang menjadi identiti gerakan Islam juga akan mandul sekiranya wala' sang Habib tidak diberi galakan dan ruang di dalam jemaah. Lebih dibimbangi, kemandulan ini bakal menyebabkan potensi dan bakat tunas-tunas baharu terpendam dan hilang begitu sahaja. Paling parah, jiwa muda yang mudah berpatah arang mula meninggalkan jemaah ini lalu memilih wadah baru yang lebih memberikan ruang pada mereka.

Inilah beberapa perbezaan yang perlu difahami sebagai mukadimah kepada perbincangan objektif berkenaan wala' yang lebih mendalam untuk siri akan datang. Tulisan ini terbuka kepada kritikan dan cadangan. Ia juga perlu diterjemahkan dalam bentuk infografik dan diagram supaya lebih mudah difahami. Kepada yang berkebolehan dan berkesempatan, pertolongan anda amat dihargai.

8 Zulkaedah 1439
20 Julai 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 20/7/2018