Diajak minum petang di KSS 28 Julai

Nasional
Typography

MAJLIS Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia dan gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menjemput Menteri Pendidikan minum petang bersama-sama himpunan rakyat yang membantah kenyataan beliau pada 12 Julai di PICC lalu, yang menyatakan akan mengiktiraf Sistem Pendidikan Sekolah Cina UEC.

Beliau dijemput hadir bersama-sama dengan rakyat bagi mendengar sendiri ucapan pimpinan dan tokoh-tokoh pendidikan, bahasa, akademik sejarawan dan aktivis NGO pendidikan berkaitan keresahan rakyat yang membantah UEC diiktiraf.

Ini jemputan kami sebagai membalas jemputan Menteri kepada MAPPIM dan UMMAH apabila beliau memberi respon kepada satu soalan media berkaitan himpunan bantahan rakyat pada 28 Julai nanti di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur, "Saya ajak minum teh tarik dan makan di kedai mamak". Walaupun ini suatu jemputan yang menjengkelkan daripada seorang Menteri, MAPPIM dan UMMAH bersedia tetap menerima undangan tersebut, cumanya jangan jemputan ajak-ajak ayam, nyatakan di mana dan jam berapa kami pimpinan UMMAH akan hadir.

MAPPIM dan UMMAH menyatakan bahawa, kami juga bergerak atas dasar dan landasan "Happiness love and mutual respect" sepertimana yang dinyatakan oleh Menteri, dan sebab itu kita menyambut baik ruang yang dibuka oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PH) bahawa rakyat adalah "King" dan pimpinan kerajaan mesti peka dan 'Respect' serta terbuka kepada semua tuntutan rakyat.

MAPPIM dan UMMAH bersedia untuk membina ruang berdialog secara khusus dan lebih berkesan demi memperkasakan dan memperkukuhkan halatuju Pendidikan Negara bagi menepati Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Negara.

MOHD ZAI MUSTAFA
Ketua Eksekutif MAPPIM
Ahli Jawatankuasa Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) - HARAKAHDAILY 20/7/2018