MP wanita mesti bawa suara wanita di Parlimen

Nasional
Typography

KAMI seluruh kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia berbesar hati mengucapkan ‘Selamat Bertugas’ buat Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Hajah Zailah Mohd Yusoff satu-satunya ahli parlimen wanita PAS yang akan membawa suara Muslimat PAS dalam sidang Dewan Rakyat.

Tidak dilupakan sekalung harapan kami kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Pandan yang juga memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sesungguhnya amanah itu merupakan satu tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul dan pasti akan disoal kelak oleh Allah S.W.T sejauh mana kita telah laksanakannya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” [Q:S. Al-Anfal: 27]

Muslimat PAS sebelum ini telah membawa 10 Tawaran Wanita Sejahtera dengan tema “Wanita Sejahtera Surihati Negara” khusus buat seluruh wanita di Malaysia merangkumi pelbagai aspek dengan melibatkan ekonomi, sosial dan emosional.

Di kesempatan ini kami ingin mencadangkan agar pihak kementerian menilai semula butiran iltizam kedua dalam Buku Harapan sebagai usaha untuk memastikan penjagaan kesihatan dan keselamatan sosial wanita.

Bukan hanya memberikan fokus kepada program kesedaran sahaja yang lebih bersifat umum dan tidak digariskan secara terperinci tentang mekanisma pelaksaaan yang berkesan.

Antara pelaksanaan yang boleh dipertimbangkan daripada Tawaran Wanita Sejahtera adalah seperti berikut:

i. Baucar Makanan Sihat Ibu Hamil bernilai maksimum RM600 (RM50 sebulan sepanjang tempoh hamil dan 3 bulan pertama selepas bersalin)

ii. Bantuan Dana RM2,000 secara one-off sebagai modal peralihan kepada wanita berkerjaya dan suri rumah

iii. Tabung Sejahtera Wanita Malaysia bagi membantu golongan wanita yang dianiaya seperti mangsa trauma jenayah seksual, tidak mendapat nafkah, ibu tunggal dan lain-lain

Wanita merupakan tonggak utama dalam sesebuah rumah tangga, justeru kesejahteraan wanita mestilah menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan keluarga dan masyarakat yang akan terbentuk nanti baik dan sejahtera.

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
19 Julai 2018 / 6 Zulkaedah 1439 – HARAKAHDAILY 19/7/2018