Berimankah kita? (Siri 3)

Nasional
Typography

AL-QURAN mengingatkan umatnya untuk sentiasa berjaga-jaga terhadap musuh. Bahkan mempersiapkan ahlinya dengan kekuatan yang menyeluruh. Cuba kita renungkan beberapa ayat berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا خُذُوا حِذْرَكُمْ فَانْفِرُوا ثُبَاتٍ أَوِ انْفِرُوا جَمِيعًا

[an-Nisa': 71]

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ …..


[al-Anfal: 60]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (٤٥) وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ (٤٦)

[al-Anfal: 45 - 46]

Sudahkah kita insafi dan menunaikan tuntutan ayat ini?

Sesungguhnya kita amat tidak mengambil sikap berjaga-jaga terhadap musuh. Semua tindak balas umat Islam adalah tindakan yang langsung tidak diduga. Apabila dibentangkan kepada kita pelan dan strategi Zionis atau Israel secara bersepadu di peringkat global menghadapi umat Islam, kita terus alpa dan langsung tidak ada persiapan untuk berhadapan dengannya. Kecuali hanya membeli senjata lama yang rosak dan tidak boleh beraksi pada waktu yang dikehendaki. Itulah yang amat disukai oleh musuh umat Islam iaitu apabila kita melupakan persiapan persenjataan dan material, maka mudahlah untuk mereka menyerbu secara bersepadu mahupun menyusup.

Allah mengingatkan dalam Surah an-Nisa’ ayat 102:

“…… Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.”

Dalam keadaan musuh sedang mengepung kita segenap penjuru pun, kita masih terus leka daripada mengingati Allah, terus menerus ingkar perintah Allah dan Rasul dan masih mengutamakan agenda hiburan dengan berlapikkan dakwah. Walhal Allah mengizinkan Solat Khauf (solat dalam keadaan takut diserang musuh) sebagai satu isyarat kepada umat Islam, dalam keadaan perang solat tetap dijaga. Namun yang lebih penting untuk kita faham adalah mesej ‘hazar’ yang tinggi dalam keadaan genting. Malangnya, umat Islam meninggalkan tuntutan ini, akibatnya kita mudah termakan provokasi murahan.

Solat Khauf menurut sebahagian ulamak disyariatkan ketika Peperangan Zatur Riqa’ yang berlaku pada tahun ke-4 Hijrah selepas beberapa bulan usai peperangan terhadap Bani Nadhir.

Adalah amat tidak masuk akal, bermacam syarat tidak kita lunasi, namun menagih pada-Nya pertolongan dan kemenangan? Mengapa tidak kita dulu yang melengkapkan syarat-syarat yang diminta oleh Allah? Orang berimanlah yang wajib membenarkan janji Allah supaya Allah mengotakan janji-Nya. Jadilah mukmin yang sebenar.

Redha Allah sebagai satu-satunya Rabb,
Islam sebagai manhaj-Nya,
Rasul sebagai penunjuk jalan,
Al-Quran sebagai panduannya,
Bersikap bara’ terhadap segala yang bercanggah dengan perintah-Nya dalam aspek aqidah, ideologi, akhlak dan seluruh sistem kehidupan.

Hanya dengan keimanan sebegini yang dapat menjamin kesejahteraan, kemenangan dan kemuliaan bagi orang beriman. Seterusnya kejayaan di akhirat kelak.

Persoalannya, apakah tidak ada di kalangan kita orang yang baik-baik (soleh)?

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 19/7/2018