UEC: Menteri Pendidikan dicabar debat

Nasional
Typography

MAJLIS Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan bersama-sama gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) telah bersiap sedia untuk menggerakkan himpunan bantahan rakyat secara besar-besaran kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang tegar dan tidak mahu menarik balik kenyataan beliau mengiktiraf UEC yang beliau telah buat pada 12 Julai lalu di PICC Putrajaya.

Himpunan ini akan disertai oleh semua lapisan tokoh-tokoh pendidikan, bahasa, ahli akademik, NGO-NGO, tokoh sejarah, ahli masyarakat dan ahli-ahli politik.

Himpunan bantahan ini merupakan simbol sejarah kepada rakyat dan negara bahawa UEC tidak sekali-kali dibenarkan untuk diiktiraf di dalam sistem kerangka Pendidikan Kebangsaan.

Diseru semua pimpinan dan rakyat yang cintakan Bahasa Kebangsaan dan Sistem Pendidikan Kebangsaan agar dapat bersama-sama dalam perhimpunan yang bersejarah ini.

MAPPIM dan UMMAH menyangkal dakwaan Menteri Pendidikan yang menyatakan bahawa golongan yang menentang UEC adalah 'prejudis', ini suatu kenyataan seorang Menteri yang menghina pejuang bahasa, pendidikan dan sejarawan.

Maka MAPPIM dan UMMAH mencabar dan bersedia menyediakan tempat kepada Menteri Pendidikan untuk berdebat pada bila-bila masa dengan tokoh-tokoh bahasa, pendidikan, sejarah, undang-undang dan NGO-NGO bagi melihat secara objektif dan berfakta bagaimana UEC akan memberi kesan dan malapetaka kepada Sistem Pendidikan Kebangsaan.

Sikap tegar Menteri Pendidikan untuk mengiktiraf UEC sehingga masih lagi tidak membayangkan untuk menarik semula kenyataan beliau sehingga tempoh yang diberikan (7 hari - sehingga 21hb Julai ini) akan meningkatkan lagi semangat rakyat untuk berhimpun pada 28hb nanti.

MOHD ZAI MUSTAFA
Ketua Eksekutif MAPPIM
Ahli Jawatankuasa Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) - HARAKAHDAILY 18/7/2018