Kerajaan PH: Fenomena baru buat Melayu Islam

Nasional
Typography

KEPUTUSAN Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) bukan hanya telah melahirkan sebuah kerajaan baru di peringkat Persekutuan tetapi ia juga sebenarnya mencetuskan satu fenomena baru yang tidak pernah berlaku dalam negara sebelum ini. Fenomena inilah, baik atau buruk sedang ditanggung dan dirasai kesannya oleh rakyat Malaysia khususnya umat Melayu Islam.

Pakatan Harapan atau PH menguasai kerajaan Persekutuan dengan dengan memenangi 124 kerusi Parlimen daripada 222 yang dipertandingkan, cukup untuk membentuk kerajaan. Kerajaan PH yang punya majoriti inilah bakal memerintah negara dan menentukan dasar dan hala tuju negara buat lima tahun yang akan datang.

Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia yang punya lebih 61.7 peratus penduduk Bumiputera dan lebih 61.3 peratus rakyat beragama Islam, majoriti yang dikuasai kerajaan PH hari ini tidak mencermin majoriti penduduk dan penganutnya.

Pemusatan kuasa dalam kaedah majority rule hari ini unik di Malaysia bilamana majoriti yang diperolehi oleh parti pemerintah tidak lagi mewakili penduduk majoriti. Daripada 124 kerusi yang dimenangi PH pada PRU lalu, hanya 58 ahli parlimennya beragama Islam, manakala 66 terdiri dari bukan Islam.

Dalam erti kata lain majoriti kuasa yang memimpin dan menguasai negara hari ini adalah majoriti bukan Melayu/Islam, iaitu pemisahan dari status quo sejak dari merdeka.

Ia walau bagaimanapun bukannya satu jenayah atau kesalahan, cuma masalahnya mereka yang berkuasa sebenarnya datang dari kelompok minoriti. Ujiannya mampukah kelompok minoriti yang memegang kuasa majoriti ini berupaya memberikan keadilan, kesaksamaan dan tidak meletakkan nafsu politik mereka mengatasi kepentingan rakyat majoriti?

Bagaimana perkara ini boleh berlaku, soalan ini perlu diajukan kepada para pengundi yang membuat pilihan. Mungkin kerana terlalu ghairah untuk mengejar sesuatu agenda atau mengimpikan sesuatu perubahan, mereka khasnya pengundi Melayu/Islam tidak sedar mereka sebenarnya menaikkan warga mereka dari kelompok minoriti ke atas untuk memegang tampuk menguasai dan menentukan nasib dan masa depan mereka dalam negara sedangkan mereka warga majoriti dalam negara.

Umpamanya keputusan PRU14 meletakkan lebih dua pertiga dari 66 ahli Parlimen bukan Islam yang duduk dalam kerajaan PH hari ini dari parti DAP.

Kerana itu sudah pasti dengan menguasai majority rule dalam kerajaan selain 30 daripada PKR yang bukan Islam dan dua lagi dari Warisan, mereka ini akan terdorong menggunakan kuasa dalam tangan untuk memperjuangkan kepentingan dan agenda politik mereka masing-masing. Mereka tidak bersalah kerana mereka tidak menaikkan diri sendiri, tetapi para pengundilah khususnya para pengundi Melayu/Islam yang sebenarnya membantu menaikkan mereka.

Lantas sejak dari PRU14 lalu kita telah melihat beberapa keputusan kerajaan agak asing dan berbeza dari yang kita kehendaki dan boleh terima. Melantik seorang Peguam Negara dari kalangan bukan Islam, begitu juga terbaru Ketua Hakim Negara.

Ianya pelik dan mencetuskan keresahan, namun kita perlu sedar, ianya dapat dilaksanakan kerana majority rule itu berada dalam tangan parti pemerintah hari ini, dan kuasa itu kitalah sebenarnya yang telah berikan.

Hari ini umpamanya lagi perjuangan puluhan tahun DAP untuk mendapat pengiktirafan terhadap sijil UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) yang kuat ditentang oleh golongan pendidik, malah sebahagian merasakan ia bertentangan dengan Dasar Pelajaran Negara, bakal direalisasikan, kerana hari ini mereka punya kuasa politik.

Protes dan bantahlah mana-mana golongan dan kelompok, pokoknya kuasa yang dimaksudkan tangan kita inilah yang telah berikan dalam PRU14 lalu.

Fenomena ini tidak akan berhenti di situ, malah banyak lagi perubahan terpaksa kita telan, kerana parti-parti yang berkuasa ini jelas agenda perjuangan mereka. Dengan memperolehi majority rule sudah barang pasti instrumen yang kita serahkan itu akan mereka gunakan semaksimum mungkin untuk mencapai dendam hajat dan cita-cita masing-masing.

Awal-awal contohnya Kementerian Pendidikan mengumumkan tambahan 1,000 kuota tawaran khas untuk pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan Bumiputera berbangsa Cina daripada golongan B40 ke Kolej Matrikulasi kementerian bagi sesi 2018/2019. Ini jelas diperolehi kerana menghargai sokongan besar masyarakat Cina terhadap PH dalam pilihan raya lalu.

Inilah kesan yang pernah disuarakan oleh Presiden PAS selepas PRU lalu.

Jika majority rule ini digunakan tanpa menjejas hak dan kepentingan golongan majoriti, ia sesuatu yang boleh diterima, namun demikian mustahil kuasa yang diperolehi tidak akan digunakan sepenuhnya untuk memanjangkan agenda politik masing-masing yang berkuasa.

DAP dengan agenda “Malaysia Malaysia”nya dan Negara Sekular, sudah pasti mahu melihat matlamat perjuangan mereka jika tidak pun terlaksana sepenuhnya, mula diterjemahkan dalam dasar dan polisi kerajaan.

Kerana itu puak-puak liberal, moderat, sekular, LGBT dan berbagai yang tahyul dan sesat mula melonjak-lonjak membuat pelbagai tuntutan kerana majority rule hari ini dipegang oleh parti yang mereka sokong. Sesiapa pun tidak berhak menghalang, kerana para pengundi telah memberi kuasa kepada parti mereka.

Namun di Malaysia, PRU bukannya memberikan kuasa mutlak dan kekal kepada satu-satu parti atau kelompok yang punya majority rule itu. Kuasa mereka bertempoh, iaitu maksimum lima tahun dan selepas itu rakyat sekali lagi diberi kuasa memilih. Jika ternyata kita telah tersilap, menggadaikan maruah dan kepentingan tanpa disedari atau tertipu, maka bermuhasabalah, dan bersedia mulai sekarang untuk memperbetulkan kesilapan yang menjejaskan nasib dan masa depan kita itu.

Bersatu dan berpadu mulai sekarang, agar angkara hari ini tidak kekal buat selama-lamanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2018