Malaysia dalam geo-politik baru Asia Tenggara (Siri 2)

Nasional
Typography

PERANAN Malaysia mencorakkan geo-politik baru Asia Tenggara 

Tidaklah keterlaluan untuk dikatakan bahawa perkembangan mutakhir ASEAN dan peranannya dalam mencorakkan rantau Asia Tenggara dan Wilayah Timur dunia umumnya, disumbangkan sedikit sebanyak oleh peranan Malaysia. Peranan Malaysia dalam ASEAN sememangnya penting sejak dari awal penubuhan pertubuhan tersebut, sebagai antara negara yang mengasaskannya. Di dalam ASEAN, Malaysia memainkan peranan aktif di dalam melestarikan kestabilan politik rantau Asia Tenggara ini antaranya dengan menggagaskan perisytiharan ZOPFAN, penyelesaian konflik wilayah bergolak dan menarik Myanmar untuk menganggotai pertubuhan tersebut. Malaysia juga memainkan peranan penting dalam penubuhan Komuniti ASEAN dan memperluaskan peranan ASEAN dengan mencadangkan penubuhan Kaukus Ekonomi Asia Timur (EAEC) yang membawa kepada penubuhan forum ASEAN Plus 8 dan EAS. Berdasarkan peranan Malaysia dalam isu-isu tersebut, sememangnya pengaruh Malaysia dalam geo-politik baru Asia Tenggara adalah begitu signifikan.

Malaysia dilihat mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan tersebut disebabkan oleh latar belakang Islam yang menjadi tonggak pembinaan negara. Di dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 3, menyatakan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan (Malaysia)”. Kedudukan Islam yang menjadi tonggak Malaysia, membolehkan negara ini melaksanakan tuntutan-tuntutan Islam ke arah mewujudkan kestabilan dan kemakmuran. Selain daripada itu, Malaysia diketuai oleh seorang Yang DiPertuan Agong, yang juga merupakan Ketua Agama Islam bagi Persekutuan. Dari sejarah pula, Islam yang sampai ke Asia Tenggara termasuk Malaysia adalah berorientasikan sufi sehingga tidak wujudkan konflik yang besar ketika kemasukannya di rantau ini. Kesemua latar belakang tersebut menjadikan Islam boleh diamalkan di Malaysia secara aman dan berkesan. Hasilnya, pendekatan Islam yang dipelopori oleh Malaysia adalah bertolak-ansur dan harmoni, seterusnya mewujudkan kestabilan bukannya hanya di negara ini tetapi juga di rantau Asia Tenggara.

Selain daripada faktor Islam, Malaysia juga merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan mereka menganut kepelbagaian agama, menjadikan negara ini mempunyai pengalaman yang sangat berharga untuk memelihara kestabilan dan kemakmuran. Kesemua etnik yang membina warga Malaysia ini, memperolehi hak yang saksama malah mereka mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam pembentukan Kerajaan Malaysia. Masyarakat Malaysia boleh juga dianggap sebagai pewaris kepada beberapa peradaban besar Asia seperti Peradaban Melayu-Islam, Peradaban China dan Peradaban India, dengan merujuk kepada tiga etnik terbesar dalam negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Sejak daripada zaman dahulu lagi, ketiga-tiga peradaban ini saling berinteraksi secara harmoni dan wujudnya hubungan diplomatik yang baik. Latar belakang ini menjadikan Malaysia mempunyai pengalaman yang luas untuk mewujudkan kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara, di samping mempunyai keupayaan untuk membina hubungan yang baik dengan Negara China dan India.

Dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN, Malaysia adalah antara negara yang teratas dari sudut kemakmuran ekonomi. Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar Perkapita (KDNK Perkapita), Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Singapura, iaitu sebanyak USD 9623. Malaysia juga mendahului negara-negara anggota lain dari segi keterlibatan dengan industri berat seperti Industri Minyak dan Gas serta Industri Automatif. Kemudahan asas yang dimiliki oleh Malaysia adalah antara yang terbaik dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Tenggara ini. Dalam konteks global pula, Malaysia juga selalu dilihat sebagai negara yang mempelopori sistem kewangan dan perbankan Islam. Dengan pencapaian-pencapaian tersebut, Malaysia diletakkkan oleh World Economy Forum di tangga ke-25 sebagai negara yang paling kompetitif di dunia. Dalam kalangan Negara-negara ASEAN, Malaysia di tangga kedua selepas Singapura. Oleh sebab itu, berdasarkan pencapaian ini, Malaysia merupakan antara pengaruh penting yang mencorakkan geo-politik Asia Tenggara hari ini. 

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Pusat Penyelidikan PAS - HARAKAHDAILY 18/7/2018