Pemuda PAS Pasca PRU14

Nasional
Typography

SINAR HARIAN: Untuk soalan pertama YB, kita lihat kepada PRU yang lalu, sesetengah pihak menganggap kemenangan besar PAS di Terengganu dan Kelantan pada PRU lalu disebabkan oleh faktor Tsunami rakyat. Jadi bukannya kerana faktor kekuatan PAS sendiri. Jadi apa komen YB?

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI: Bismillahirrahmanirrahim, asssalamualaikum W.B.T kepada seluruh pelayar-pelayar Sinar Live. Yang pertamanya saya ucap terima kasih kepada Sinar Harian yang memberikan ruang dan peluang sekali lagi kepada saya untuk ada dalam program yang diaturkan ini sebagaimana tajuk yang disebutkan tadi.

Walaupun PRU yang ke-14 sudah dua bulan berlalu, tapi kita lihat bahang dia masih panas. Dan kita tahu semua Parlimen baru sahaja memulakan sidang semalam setelah selesai daripada angkat sumpah. Dan persoalan yang ditimbulkan tadi berkait dengan keputusan PRU lepas yang diperolehi oleh PAS.

Ada yang kata bukan kerana kekuatan PAS, tapi kerana Tsunami rakyat. Pada pandangan saya, kita perlu menganalisa keputusan PRU yang lepas dengan analisa yang menyeluruh. Sudah tentu di antara faktor yang memberikan natijah kepada PRU yang lepas adalah kerana Tsunami rakyat ataupun kebangkitan rakyat yang telah merubah satu sejarah politik dalam negara kita yang tidak pernah berlaku sejak daripada kemerdekaan lagi.

Adapun bagi PAS, saya percaya bahawa di antara aspek yang penting yang perlu kita lihat dalam kerangka politik di dalam negara kita ialah sistem pilihan raya itu sendiri. Di mana ia berkehendakkan kepada kekuatan jentera parti khususnya di peringkat grass root. Kerana sistem pilihan raya kita berbeza dengan sistem pilihan raya di tempat-tempat ataupun di negara-negara yang lain.

Jadi, saya tidak menolak salah satu faktor keputusan PRU lepas ialah kerana keputusan rakyat yang kita lihat sebagaimana disebutkan tadi sebagai satu Tsunami. Tapi dalam masa yang sama, PAS memperolehi satu jumlah kerusi Parlimen yang sangat baik, dalam keadaan bersendirian berbanding dengan Barisan Nasional dan juga PH. Bersendirian di sini ialah dengan Gagasan yang tersendiri iaitu Gagasan Sejahtera.

Dalam masa yang sama kita juga memperoleh sebanyak 90 kerusi Dun, kita berjaya mempertahankan kemenangan di Kelantan dan berjaya kembali memerintah di Terengganu dan berjaya mendapat satu kerusi yang sangat baik di Kedah dan juga di Pahang. Jadi saya percaya bahawa keputusan-keputusan yang diperolehi PAS ini adalah di antara faktornya kerana kekuatan grass root, kekuatan jentera PAS di semua peringkat yang telah membuat kerja-kerja pilihan raya ini lebih awal dari segi culanya, kempennya, dan lain-lain lagi.

Maksud persediaan awal itu YB boleh ulas sikit tak sejak bila kerja-kerja kempen PAS, salah satu contohnya telah dimulakan oleh jentera PAS sendiri? 

Sudah menjadi amalan dalam PAS ini sejurus selepas daripada diadakan PRU ataupun PRK, maka jentera-jentera kita akan terus buat kerja di peringkat masing-masing. Kerja kempen, bertemu dengan pengundi, bertemu dengan badan-badan sama ada NGO ataupun pihak kerajaan untuk kita menyelesaikan masalah rakyat. Dalam masa yang sama melakukan kerja-kerja teknikal dalam pilihan raya seperti mendaftar pengundi, cula pengundi dan lain-lain.

Ok, untuk soalan seterusnya YB mengambil contoh situasi PAS di Selangor, yang mana dilihat gagal menang besar biarpun pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini. Jadi boleh baik YB bagi pandangan sikit tak mengenai, mungkin kegagalan PAS untuk menang di Selangor?

Ok. Tadi saya ada sebut di antara kaedah ataupun cara yang pada pandangan saya untuk menganalisa keputusan PRU lepas ialah kita perlu melihat dengan menyeluruh. Suasana di Pantai Timur berbeza dengan suasana di Pantai Barat dari sudut sosiopolitiknya, dari sudut demografi politiknya.

Contohnya di Pantai Timur majoritinya ialah pengundi Melayu Islam berbeza dengan di Pantai Barat termasuklah Negeri Selangor. Yang mana kerusi-kerusi di Parlimen dan juga kerusi Dun, kita dapati pecahan pengundi-pengundi mengikut bangsa agak berbeza dengan keadaannya di Pantai Timur. Jadi ini memberi kesan. Kerana sebahagian daripada kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PAS di Selangor dari segi komposisi kaumnya sama ada 60 Melayu, kemudian bakinya Cina dan juga India. Ataupun 70 Melayu, bakinya adalah Cina dan India.

Jadi kita semua mengetahui bahawa fakta PRU yang lepas, antaranya ialah pengundi-pengundi daripada kalangan Cina dan India memberikan undi mereka, boleh dikatakan solid kepada PH.

Jadi ini adalah di antara faktor-faktor yang perlu dilihat. Dan saya menyaksikan sendiri bagaimana jentera-jentera PAS di Selangor, mereka adalah jentera-jentera yang sangat kuat bekerja, daripada peringkat awal lagi. Tetapi apa yang berlaku dalam PRU baru ini agak berbeza dengan PRU-PRU yang lepas. Di mana pengundi-pengundi membuat keputusan berasaskan kepada emosi semata-mata, emosi benci kepada BN, emosi benci kepada Najib, menyebabkan faktor-faktor lain tidak diambil kira. Di antaranya ialah faktor calon-calon yang dikemukakan oleh parti-parti.

Di Selangor sebagai contoh, PAS mengemukakan calon-calon yang saya kira sangat baik, yang menggabungkan di antara tokoh-tokoh ugama, Teknokrat, profesional, dan lain-lain lagi. Tetapi ini semua tidak dilihat kerana faktor yang diambil oleh pengundi tadi adalah emosi marah kepada BN, marah kepada Najib mengatasi perkara-perkara lain yang perlu dilihat dan diberikan perhatian.

Ok, baik, sebagaimana yang YB jelaskan ini mengenai penolakan orang muda terhadap bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib mempengaruhi keputusan pada PRU terutama di Selangor. Jadi kita lihatnya, mungkin PRU14 dianggap sebagai gelombang, bukan daripada pengundi-pengundi muda ataupun pengundi-pengundi yang pertama kali yang nekad untuk mengubah kerajaan. Jadi kita lihat, jadi bagaimana YB melihat sejauh manakah Pemuda PAS memainkan peranan dalam mempengaruhi orang muda untuk menolak Kerajaan Barisan Nasional yang sebelum ini?

Ya. Kita semua menyedari bahawa faktor pengundi muda adalah satu faktor yang sangat penting di dalam menentukan natijah dan keputusan PRU yang lepas, bukan sahaja yang lepas, termasuklah sebelum ini, dan termasuklah pada masa yang akan datang.

Oleh kerana itulah setiap parti memberikan perhatian kepada pengundi-pengundi muda dengan approach yang berbeza di antara satu sama lain. Bagi PAS, kami Dewan Pemuda PAS, kami mempunyai approach dan pendekatan yang tersendiri di dalam kita menarik pengundi-pengundi muda untuk memberikan undi mereka kepada PAS dalam PRU yang lepas.

Antara asas yang kita ambil, anak muda ini sifat semula jadinya semangat yang tinggi. Oleh kerana itulah approach diambil oleh kami dalam Dewan Pemuda di dalam menarik pengundi-pengundi muda ialah approach dengan memberikan maklumat yang betul dan tepat. Kita tidak mengambil approach seperti PH yang memainkan sentimen dan emosi kebencian kepada BN, kebencian kepada Najib. Di atas sentimen itu, maka kita lihat satu gelombang daripada pengundi-pengundi muda walaupun bukan keseluruhan yang telah diberikan undi mereka kepada PH dalam PRU yang lepas.

Jadi itu pendekatan yang kita ambil. Memang ia satu pendekatan yang tidak popular, kerana kita PAS sebagai sebuah parti Islam, kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan masyarakat berada di atas landasan yang betul dan tepat, bukan sahaja dengan membangkitkan emosi, dan semangat mereka, marah benci, sehingga menggadaikan maruah dan masa depan negara kita.

Ok, ok YB, di samping apa perbualan kita hari ini, ada persoalan daripada pelayar-pelayar Facebook ya. Daripada Muliadi Abu Bakar, mungkin YB dah ada ulas tadi yang mengenai situasi PAS di Selangor ya, tapi dia bertanyakan mengenai dia mengatakan bahawa PAS telah ditolak di Selangor. Jadi YB komen sikit tak?

Tadi saya telah sebut, apa yang berlaku di Selangor, bukan sahaja di Selangor, bahkan juga di negeri-negeri lain, kita boleh buat satu keputusan PRU yang lepas, pengundi-pengundi membuat keputusan, khususnya anak muda berasaskan kepada emosi, sentimen yang saya sebutkan tadi.

Jadi, saya kira, memanglah kalau diukur dari sudut keputusan pilihan raya, PAS gagal dan saya tak sebut gagallah, saya kata belum menang lagi di Selangor, belum menang lagi di Selangor. Tetapi dari segi pendekatan yang diambil oleh PAS di Selangor dan secara keseluruhannya, saya percaya PAS telah mengambil satu pendekatan yang betul dan tepat berasaskan kepada manifesto yang kita tawarkan kepada rakyat satu manifesto yang meyakinkan, satu manifesto yang melihat ke hadapan.

Yang keduanya ialah PAS masuk dalam PRU yang lepas khususnya di Selangor, kita masuk dengan sebuah parti yang bersih. Kita tak nafikan, kita ada kekurangan. Tapi kalau compare dengan parti-parti yang lain, kita masuk dengan imej yang bersih. Umno dengan sejarahnya yang kita tahu, terpalit dengan rasuah sehingga menjatuhkan Kerajaan BN pimpinan Khir Toyo dulu, kemudian kita lihat juga bagaimana Pakatan Rakyat pada ketika itu yang sanggup melakukan perancangan yang disebut sebagai Langkah Kajang semata-mata untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar di Selangor, walaupun individu itu didapati tidak bersalah di mahkamah.

Jadi PAS berbeza, walaupun dari segi politiknya ketika itu PAS bersama dengan PR, tetapi dari segi politik yang betul, PAS mengambil sikap membela Tan Sri Khalid. Jadi kita masuk dalam PRU yang lepas khususnya di Selangor, kita masuk dengan imej yang bersih, berbanding dengan parti-parti yang lain.

Dan yang ketiganya ialah kita mengemukakan calon-calon yang berwibawa yang saya sebutkan tadi. Tetapi apa yang kita kemukakan tadi dengan tiga elemen yang saya nyatakan tadi mengatasi sentimen dan emosi pengundi yang telah membuat keputusan untuk menyisihkan Barisan Nasional kerana apa yang ditanam di dalam diri mereka selain daripada PH mesti ditolak. Maka PAS ditolak sekali dalam PRU yang lepas.

Ok, baik. Kita ada soalan ya berkisar lagi kegagalan, bukan kegagalan, mungkin tidak menang lagi PAS di Selangor macam yang YB kata tadi. Ada daripada Muhammad Basri pelayar Facebook kita mengatakan bahawa kegagalan PAS di Selangor disebabkan oleh fitnah Pakatan Harapan. Jadi YB boleh komen sikit tak soalan daripada pelayar kita?

Itu antara malangnya politik demokrasilah secara umumnya yang diamalkan di mana-mana negara, termasuklah di dalam negara kita kerana ia terbuka. Di antara asas kepada demokrasi ini ialah kebebasan. Maka setiap parti bebas untuk menyatakan apa sahaja termasuk untuk menyatakan perkara yang tidak benar, berjanji bohong. Hari ini kita saksikan sendiri banyak janji-janji yang tak dapat ditunaikan oleh Kerajaan PH, membuat fitnah.

Jadi sedikit sebanyak memang ia terpalit kepada PAS sehingga memberikan kesan yang tidak diinginkan dalam PRU yang lepas khususnya dalam konteks di Negeri Selangor. Tetapi saya melihat keputusan PRU yang lepas, dengan penglihatan yang menyeluruh, bukan sahaja dari sudut kerusi-kerusi yang diperolehi. Memang kalau kita saksikan di Selangor, PAS hanya dapat satu kerusi.

Tetapi kalau kita lihat secara keseluruhan di seluruh negara, undi popular yang diperolehi oleh PAS melebihi dua juta. Ini satu pencapaian yang sangat baik jika sekiranya mahu dibandingkan dengan parti-parti politik yang lain. Dan saya turun berjumpa dengan jentera-jentera selepas daripada PRU yang lepas khususnya di Selangor, mereka tidak menunjukkan satu sikap yang lemah untuk bekerja. Mereka menerima keputusan PRU yang lepas sebagai satu keputusan yang diterima dengan qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah yang kami percaya di sana ada hikmah-hikmahnya.

Dan mereka terus bersemangat untuk bekerja bagi memenangkan PAS dalam PRU yang akan datang.

Ok YB, sebelum kita kepada soalan seterusnya, ada satu lagilah. Mungkin saya boleh bacakan soalan pembaca, banyak ya soalan pembaca hari ini YB. Ok, daripada Johan Wilcap yang bertanyakan, dia kata PAS boleh bekerjasama dengan semua untuk Islam. Kalau begitu, kenapa tak boleh bekerjasama dengan PAN?

PAS mengamalkan politik matang dan sejahtera. Memang itu yang kita perkenalkan kepada rakyat, sebelum daripada PRU. Dan itu apa yang kita akan teruskan sehinggalah sekarang. Jadi dalam konteks sekarang ini, kita boleh bekerjasama dengan mana-mana parti politik. Tadi saudara Johan tanya berkait dengan parti PAN, jadi kita tak bercakap dari sudut parti itu sebagai satu parti yang single, tetapi kita bercakap dari sudut Pakatan itu sendiri.

Di sini di antara apa yang kita lihat suasana politik yang berlaku mutakhir ini, contohnya ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang membela Dr Zakir Naik. Jadi kita PAS kita menyokong sikap yang diambil oleh beliau. Jadi itu di antara keterbukaan yang ditunjukkan oleh kita dalam perkara yang menguntungkan Islam, dalam perkara yang menguntungkan umat Islam, maka kita sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Jadi bila kita bercakap soal kerjasama, tolong-menolong, bukan sahaja kita menyokong, termasuklah juga kita menegur, kita memberikan pandangan yang baik, dan kritikan yang membina. Contohnya ialah bila kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri yang jaga bahagian ugama yang mewakili parti PAN baru-baru ini, Yang Berhormat Dr Mujahid, yang telah mengulas berkait dengan penjagaan ugama sehingga ditafsirkan yang ugama itu penjagaan ugama-ugama, bukan sahaja ugama Islam.

Jadi sepatutnya beliau yang memegang portfolio menjaga urusan ugama, ugama yang dimaksudkan di situ ialah ugama Islam yang telah diletakkan di dalam Perlembagaan sebagai ugama Persekutuan. Jadi itu tanggungjawabnya. Hifz ad-Din, yang dimaksudkan di situ ialah menjaga ugama Islam. Menjaga di sini dengan menghidupkan Syiar ugama, dalam masa yang sama menjaga juga ialah memelihara daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan ugama Islam itu sendiri.

Jadi di sini bukan bermakna kita tidak sensitif dengan ugama-ugama yang lain. Dalam Perlembagaan telah memberikan hak kepada penganut-penganut ugama lain, mereka bebas untuk beramal. Jadi portfolio Kementerian yang jaga bahagian ugama adalah satu portfolio yang sangat besar dalam negara kita. Kerana Perlembagaan dalam negara itu sendiri meletakkan Islam sebagai ugama Persekutuan yang perlu kita pertahankan.

Jadi di sini bila kita sebut PAS sebagai sebuah parti yang terbuka, kita mengamalkan politik matang dan sejahtera. Matang dan sejahtera di sini bukan sahaja dengan kita menyokong, memuji, tetapi juga kita menegur, menasihat dan memberikan pandangan dan kritikan yang membina.

Ok, baik. Kita ada satu lagi soalan daripada pelayar Facebook, tetapi kita hold dulu. Kita teruskan kepada soalan yang telah kita sediakan kepada YB. Ok, YB soalan yang seterusnya adakah YB setuju dengan pendapat bahawa orang muda lebih condong menyokong Pakatan Harapan pada PRU14 berbanding PAS?

Memang kita lihat dari segi fakta, keputusan PRU yang lepas, sudah tentu yang memainkan peranan yang besar kemenangan PH sehingga berjaya menjatuhkan BN adalah kerana undi pengundi muda yang mewakili satu bahagian yang besar daripada pengundi-pengundi dalam negara kita.

Tetapi kita perlu melihat dengan menyeluruh kerana pengundi-pengundi muda ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Pengundi-pengundi muda, pengundi pertama, pengundi-pengundi muda di kawasan bandar, pengundi-pengundi muda di kawasan pinggir bandar. Pengundi-pengundi muda di kawasan pedalaman, pengundi-pengundi muda di kawasan Felda dan lain-lain lagi.

Jadi nak kata keseluruhan pengundi-pengundi muda memberikan undi kepada PH dan sokongan kepada mereka, yang tidak menyokong PAS, ia agak tidak tepat kerana jawapan ini perlu dijawab secara subjektif. Kalau kita lihat di Kelantan, di Terengganu, di Kedah, kita melihat kemenangan-kemenangan PAS di negeri-negeri ini, antara peranan besarnya ialah pengundi-pengundi muda itu sendiri.

Ok, relatelah dengan soalan kita, soalan daripada pelayar kita YB. Daripada Jeng Abdul Kadir, dia mengatakan.

Siapa nama dia?

Jeng. 

Jeng.

Jeng Abdul Kadir, dia mungkin dia meluahkan pandangan ataupun pendapat dia mengatakan pengundi muda mudah tertipu dengan pembohongan dan persepsi yang tidak ada kebenaran.

Ya, saya bersetuju dengan saudara Jeng, sebagaimana saya sebutkan tadi, memang orang-orang muda ini sifat semulajadi mereka, semangat tinggi, mudah terpengaruh dengan apa-apa maklumat yang mereka terima, ditambah lagi zaman kita sekarang ini, zaman langit terbuka. Maklumat bukan sahaja di dalam TV, di rumah masing-masing, tetapi di tangan masing-masing. Jadi setiap kali mereka menerima Whatsapp, menerima maklumat di dalam Facebook, di dalam Twitter.

Maka mereka barangkali menerimanya terus ataupun menendang terus tanpa memeriksa dan mentasabbutkan terlebih dahulu maklumat-maklumat itu sama ada ianya betul ataupun tidak. Jadi ini satu gaya politik yang berlaku di dalam negara kita yang saya rasa adalah satu tanggungjawab untuk saya menasihati anak-anak muda supaya kita berhati-hati setiap maklumat yang kita terima, kita tak boleh menerimanya terus, kita mestilah melihat check terlebih dahulu adakah ianya betul ataupun tidak.

Oleh kerana itulah PAS sebenarnya konsisten mengamalkan politik dengan memberikan fakta yang betul dan benar. Kerana kita tidak mahu mendidik anak muda kita dengan politik persepsi, politik emosi semata-mata. Jadi kita mahu mendidik anak muda kita dengan politik yang berfakta. Walaupun ia memberikan satu natijah yang mungkin tidak baik kepada PAS. Tetapi untuk jangka masa panjang, ia akan memberikan satu natijah yang baik kepada kita membina generasi yang berinformatif pada masa-masa yang akan datang.

Ok baik YB, maklumat tapisan kepada maklumat-maklumat yang penyebaran-penyebaran maklumat yang tidak tepat ini mungkin menjadi antara cabaranlah kepada PAS sendiri. Untuk mungkin untuk PRU yang akan datang. Mungkin dari segi informasi itu lebih ke hadapan lagi. Jadi boleh YB nyatakan apakah usaha-usaha yang akan Pemuda laksanakan untuk memperkasakan lagi PAS-lah selepas PRU14?

Ya, saya kira ini satu cabaran yang sangat besarlah kepada PAS. Kerana kalau kita lihat kronologi PRU-PRU yang lepas, kalau PRU tahun 2008, ketika itu orang kata maklumatnya melalui SMS. Sebelum itu pun begitu juga. Kalau PRU tahun 2013, di antara yang memainkan peranan besar dari sudut maklumat ialah blog-blog yang ditulis oleh blogger-blogger.

Adapun PRU pada kali ini ramai penganalisa-penganalisa yang menyebut bahawa yang memainkan peranan yang besar ialah media sosial. Iaitu Facebook, Twitter, Whatsapp. Dan kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa yang akan datang. Jadi saya lihat memang ia satu cabaran yang sangat besarlah kepada PAS khususnya Pemuda PAS untuk kita mendepani perubahan-perubahan teknologi maklumat yang kita lihat sedang rancak berlaku ini.

Walaupun begitu, kita merangka dan merancang perancangan-perancangan. Di antaranya ialah kita mewujudkan satu Jabatan di dalam PAS iaitu Jabatan Profesional Muda. Yang mana Jabatan ini di antara peranannya ialah untuk kita melihat ruang-ruang kepada anak muda melalui teknologi maklumat supaya kita boleh mendidik mereka dengan maklumat yang betul dan tepat, berfakta.

Itu yang saya ulang sejak daripada tadi, pendekatan ataupun approach PAS sebagai sebuah parti Islam berbeza dengan parti-parti lain. Kerana kita melihat generasi muda ini adalah satu generasi yang perlu dididik. Walaupun ia memakan masa, walaupun ia satu pendekatan yang tidak popular. Kerana kalau kita nak popular, kita boleh sebut itu ini, janji itu ini, orang muda akan semangat. Orang muda akan terima, akan sokong, akan undi kita. Tetapi apa natijahnya?

Kita lihat, sekarang ini kita sama-sama saksikan bagaimana PH yang menggunakan pendekatan dan approach yang saya sebutkan tadi dengan fitnahnya, dengan janji-janjinya. Sekarang ini kita lihat kalau kita saksikan satu persatu janji PH yang nak dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, saya percaya rakyat sekarang ini tertanya-tanya, apakah PH ini akan menunaikan janji, ataupun janji-janji itu adalah janji-janji kosong....

Jadi, itu pendekatan dan approach yang diambil oleh Pemuda. Jadi kita mahu mendidik generasi muda ini dengan politik yang berfakta, politik yang benar, bukan sahaja melihat dari aspek sentimen semangat, menimbulkan persepsi .....

Ok baik, YB, kita ada soalan lagi daripada pelayar-pelayar Facebook kita iaitu daripada Muhammad Basri. Dia mengatakan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengatakan bahawa Manifesto Pakatan Harapan bukanlah sebagai Kitab Suci yang perlu ditunai. Jadi boleh YB bagi pandangan?

Terima kasih Muhammad Basri, satu soalan yang sangat baik, yang semasa. Saya pun ada baca tadi, ada orang hantar Whatsapp kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir menyebut demikian.

Jadi itu sebagai satu pengajaran kepada pengundi-pengundi supaya mereka membuat keputusan bukan berasaskan kepada semangat dengan melihat janji-janji semata-mata. Tetapi perlu melihat dengan menyeluruh. Jadi ini sebenarnya satu proses yang mendidik generasi sekarang ini untuk membuat satu keputusan yang betul dan tepat kepada PRU yang akan datang untuk kita melihat masa depan negara kita.

Dan hari ini saya percaya rakyat ramai yang tertanya-tanya, bagaimana janji-janji PH yang tidak dapat ditunaikan. Dulu kata nak hapuskan PTPTN, sekarang ini kata nak kaji semula. Dulu kata nak hapuskan GST, sejurus sahaja menang, terus nak hapus GST. Sekarang ini hanya diletakkan 0 peratus, tidak dihapuskan terus sahaja. Walaupun ada yang menyebut dalam tempoh Parlimen ini akan dibuat satu usul yang baru, itu kita akan sama-sama lihat dan saksikan.

Contoh-contoh yang lain, kita lihat sekarang ini rakyat merasa bimbang dengan pendekatan dan polisi yang dilakukan oleh Kerajaan PH berkait dengan masa depan Islam sebagai ugama Persekutuan. Begitu juga berkait dengan masa depan Bahasa Melayu kita sebagai bahasa rasmi. Sehingga kenyataan daripada Menteri Kewangan pun boleh dibuat dalam Bahasa Mandarin.

Kita tidak anti Bahasa Mandarin, tetapi kita mahu memastikan bahasa ibunda kita mestilah dimartabatkan. Jadi ini perkara-perkara yang kita dibimbangkan rakyat. Oleh kerana itulah PAS kita berbeza, kita tak menafikan kita ada kelemahan. Contohnya berkait dengan manifesto di Negeri Terengganu.

Sebelum kita rangka manifesto, kita kaji dulu. Adakah apa yang kita tawarkan kepada rakyat ini kita mampu buat ataupun tidak? Saya pernah sebut dalam statement saya sebelum ini bila ada wartawan tanya berkait dengan Manifesto PAS Negeri Terengganu, adakah akan berjaya dibuat dalam tempoh 100 hari? Saya kata kita tidak tertakluk dengan 100 hari, kita bukan macam PH.

Mereka boleh janji nak buat dalam 100 hari, sekarang ini 100 hari sudah hampir. Tapi banyak lagi yang tidak boleh dilaksanakan. Kita di Terengganu kita akan laksanakan manifesto yang kita tawarkan dalam tempoh mandat yang diberikan oleh rakyat, empat ataupun lima tahun.

Dan sekarang ini kita telah buat satu persatu, step by step, peringkat demi peringkat. Jadi itu perbezaan PAS dengan parti-parti politik yang lain.

Ok, kita ke soalan yang seterusnya ya YB, mungkin soalan ini dah seringkali didengari dan sering ditanyakan mengenai apa hubungan antara PAS dan Umno yang seolah-olah dilihat wujud kerjasama politik antara kedua-dua parti. Dan ia sering dinafikan oleh PAS sendiri, dan Umno pun sering menafikan. Tapi keadaan itu wujud, seolah-olah ada wujudnya kerjasama antara dua parti itu. Apakah yang boleh YB tegaskanlah dalam isu ini?

Saya berpandangan kita perlu keluar daripada kepompong, PAS ini tak boleh bekerjasama dengan Umno. PAS ini tidak boleh duduk semeja dengan Umno, PAS ini tidak boleh bersetuju dengan Umno.

Bagi saya, PAS adalah sebuah parti yang terbuka. Dan Tuan Guru Presiden telah menyebut dalam salah satu statementnya yang menggariskan panduan politik dari sudut hubungan PAS dengan parti-parti politik yang lain. PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik di atas asas Ta’awun. Umno adalah parti politik yang hampir dengan PAS.

Dalam PH pun begitu. Parti PAN adalah satu parti yang ditubuhkan kerana kecewa dengan PAS. Mereka adalah saudara-saudara se-Islam kita. Dalam PKR pun begitu, dalam Bersatu pun begitu. Jadi PAS adalah sebuah parti yang terbuka. Kita boleh bekerjasama dengan semua pihak untuk kepentingan Islam dan kepentingan umat Islam dalam negara kita tanpa mengira parti mana-mana sekalipun.

Oleh kerana itulah dalam konteks hubungan PAS dengan Umno. Bukan sahaja zaman Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, zaman Tun Mahathir jadi Perdana Menteri dulu, semasa dia dalam Umno. PAS banyak kali bersetuju dengan polisi-polisi, pandangan-pandangan yang dibawa oleh beliau. Antaranya ialah dalam isu-isu antarabangsa. Bila beliau menyatakan sokongan kepada umat Islam di Bosnia. Kita bersetuju dengan dasar dan pendirian yang diambil oleh beliau.

Jadi dalam konteks sekarang ini, Umno adalah pembangkang. Jadi, kita masih lagi terbuka. PAS masih lagi terbuka dan kita lihat apa yang berlaku semalam, sebagai parti-parti yang berada dalam blok pembangkang, kita menyatakan bahawa Umno lebih layak untuk menjadi ketua pembangkang kerana Umno adalah parti yang terbesar daripada kalangan parti-parti pembangkang.

Jadi ini tidak bermakna bila PAS bersetuju demikian, maka PAS bersama-sama dengan Umno. Jadi ada benda yang kita bersama, ada benda yang kita tidak bersetuju. Contohnya ialah kita lihat penyakit besar dalam Umno, rasuah, salah guna kuasa, yang telah ditolak oleh rakyat. Jadi ini semua perlu diubah.

Umno tidak boleh selamat melainkan kembali kepada Islam. Inilah ubat yang sentiasa PAS ulang sejak daripada dulu sampai hari ini. Jadi dalam mendepani cabaran-cabaran politik semasa pada hari ini, saya percaya ahli-ahli Umno tidak dapat tidak mesti bersama-sama dengan PAS. Kerana kita lihat nak harap kepada Umno dan hari ini sudah terjawab bagaimana sikap Umno di Kedah, sikap Umno di Perak, sikap Umno dalam beberapa kerusi Parlimen, tiba-tiba isytihar keluar daripada parti, sedangkan itu mandat yang diberikan oleh rakyat.

Jadi PAS alhamdulillah kita steady. Kita masih lagi steady. Kita mengekalkan kemenangan di Kelantan, kita menang di Terengganu. Dan insyaAllah kita akan mengorak langkah yang lebih kuat untuk mendepani cabaran-cabaran semasa politik dalam negara kita ini.

Ok, baik, YB, masih lagi berkisar mengenai kerjasama, isu kerjasama PAS dengan Umno ini ya. Ada, daripada Peguam Presiden PAS sendiri ada mengesahkan bahawa rakaman audio yang didakwa milik Nik Abduh yang mengaku menerima wang daripada Umno adalah tulen. Jadi apa komen YB mengenai pengesahan daripada Peguam Presiden sendiri?

Saya percaya ini kes berkait dengan mahkamah yang perlu melalui prosedurnya. Jadi saya tidak perlu komenlah di sini. Cuma apa yang saya nak sebutnya ialah kita akan menunggu proses yang berlaku ini daripada semasa ke semasa dan kita akan melihatlah natijahnya nanti, siapa yang benar siapa yang salah.

Ok baik. Mungkin YB boleh simpulkanlah daripada perbualan kita ya pada hari ini. Jadi boleh bagi kesimpulan dari segi hala tuju, apakah hala tuju Pemuda selepas PRU14 dan bagaimana hala tuju untuk menuju ke PRU15 nanti?

Terima kasih. Bagi Dewan Pemuda PAS, kita memerhatikan dengan serius, dengan penuh tekun, dengan penuh berhati-hati suasana politik yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Yang pertamanya Pemuda PAS akan terus wala’ dan setia kepada kepimpinan parti. Apa sahaja hala tuju yang akan dibawa oleh parti, yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak, maka Pemuda PAS akan mendukungnya dengan sekuat-kuatnya untuk memastikan kekuatan parti terus utuh di dalam mendepani cabaran-cabaran yang berlaku ini.

Yang keduanya, Pemuda PAS melihat suasana politik yang berlaku pada hari ini memerlukan kepada perubahan-perubahan dari sudut pendekatan dan strategi. Jadi ini akan kita fikir, akan kita garis, akan kita rancang untuk mendepani cabaran-cabaran ini. Antaranya ialah kita melihat kebarangkalian perubahan sistem pilihan raya untuk PRU yang akan datang khususnya dari sudut had umur, kalau sekarang ini umur 21 tahun, mungkin PRU yang akan datang 18 tahun.

Jadi, di sini kita perlu melihat dengan lebih bersungguh bagaimana untuk kita mendekati bukan sahaja daripada kalangan pengundi-pengundi muda 21 tahun ke atas, tetapi sekarang ini kita akan melebarkan lagi ruang dakwah politik kita dengan remaja dan belia yang perlu diberikan keutamaan.

Yang ketiganya, Pemuda PAS akan terus mengamal dan menyemarakkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Kita akan terus engage dengan setiap lapisan masyarakat, agensi-agensi kerajaan, NGO-NGO untuk kita melebarkan politik dakwah ini.

Dan yang keempatnya, Pemuda PAS akan terus istiqamah dengan dasar parti, dan akan meluaskan lagi bentuk strategi dan pendekatan bagi kita mendekati pengundi-pengundi dalam ruang-ruang yang begitu luas pada hari ini khususnya media sosial, media baru yang perlu kepada pendekatan-pendekatan baru yang kita lihat ianya adalah satu cabaran kepada kami untuk menunaikan tanggungjawab kepada ......

(Teks transkrip dari temu bual Sinar Harian bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam Siaran Langsung Sinar Harian (Pemuda PAS Pasca PRU14) di Live Facebook Sinar Harian petang tadi yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR) - HARAKAHDAILY 17/7/2018