Iktibar daripada Perancis

Nasional
Typography

MUNGKIN ramai yang menyokong Perancis pada final Piala Dunia dua hari lalu. Sama ada sememangnya menyokong daripada awal, ataupun menjadi sebahagian daripada lalang-lalang yang meliuk lentok ditiup angin. Biarkanlah, ianya hanya untuk suka-suka. Tiada satu sen pun yang mereka hulurkan kepada anda, sama ada penyokong asli tegar, mahupun penyokong tiruan selepas mereka menang.

Namun di sebalik semua itu, saya yakin dan percaya, terutama kepada golongan muda, mereka tidak mengetahui beberapa peristiwa menarik berkenaan pasukan Perancis ketika mereka mempunyai satu pasukan yang kuat, tetapi gagal melayakkan diri ke Piala Dunia pada tahun 1994 di Amerika. Cerita yang menarik, dengan nama dan watak-watak yang sangat terkenal, terbabit di dalam pertelingkahan itu sehingga mengecewakan seluruh rakyat Perancis dan peminat mereka.

Eric Cantona dan David Ginola, dua watak utama dalam pertelagahan di dalam pasukan kendalian Gerald Houllier itu. Pada ketika itu, Perancis menduduki kumpulan yang dianggap mudah bersama Bulgaria dan juga Israel, sebuah pasukan kerdil dan tidak pernah menang dalam kumpulan itu. Maka dengan keyakinan tinggi, Perancis pasti akan mara ke Piala Dunia. Kisah kekecewaan itu bermula apabila Perancis hanya perlu paling kurang satu seri. Maka pertemuan kedua-duanya itu adalah bertemu Israel dan Bulgaria di Paris.

Secara tiba-tiba, Perancis kalah kepada Israel di Paris. Pasukan yang turut dibintangi Jean Pierre Papin, Didier Dechamps (Pengurus Perancis sekarang), Lilian Thuram, Benard Lama dan ramai lagi, dikutuk oleh peminat mereka sendiri. Mereka sedar, mereka mesti bangkit. Kali ini, Bulgaria bakal menjadi mangsa ledakan kemarahan mereka. Tibalah hari penentuan dengan Bulgaria. Pada minit ke 89, Perancis masih seri dengan 1-1. Bola berada di kaki David Ginola. Di sebalik Ginola boleh melambat-lambatkan permainan, beliau memilih untuk menyilang bola ke arah gol Bulgaria, tanpa ada pemain Perancis. 

Hasilnya, bola itu dirampas oleh pemain Bulgaria dan dalam masa yang singkat, mereka berjaya menyumbat gol kemenangan. Sumpah seranah oleh Houllier tertuju kepada Ginola. Perbalahan dalam pasukan mereka kian membarah. Ginola kemudiannya mendakwa Papin dan Cantona mendapat kedudukan istimewa di sisi Houllier. Walhasilnya, kerana bermusuh, tidak mengendahkan semangat profesional, maka yang kalah dan menanggung malu, bukan sahaja mereka, malah seluruh rakyat dan peminat Perancis.

Bersambung lagi kisah mereka di Euro 96 di England. Masih membenci sesama sendiri, mereka membuatkan kepala jurulatih Aime Jacque pening. Masing-masing mendakwa merekalah bintang bagi pasukan Perancis. Dakwa Cantona, jika dia dipilih, Ginola mesti keluar. Begitu juga sebaliknya di pihak Ginola. Akhirnya kedua-duanya disingkirkan daripada skuad, satu tindakan berani oleh jurulatih bagi menyelamatkan keadaan daripada menjadi lebih parah. Akhirnya dua tahun berselang, Perancis berjaya merangkul kejuaran Piala Dunia buat kali pertamanya. Ini adalah secebis sejarah bola sepak Perancis.

Pada malam Final Piala Dunia yang lalu, di dewan makan tempat saya bekerja, kelihatan satu kelompok kawan Muslim saya daripada Algeria yang memilih duduk di hadapan skrin TV bagi menyaksikan perlawanan itu. Sorakan yang agak kuat daripada mereka, membuatkan saya tersenyum melihat kesungguhan mereka bersorak. Lantas saya hampiri mereka, pasukan manakah yang disokong mereka. Secara jama'ei mereka menjawab Croatia. Kenapa tidak Perancis? Saya sekadar menguji. Mereka benci Perancis. Ini boleh difahami kerana mereka pernah dijajah oleh Perancis. Maka sorakan mereka berterusan apabila Croatia menjaringkan gol. Gembira sungguh mereka. Bagaikan berjaya membedil Perancis apabila Croatia menyumbat gol.

Tetapi di dalam kebencian mereka terhadap Perancis yang kafir itu, mereka sendiri tidaklah mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Mereka ini, ada yang tidak solat, ada yang memakai rantai emas. Tidak kita lupa bagaimana FIS, sebuah Parti Islam di Algeria suatu ketika dahulu pada awal 90-an telah dibunuh beramai-ramai oleh Kerajaan Algeria. Di hadapan mereka kejadian pembunuhan itu berlaku dan mereka, sebahagiannya masih menyalahkan FIS sebagai dalang. Mereka membenci Perancis sebagai penakluk negara mereka, tetapi mereka memilih juga kumpulan yang tidak membawa mereka kepada jalan Allah.

Beginilah di mana-mana sahaja, sikap orang Islam yang keliru dalam mengenali yang mana satukah yang dipanggil Hizbullah. Mereka gagal kerana tidak mahu mengambil al-Quran dan Hadis sebagai panduan hidup. Maka mereka terselamat daripada mulut harimau, dan sedang mara ke arah mulut buaya. Begitu juga dengan sikap cendikiawan-cendikiawan Islam yang bertelagah sesama mereka. Adakalanya, sudah hampir satu pasukan Islam kepada matlamatnya, maka ditarik oleh kumpulan Islam yang lain. Saling tak tumpah seperti yang berlaku kepada Cantona dan Ginola itu. Islam juga yang kalah dan dilihat buruk.

Maka di Malaysia ini juga tidaklah jauh ceritanya dibanding dengan rakyat Algeria itu. Bencinya mereka kepada BN, akhirnya sujud menyembah PH yang lebih teruk. BN memerlukan puluhan tahun untuk menipu, kerana diakui politikus, pada zaman awal kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman tiadalah berbuat onar. Tetapi PH, hanya memerlukan kurang tiga bulan, sudah cukup mengharukan rakyat. Bagaimana benci dan meluatnya rakyat kepada BN dahulu, sekarang pun sudah ada yang kesal dengan pilihan mereka.

Tetapi rakyat masih belum mahu mengubah untuk memilih Parti Islam PAS yang sudah terbukti tiada penyelewengan kerana dahsyatnya fitnah yang disebarkan walaupun sehingga kini, masih belum terbukti. Dan sekarang PAS, walaupun difitnah, telah dan sedang bekerja keras melaksanakan janji-janji manifesto kerana pengkhianat kepada janji adalah munafik. Takutnya PAS kepada Allah, berusaha dengan sedaya mungkin melaksanakannya.

Walaupun buku Manifesto PAS bukannya Kitab Suci, tetapi janji tetap janji, sama ada di mulut atau pada tinggalan dakwat, sama ada kepada Muslim atau Kafir, asalkan janji itu tidak melanggar hak Allah, ia wajib dilaksanakan kerana akan disoal Allah di akhirat nanti. Maka sokong PAS ialah sebagai jalan keluar terbaik daripada penipuan politik di Malaysia. Rakyat mesti berani membuang kedua-dua BN dan PH sebagaimana jurulatih Perancis berkorban mengenepikan Cantona dan Ginola untuk meraih kemenangan yang lebih besar.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
17 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 17/7/2018