Melaka luaskan wilayah, bina empayar

Nasional
Typography

KERAJAAN Melaka yang mewarisi Empayar Sriwijaya melalui jalur Kerajaan Singapura pada zaman Majapahit, merupakan Empayar Melayu terbesar pada abad ke-15M. Melaka mempunyai keistimewaan khas di mana ia mewarisi Kerajaan Melayu Sriwijaya dari sudut bangsanya, tetapi turut mewarisi Kerajaan Islam Perlak dari sudut agama. Ini kerana pengasasnya, Parameswara adalah putera berdarah Palembang sebelum mengasaskan Melaka pada 1262M, dan menjadi menantu Sultan Perlak sebelum 1267M. Melaka mewarisi dua tradisi, iaitu Melayu sebagai kuasa politik dan perdagangan yang menguasai Nusantara semenjak abad ke-7 Masehi, dan Islam sebagai agama dan kuasa politik baru dunia yang juga muncul pada abad ke-7 Masehi di Tanah Arab. Percantuman dua kekuatan ini telah membangkitkan Melaka sebagai Empayar Melayu Islam yang pertama dan terbesar di Nusantara.

Pembangunan Melaka boleh dikatakan berlaku pada empat tahap iaitu pertama, tahap penubuhan, di mana Parameswara menjadikan Melaka sebuah kota pelabuhan dan mengadakan hubungan dengan Perlak dan Samudera-Pasai sehingga Islam mula berkembang di Melaka. Kedua, tahap kebangkitan iaitu ketika Islam mulai diterapkan dalam kerajaan pada zaman Sultan Muhammad Shah, kemudian Sultan Muzaffar Shah menjadikan Islam agama rasmi dengan Hukum Kanun Melaka mula berkuat kuasa. Pada zaman Sultan Mansor Shah, Sultan Alaiddin Riayat Shah dan awal pemerintahan Sultan Mahmud Shah adalah tahap ketiga, tahap kemuncak. Pada tahap ini, pelaksanaan Syariat, pengukuhan hubungan dengan Khalifah dan China, penguasaan ke atas perdagangan, penyebaran dakwah dan perluasan kuasa telah berlaku. Pada tahap ini juga, Melaka telah muncul sebagai empayar besar di Alam Melayu yang setanding dengan Majapahit di Jawa. Keempat, tahap keruntuhan di mana pada akhir zaman Sultan Mahmud Shah, tersebar fitnah dan kekacauan dalam negeri yang akhirnya mengundang serangan Portugis ketika Melaka dipimpin oleh Sultan Ahmad Shah. Dengan empat tahap perkembangan ini, Melaka telah bangkit sebagai Empayar Melayu Islam bermula awal abad ke-15M dan bertahan selama satu abad.

Pengukuhan Melaka: Membangun Empayar Melayu

Selepas Islamnya Parameswara sekitar 1267M, para ulamak telah datang berdakwah dan meng-Islam kerabat Diraja, pembesar dan rakyat Melaka seluruhnya. Kesan daripada itu, pada zaman Sultan Muhammad Shah, walaupun Hindu masih kuat, tetapi penerapan Syariat Islam mulai diberlakukan, termasuk memulakan penggubalan Hukum Kanun bagi Negeri Melaka. Apabila Raja Kassim atau Sultan Muzaffar Shah menaiki takhta pada 1343M, baginda telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara, menguatkuasakan Hukum Kanun Melaka dan melantik Maulana Syed Yusof sebagai Qadhi Melaka yang dikenali sebagai Qadhi Yusof. Kemudian peranan ulamak turut diperluaskan dengan membawa masuk para ulamak dari luar termasuk Arab, Parsi dan India, untuk menjadi pegawai pelaksana Syariah, mengajar agama, menterjemah kitab-kitab dan berdakwah. Pengukuhan ini telah membina kekuatan kepada Melaka dalam masa yang cepat untuk ia bangkit sebagai kuasa politik kemudiannya.

Selain faktor pelaksanaan Syariat yang memberi kekuatan kepada Melaka, hubungan dengan China yang dibina sejak 1404M telah meredakan tekanan Siam dan Majapahit, di samping Kerajaan Melaka menguasai kekuatan ekonomi melalui perdagangan di Selat Melaka. Kedatangan Laksamana Cheng Ho telah memberikan kekuatan politik kepada Melaka, sedangkan sebelumnya Melaka telah berbaik-baik dengan Majapahit. Dari sudut pemerintahan sendiri, Melaka bukan sahaja memiliki Sultan-sultan yang berwibawa, tetapi juga pembesar seperti Tun Perak dan Hang Tuah yang menjadi tiang seri kerajaan, di samping struktur pentadbiran yang tersusun terutama dalam mengendalikan keamanan negeri dan mentadbir pelabuhan dengan cekap. Apabila gerakan dakwah ke atas Jawa yang dikuasai Majapahit dimulakan pada 1404M oleh Wali Songo, ia bukan sahaja melemahkan kuasa politik Hindu itu, tetapi menjadi pemangkin kepada kekuatan Melaka dalam pembinaan empayarnya.

Perluasan Wilayah Melaka

Setelah Melaka berdiri kukuh, proses perluasan wilayah telah mula berlaku pada zaman Sultan Muzaffar Shah apabila kawasan Dinding, Kelang, Selangor, Muar, Batu Pahat, Singapura, Bintan dan Pahang berjaya ditakluk dan dikuasai oleh Melaka. Perluasan ini diteruskan pada zaman Sultan Mansor Shah di mana Kedah, Johor, Bernam, Beruas, Perak dan Terengganu pula menjadi wilayah taklukan Melaka. Pada zaman Sultan Mahmud Shah, Melaka meluaskan pengaruhnya ke Utara Semenanjung Tanah Melayu dengan menguasai Manjong, Kelantan, Mahligai, Pattani hingga ke Singgora (Songkhla). Ini bermakna seluruh Tanah Melayu dari Singgora hingga Singapura berada dalam penguasaan Melaka. Di luar Tanah Melayu, Melaka turut menguasai Aru, Deli, Serdang, Siak, Kampar, Indragiri, Jambi, Tungkal dan Rokan di Sumatera, serta Kepulauan Riau-Lingga hingga ke Brunei di Laut China Selatan. Ini bermakna seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Pantai Timur Sumatera dan kepulauan di Selatan Semenanjung adalah termasuk dalam Empayar Melaka, sekali gus meletakkan penguasaan Melaka ke atas Selat Melaka, Laut China Selatan dan Selat Singapura.

Dari segi kepentingan jajahan takluk Melaka ini, ada beberapa aspek yang boleh dinilai. Pertama, kawasan yang kaya dengan hasil bumi seperti timah dan emas telah dikuasai. Negeri Kedah, Perak, Beruas, Kelang, Selangor dan Manjung adalah pengeluar timah utama, manakala Siak, Rokan, Kampar, Pahang dan Kelantan adalah pengeluar emas. Kedua, negeri-negeri yang kaya dengan hasil tanaman seperti rempah, lada, kelapa dan lain-lain yang banyak dikeluarkan di Rokan, Kampar dan Perak juga jatuh ke tangan Melaka. Ketiga, penguasaan ke atas semua laluan perdagangan utama iaitu semua Negeri Pantai Barat Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera adalah pesisir Selat Melaka, sedangkan Singapura, Riau, Batam dan Lingga adalah pengawal kawasan Selatan Laut China Selatan dan Selat Singapura, manakala Pattani, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Brunei adalah mengawal laluan utama Laut China Selatan dari Utara. Keempat, menguasai kawasan ancaman lanun yang mengganggu perdagangan di Selat Melaka dan Kepulauan Riau-Lingga. Perluasan ini telah memberi manfaat politik dan ekonomi kepada Melaka, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai Empayar Melayu di Nusantara.

Perluasan wilayah dan pengembangan Islam

Di samping manfaat politik dan ekonomi, perluasan jajahan takluk Melaka dalam membentuk empayar ini turut memberi manfaat kepada perluasan pengaruh Islam. Ia berlaku dalam beberapa bentuk. Pertama, pertabalan Sultan-sultan dari kalangan putera Melaka yang menjadi negeri tersebut Wilayah Islam seperti Sultan Abdul Jamil di Pahang, Sultan Abdullah di Kampar dan Sultan Muzaffar Shah di Perak. Kedua, peng-Islaman Raja-raja seperti yang berlaku di Kota Mahligai di mana Raja Siam di situ, Cau Seri Bangsa, telah memeluk Islam dan diberi nama Sultan Ahmad Shah oleh Sultan Melaka. Ketiga, merapat hubungan dengan Kerajaan Islam sedia ada melalui perkahwinan seperti perkahwinan Sultan Mahmud Shah dengan Puteri Onang Kening, puteri Sultan Mansur Shah (1467-1521M), Raja Kelantan. Dan keempat, penaungan ke atas negeri-negeri yang meminta perlindungan seperti Pattani dan Kedah. Di samping mengukuhkan Negeri Islam sedia ada, pendekatan Melaka yang mengekalkan pemerintahan Raja-raja yang memeluk Islam, telah menyebabkan Wilayah Melaka semakin berkembang. Begitu juga perkahwinan Sultan Mansor Shah dengan Puteri Hang Li Po yang telah menyebabkan negeri-negeri naungan Melaka terselamat dari ancaman kuasa asing.

Perluasan wilayah ini juga telah memberi manfaat terhadap proses dakwah Islamiyah yang berkembang pada abad ke-14 dan 15M. Negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Jawaka dikatakan telah menerima Islam sebelum Melaka terus bangkit sebagai kuasa politik Islam sebagaimana peranan Pattani dalam Pendidikan Islam misalnya. Sedangkan, negeri-negeri lain masih beragama Hindu-Buddha, walau mulai menerima pengaruh Islam, telah mula didakwahkan. Dengan penaklukan ini, seluruh Semenanjung hingga ke Singgora telah dapat di-Islamkan. Demikian juga bekas jajahan Buddha Sriwijaya dan Hindu Majapahit di seluruh Pantai Timur Sumatera yang turut di-Islamkan sebagai negeri jajahan Melaka. Sementara berkembangnya dakwah di negeri-negeri tersebut, kekuatan politik Melaka telah membolehkan pendakwah dikirim ke Brunei, Mindanao, Sulu, Sulawesi, Maluku dan Jawa. Perkembangan ini telah meluaskan pengaruh Islam di seluruh Nusantara dalam tempoh 100 tahun, sebelum kedatangan Portugis pada 1511M. Kesannya, terbina pula Kerajaan-kerajaan Islam yang baru seperti Demak di Jawa, Brunei di Borneo, Sulu dan Maguindanao di Mindanao dan lain-lain, yang membawa kepada penguasaan politik Islam di Nusantara. 

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
2 Zulkaedah 1439 / 15 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 17/7/2018