Ahli Umno diseru hijrah sertai PAS

Nasional
Typography

SAYA menyeru sahabat-sahabat saya ahli Umno dan pengundi Umno. Tidak ada sebab lagi untuk anda berada dalam Umno. Kerana Umno bukanlah parti keramat seperti yang dilaungkan dalam setiap kali Himpunan Agung Umno sebelum ini. Kata-kata itu bukan lagi jampi yang dapat mengembalikan kekuatan Umno.

Kalau sebelum ini Umno memang dilihat sebagai benteng ketuanan Melayu di negara ini. Orang-orang Melayu sebelum ini sangat percaya tanpa Umno, maruah Melayu akan layu. Tanpa Umno tidak ada pembangunan dan kemajuan. Tanpa Umno rakyat akan hidup merempat dan akan jadi keparat di tanah air sendiri. Keyakinan sebegitu bukan sahaja menerjah masuk dalam saraf orang-orang Melayu bahkan telah menjadi semacam darah merah yang mengalir ke seluruh tubuh. Maka tidak hairan, Umno BN berjaya bertahan selama 6 dekad lebih. Sehingga tidak terbayang walau sebesar zarah dalam hati penganut tegar Umno, bahawa satu hari nanti Umno akan kalah apatah lagi bergelar arwah.

Memang benar, seawal penubuhan Umno itulah nawaitu para pejuangnya. Mereka ikhlas membela maruah bangsa. Namun nawaitu itu semakin pudar dan terpesong, seiring dengan pertukaran Perdana Menteri (PM) demi PM. Sehingga kini wajah Umno itu sudah sangat berubah. selepas PRU14, Umno bagaikan bilah aiskrim. Aisnya sudah cair. Manisnya sudah hilang. Yang tinggal hanya bilahnya sahaja. Ini dapat dilihat bagaimana berlompatannya sebahagian pimpinan Umno dan wakil rakyat Umno kepada Pakatan Harapan (PH).

Sebenarnya tiada apa lagi dalam Umno. Umno sudah hilang kuasa dan wang. Sebelum itu Umno telah kehilangan arah tuju asal perjuangannya. Ahli-ahli Umno yang masih ikhlas dalam perjuangan demi memartabatkan bangsa dan agama, patut membuat keputusan segera untuk bersama PAS. Jika yang anda cari dan perjuangkan itu ialah Islam, maka Parti Islam inilah medan anda. Jika yang anda cari itu ketuanan Bangsa Melayu maka PAS-lah partinya. Kerana tidak ada Parti Melayu yang paling dominan selepas kekalahan Umno selain PAS. Lagipun apalah yang boleh anda harapkan kepada PH yang didominasi oleh DAP itu untuk survival Islam dan Melayu.

Tahukah anda bahawa antara perkara yang paling ditakuti oleh PH saat ini ialah penghijrahan sokongan ahli Umno kepada PAS. Kerana mereka tahu, jika hal itu berlaku, cantuman undi PAS dan undi Umno mampu menjadi mimpi ngeri kepada mereka. Oleh itu tidak ada sebab mengapa Umno masih perlu bersendiri selepas segala-galanya telah hilang dari Umno. Umno dan PAS perlu mengajar DAP dan beberapa orang pimpinan PH bagaimana mahu menghormati Islam sebagai agama Persekutuan dan Melayu sebagai tuan kepada bumi Malaysia ini.

PAS bersedia menjadi Ansar yang berjuang bersama Muhajirin Umno demi Islam.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
16 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 17/7/2018