Erti 'Hifzu ad-Din' dalam Maqasid Syariah

Nasional
Typography

MEMELIHARA agama iaitu Islam telah sekian lama menjadi tajuk perbahasan para ulamak dalam bidang ilmu Maqasid Syariah. Prinsip ini menjadi perkara utama dan tertinggi dalam perkara Maslahat Dharuriyyat atau kepentingan dan kebaikan yang mesti dipelihara secara mendesak selain memelihara nyawa, akal, maruah, keturunan dan harta benda. 

Namun pemahaman yang absah mengenai maksud Hifz al-Din iaitu memelihara kepentingan agama Islam sebagaimana tradisi para ulamak silam ini telah terganggu dan dikelirukan oleh satu ucapan yang disampaikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Dato' Dr Mujahid Bin Yusof dalam Perhimpunan Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya pada 12 Julai 2018. 

Dalam rakaman ucapan tersebut yang berdurasi 55 minit dan 9 saat, beliau telah mengeluarkan ungkapan berikut:

“..dan kita sering kali salah tafsir bila kata Hifz al-Din (iaitu) menjaga agama, kita terjemah menjaga Islam sahaja.. tidak betul. Yang Allah kata.. yang..yang ijtihad yang menyatakan 
menjaga agama itu (ialah) menjaga semua agama. Sebab apa? Islam itu Rahmatan Lil-‘Alamin (rahmat bagi sekalian alam), sebab Islam itu membuka ruang untuk kita berbeza agama dan pendapat, yang ada ialah ruang dakwah.. yang ada ialah menjaga supaya orang Islam berpegang dengan ajarannya. Tetapi yang lain untuk memilih agama dia sendiri, itu adalah hak yang Allah S.W.T jadikan manusia ini dalam berbagai rencam dan agama.”

Ucapan ini telah mendapat penolakan dan reaksi tegas dari kalangan para ilmuwan dan ahli akademik dalam bidang pengajian Ilmu-ilmu Islam di negara ini. Ini kerana terdapat kekeliruan yang timbul berhubung memelihara agama Islam dan kebebasan beragama yang dijamin oleh Islam, terdapat perbezaan juga dalam hal mengiktiraf kebenaran agama lain atau menghormati pegangan dan kepercayaan penganut agama lain.

Tulisan ini bertujuan untuk menjelaskan pengertian al-Din dari segi bahasa dan syarak, dalam al-Quran dan al-Sunnah, di sisi pandangan para ulamak yang muktabar dalam bidang Maqasid Syariah dan menolak pandangan terpencil yang cuba diarus perdanakan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut dalam agenda pentadbirannya. 
 
Apa itu al-Din dari segi bahasa?

Dalam Bahasa Melayu, perkataan Din berasal daripada Bahasa Arab bermakna agama.

[Kamus Dewan Edisi Keempat, hal.352]

Al-Din dalam Bahasa Arab, menurut Muhammad bin Mukarram yang dikenali sebagai Ibn Manzur (w.711H) dalam Lisan al-'Arab:

والدین : الجزاء والمكافأة .. ويوم الدين : يوم الجزاء .. أي تجازى بفعلك وبحسب ما عملت.

"Al-Din (الدين ) bermakna: Pembalasan dan ganjaran. Yaum al-Din bermakna Hari Pembalasan. Maknanya: Engkau akan dibalas dengan perbuatanmu berdasarkan apa yang telah engkau lakukan."

[Lisan al-'Arab, 13/169]

Menurut Abu al-Qasim al-Husain bin Muhammad atau dikenali sebagai Al-Raghib al-Asfahani (w.325H):

اعتبارا بالطاعة والانقیاد للشریعة

"Al-Din bermakna ketaatan dan kepatuhan kepada (hukum-hakam) Syariat."

[Mufradat Alfaz al-Quran, hal.323] 

Apa itu al-Din dari segi istilah syarak?

Al-Din atau agama mempunyai pengertian tertentu dengan merujuk kepada sumber al-Quran dan al-Sunnah. Setiap pengertian mengenai al-Din dari perspektif Syarak hendaklah bersumberkan rujukan Islam itu sendiri. 

Menurut 'Ali bin Muhammad al-Jurjani (w.816H):

فإن الشریعة من حیث تكاع تسمى دينا

"Sesungguhnya Syariat yang ditaati itu dipanggil al-Din." 

[Kitab al-Ta'rifat, hal.174]

Menurut Ayyub bin Musa yang dikenali sebagai Abu al-Baqa’ al-Kufawi (w.1094H): 

الدین وضع إلھي ، سائق لذوي العقول السلیمة ، باختیارھم المحمود ، إلى الخیر بالذات، قلبیا قالبیا (أي مادیا أو معنویا)

"Al-Din adalah ketetapan Ilahi yang membimbing orang-orang yang memiliki akal pemikiran yang sejahtera dengan kemahuan mereka secara terpuji menuju kepada kebaikan itu sendiri, sama ada tersurat atau tersirat."

[al-Kulliyyat, hal.433]

Menurut Dr. Sa'di Abu Habib: 


والدین : الإسلام ، وفي القرآن المجید : (أَفَغَيْرَ دِينِ اللهِ يَبْغُونَ) یعني الإسلام.

 

"Al-Din ialah Islam, disebut dalam al-Quran: “Patutkah mereka mencari lain dari agama Allah?” [ali-'Imran: 83] yakni: agama Islam." 

[al-Qamus al-Fiqhi Lughatan dan Istilahan, hal.133] 

Ini menunjukkan al-Din adalah ketaatan, kepatuhan dan kehidupan yang berlandaskan Hukum-hakam Syariat; iaitu agama Islam, manakala segala gaya hidup berupa peribadatan atau kerohanian yang selain dari itu tiada kaitan dengan pengertian al-Din dalam pemahaman Islam. 

Al-Din mempunyai pengertian yang lebih luas lagi melihat kepada perbezaan mazhab, aliran pemikiran, tumpuan, pengkhususan ilmu. Oleh yang demikian, terdapat pelbagai istilah atau takrif berkenaan al-Din yang boleh dirujuk.

[Lihat: al-Madkhal Fi al-Ta'rif bil-Din, hal.50-58]
 
Al-Din dalam al-Quran dan al-Sunnah

Perkataan al-Din disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran merujuk kepada agama Allah iaitu Islam; agama yang benar. Di antaranya, Firman Allah S.W.T:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ 

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

[al-Baqarah: 256]

 

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ 


“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

[ali-'Imran: 19]

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ 

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya."

[ali-'Imran: 85]

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

[al-Maidah: 3]

وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

“..dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat;”

[al-Nur: 2]

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”

[al-Bayyinah: 5]

وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا

“Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai.”

[al-Nasr: 2]

Terdapat banyak ayat-ayat yang membicarakan mengenai al-Din atau Din al-Haq iaitu Islam sebagai agama yang benar dan berhubung kait dengan Syariat-Nya. Di antaranya Surah Ghafir: 14, al-Zumar: 11, al-Taubah: 33, al-Syura: 13, 21, al-Ma`un: 1, al-Kafirun: 6, al-Nahl: 52, al-Zariyat: 6, Yusuf: 276 dan lain-lain.

Manakala dalam al-Sunnah, terdapat Hadis yang panjang diriwayatkan oleh Amir al-Mukminin, 'Umar bin al-Khattab R.A yang dikenali sebagai ‘Hadis Jibril’ menerangkan mengenai Rukun-rukun Islam, Iman dan Ihsan serta tanda-tanda Kiamat. Perkara-perkara yang disebut itu adalah al-Din bagi orang-orang Islam. Ini kerana di hujung Hadis tersebut Rasulullah S.A.W bersabda:

فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ ، أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ

“Sesungguhnya itu adalah Jibril, dia telah datang mengajarkan kamu mengenai Din (agama) kamu.”

[Sahih Muslim, Kitab al-Iman, Bab Bayan al-Islam al-Iman wa al-Ihsan, no.12]

Pandangan para ulamak muktabar berkenaan maksud memelihara agama (Hifz al-Din) dalam Maqasid Syariah 

Apa yang dimaksudkan dengan ungkapan “Memelihara agama (Hifz al-Din)” dalam ilmu Maqasid Syariah adalah memelihara, menjaga, mengawasi, mempertahan dan memperkukuhkan agama Islam dan bukan selainnya. Di sini dinukilkan pandangan para ulamak yang muktabar berkenaannya seperti berikut: 

●     Menurut Abu al-Ma'ali 'Abd al-Malik bin 'Abdullah al-Juwaini (w.478H) juga dikenali sebagai Imam al-Haramain:

واجب الإمام نحو أصل الدین. فأما القول في أصل الدین فینقسم إلى: حفظ الدین بأقصى الوسع على المؤمنین، ودفع شبھات الزائغین، كما سنقرره إن شاء الله رب العالمین. وإلى دعاء الجاحدین والكافرین، إلى التزام الحق المبین.

"Kewajipan pemerintah terhadap asas agama. Apabila menyebut mengenai asas agama itu pula dibahagikan kepada: Pemeliharaan agama (Hifz al-Din) iaitu setinggi-tinggi tanggungjawab ke atas orang yang beriman. Menolak syubhat (menjawab keraguan) yang ditimbulkan oleh golongan yang sesat seperti yang kita akan laksanakan kepada dakwaan orang-orang yang ingkar dan kafir agar beriltizam dengan kebenaran yang jelas nyata (agama Islam) dengan kehendak Allah, Tuhan sekalian alam."

[Ghiyath al-Umam Fi Tiyath al-Zulam, hal.184]

Berdasarkan keterangan Imam al-Haramain al-Juwaini ini, memelihara agama adalah bagi menjaga kepentingan agama Islam. Tidak mungkin Hifz al-Din bermaksud menjaga agama lain apabila kita bertanggungjawab mendedahkan kesalahan dan kesesatan para penganut agama lain dalam dakwaan-dakwaan mereka.
 
     Menurut Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Tusi (w.505H) juga dikenali sebagai Hujjah al-Islam:

والملك والدین توأمان، فالدین أصل، والسلطان حارس، وما لا أصل له فمھدوم، وما لا حارس لھ فضائع

"Raja (Pemerintah) dan agama itu (al-Din) itu umpama sepasang kembar, manakala agama itu adalah asas, sedangkan Sultan (pemerintah) adalah penjaga(nya). Perkara yang tiada asas akan runtuh, manakala perkara yang tiada penjaga akan hilang."

[Ihya’ 'Ulum al-Din, 1/33]

Dalam Kitab Ihya’ 'Ulum al-Din di atas, al-Imam al-Ghazali menegaskan bahawa memelihara agama (Hifz al-Din) iaitu Hukum-hakam Islam adalah tanggungjawab utama seseorang pemerintah. Ini dapat dilihat dalam ulasannya berkenaan topik al-Maslahah (المصلحة) dalam kitabnya al-Mustasfa:

ومقْصُودُ الشَّرْعِ مِنَ الخَلْقِ خَمْسَةٌ : وَهُوَ أَن يُحْفَظَ عليهِم دِينُهُم، ونفسُهُم، وعقْلُهُم، ونَسَلُهُم، ومَالُهُم، فَكُلُّ مَا يَتَضَمّنُ حِفْظُ هَذِهِ الأُصُولِ الخَمْسَةِ فَهُوَ مَصْلَحَةٌ

"Matlamat Hukum Syarak (Maqasid Syariah) bagi makhluk (manusia) ada lima perkara iaitu supaya terpelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Segala perkara yang merangkumi pemeliharaan kelima-lima prinsip ini adalah maslahat (kebaikan)."

[al-Mustasfa Min 'Ilm al-Usul, 1/417]

Al-Imam al-Ghazali memberikan contoh dalam memelihara agama Islam, maka dalam Syariat Islam dikenakan hukuman kepada pelaku jenayah murtad dan bidaah:

فھي أقوي المراتب في المصالح ، ومثاله قضاء الشرع بقتل الكافر المضل ، وعقوبة المبتدع الداعي إلي بدعته، فإن ھذا یفوت على الخلق دینھم

"(Memelihara Agama) adalah martabat paling utama dalam menjaga al-Masalih (Kepentingan agama). Sebagai contohnya terdapat ketetapan syarak dengan menghukum bunuh bagi orang kafir (murtad) yang menyesatkan (orang lain) dan hukuman terhadap pelaku bidaah yang menyeru kepada perbuatan bidaahnya. Sesungguhnya perkara ini merosakkan bagi makhluk akan agama mereka (Islam)."

[Ibid]


     Menurut 'Izzu al-Din 'Abd al-'Aziz bin 'Abd al-Salam (w.660H) yang dikenali sebagai Sultan al-'Ulamak:

 
وكذلك یدرأ استیلاء الكفار على قتل المسلمین ، وأخذ أموالھم ، وإرقاق حرمھم وأطفالھم ، وانتھا حرمة الدین . 

"Demikian (jihad disyariatkan) untuk menghalang penguasaan orang-orang kafir untuk membunuh orang-orang Islam, merampas harta-benda mereka, memperhambakan para wanita dan kanak-kanak mereka dan mencemar kehormatan agama (Islam)."

[al-Qawa'id al-Kubra - Qawa'id al-Ahkam Fi Islah al-Anam, 1/76]

Imam al-'Izzu al-Din dalam menyebut pensyariatan jihad peperangan adalah bertujuan menjaga dan memelihara kemuliaan agama. Ini merupakan salah satu Maqasid difardukan peperangan apabila musuh telah menceroboh sempadan tanah air Islam. 

Tiada perbezaan pendapat para ulamak pada menyatakan bahawa keperluan manusia kepada agama (Islam) adalah termasuk perkara Dharuriyat mengatasi keperluannya ke atas segala perkara. Ini kerana ianya mendatangkan manfaat bagi penganutnya di dunia dan akhirat. 

[Maqasid al-Shari'ah 'inda 'Izzu ibn 'Abd al-Salam, hal.466]

     Menurut Abu Ishaq Ibrahim bin Musa al-Syatibi (w.790H):

فأصول العبادات راجعة إلى حفظ الدین من جانب الوجود ، كالإیمان ، والنطق بالشھادتین ، والصلاة ، والزكاة ، والصیام ، والحج ، وما أشبه ذلك . 


"Prinsip-prinsip ibadat merujuk kepada pemeliharaan agama dari sudut memastikan kelangsungan (survival) kewujudannya, seperti keimanan, mengucapkan dua kalimah Syahadah, (melaksanakan kewajipan) solat, zakat, puasa, haji dan seumpamanya."

[al-Muwafaqat Fi Usul al-Shari'ah, 2/265-266]

Bagi menjelaskan mengenai Hifz al-Din dari sudut menolak kerosakan dalam agama (Islam), maka Imam Abu Ishaq al-Syatibi menegaskan bahawa kepura-puraan dalam beragama adalah dilarang sama sekali. Antaranya beliau menghuraikan ancaman dan kecaman Allah S.W.T terhadap golongan Munafik dalam Surah al-Baqarah, ayat 8 – 14. Kemudian, beliau mengulas sifat riak yang disebut oleh Allah S.W.T dalam beberapa ayat al-Quran seperti perbuatan infak:

كَالَّذِي يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

“..seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.”

[al-Baqarah: 264]

وَالَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآخِرِ

“Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat.”

[al-Nisa: 38]

وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا

“Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”

[al-Nisa: 142]

Dalam ayat-ayat ini, Allah S.W.T mencela dan menjanjikan azab seksanya bagi golongan yang riak dalam ibadatnya, ini kerana perbuatan tersebut adalah menzahirkan ketaatan bagi matlamat duniawi.

[al-Muwafaqat Fi Usul al-Shari'ah, 2/529]

Imam Abu Ishaq al-Syatibi menghuraikan maksud Hifz al-Din adalah berkaitan menjaga kepentingan agama Islam dan amalan ibadat para penganutnya agar mendapat kemaslahatan di dunia dan akhirat. Tidak terdapat sebarang ungkapannya yang merujuk Hifz al-Din sebagai memelihara dan menjaga agama-agama lain. 

     Menurut Muhammad bin al-Tahir bin 'Asyur (w.1393H) atau dikenali sebagai Ibn 'Asyur: 

فحفظ الدین معناه حفظ دین كل أحد من المسلمین أن یدخل علیه ما یفسد اعتقاده وعمله اللاحق بالدین، وحفظ الدین بالنسبة لعموم الأمة، أي دفع كل ما شأنه أن ینقض أصول الدین القطعیة . ویدخل في ذلك حمایة البیضة والذب عن الحوزة الإسلامیة بإبقاء وسائل تلقي الدین من الأمة حاضرھا وآتیھا.

"Maka makna memelihara agama itu ialah menjaga agama setiap orang Islam daripada dimasuki perkara yang merosakkan iktikad dan amalannya yang bersangkutan dengan agama (Islam). Memelihara agama jika dinisbahkan kepada seluruh umat ialah menolak segala apa yang dapat membatalkan prinsip-prinsip agama yang konkrit (tetap). Termasuk dalam hal ini. Melindungi pemerintah dan mempertahankan Negara Islam dengan mengekalkan wasilah penerimaan agama (Islam) dari umat manusia yang hidup pada masa kini dan akan datang."

[Maqasid al-Shari'ah al-Islamiyyah, hal.89]

Ibn 'Asyur juga mengatakan bahawa tujuan pemeliharaan agama (Hifz al-Din) adalah menjaga akidah umat Islam, mengawasi amalan-amalan yang menyeleweng dari ajaran Islam, menyanggah sebarang usaha untuk mengubah kefahaman agama Islam yang fundamental sejak sekian lama terutamanya berhubung perkara-perkara halal dan haram. Termasuk juga dalam pemeliharaan agama ialah mengekalkan kuasa politik umat Islam agar pengembangan  dan penyebaran agama Islam terjamin. 

Selain daripada pandangan lima tokoh-tokoh yang muktabar dalam bidang ilmu Maqasid Syariah ini, para pembaca juga boleh merujuk perbahasan para ulamak lain termasuk yang masih hidup seperti Dr Ahmad al-Raisuni mengenai prinsip Hifz al-Din yang mana kesemuanya merujuk kepada mempertahan dan memperkukuhkan kedudukan agama Islam dari sudut survival dan menghalang kerosakan dan kemudaratan terhadap agama Islam sekiranya Hukum-hakam Syariat-Nya tidak ditegakkan dan dilaksanakan.
 
Penutup

Menjaga agama Islam dan menghormati agama lain adalah dua skop yang berbeza. Prinsip menjaga agama Islam merupakan salah satu tujuan penting dari Pensyariatan Perundangan Islam. Menjaga agama Islam meliputi menjaga agama yang suci ini daripada dipermainkan, dihina, disalah tafsirkan. Ini termasuk menjaga orang Islam dari melakukan perkara bidaah, khurafat, syirik, kufur dan sebagainya.

Inilah kerja dan tanggungjawab orang Islam dan juga pemerintah Islam yang boleh dilaksanakan menerusi dakwah dan kawalan undang-undang. Tuntutan ini termasuklah menyampaikan dakwah Islam secara hikmah kepada semua manusia tanpa memaksa mereka memeluk agama Islam. Inilah kebebasan agama yang dijamin dalam Pemerintahan Islam.

Menghormati penganut agama lain merupakan salah satu tuntutan dalam ajaran Islam. Sememangnya Islam menggunakan prinsip “tiada paksaan dalam agama” dan tidak boleh menzalimi penganut agama lain. Islam memberikan kebebasan kepada mereka untuk mengamalkan agama kepercayaan mereka, tetapi tanggungjawab dakwah untuk menyampaikan Islam kepada mereka tidak boleh dipinggirkan. Tugas ini penting kerana itu adalah tugas Rasulullah S.A.W dan perlu diteruskan oleh semua orang Islam. 

Dengan ini, dukacitanya apa yang disebut oleh YB Menteri Agama, Dato' Dr Mujahid Bin Yusof bahawa menjaga agama selain Islam termasuk dalam Hifz al-Din merupakan pandangan yang tersasar. Ia termasuk dalam prinsip al-Hurriyyah atau kebebasan beragama yang dijamin oleh Islam bukan termasuk dalam skop menjaga agama seperti yang diperbahaskan oleh para ulamak sejak sekian lama. Sepatutnya beliau mengutamakan pendapat yang muktabar dan tidak mengetengahkan pandangan yang ganjil lagi terpencil sehingga menimbulkan kekeliruan awam.
 
Rujukan

Al-Quran al-Karim

Hajah Noresah Baharum (ed.), Kamus Dewan Edisi Keempat, cet.7, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007. 

Al-Ghazali al-Tusi, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad, Ihya’ 'Ulum al-Din, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1437H. 

Al-Ghazali al-Tusi, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad, Al-Mustasfa Min 'Ilm al-Usul, Beirut: Muassasah al-Risalah, cet.1, 1436H.

Ibn 'Asyur, Muhammad bin al-Tahir, Maqasid al-Shari'ah al-Islamiyyah, Kaherah: Dar al-Salam, cet.6, 1435H. 

Ibn Manzur, Jamal al-Din Muhammad bin Mukarram, Lisan al-'Arab, Beirut: Dar al-Ihya’ al-Turath al-'Arabiy, 1418H. 

Al-Jurjani al-Husaini, 'Ali bin Muhammad, Kitab al-Ta'rifat, cet.2, Beirut: Dar al-Nafais, 2007. 

Al-Juwaini, Abu al-Ma'ali 'Abd al-Malik bin 'Abdullah al-Juwaini, Ghiyath al-Umam Fi Tiyath al-Zulam, Maktabah Imam al-Haramain, 1401H. 

Al-Kufawi, Abu al-Baqa’ Ayyub bin Musa, Al-Kulliyyat, Beirut: Muassasah al-Risalah, 1998. 

Al-Raghib al-Asfahani, Abu al-Qasim al-Husain bin Muhammad, Mufradat Alfaz al-Quran, cet.5, Damsyik: Dar al-Qalam, 1433H. 

Sa'di Abu Habib, Al-Qamus al-Fiqhi Lughatan dan Istilahan, Damsyik: Dar al-Fikr, cet.1, 1402H.

Samarah, Dr Ihsan 'Abd al-Mun'im, Al-Madkhal Fi al-Ta'rif bil-Din, Irbid-Jordan: Al-'Alam al-Kutub al-Hadis, 2015. 

Al-Syatibi al-Maliki, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa, Al-Muwafaqat Fi Usul Al-Shari'ah, Kaherah: Dar al-Hadis, cet.1, 1427H. 

'Izzu al-Din 'Abd al-'Aziz bin 'Abd al-Salam, Al-Qawa'id al-Kubra - Qawa'id al-Ahkam Fi Islah al-Anam, cet.4, Damsyik: Dar al-Qalam, 1431H 
 
IMRAN SELAMAT
Ketua Lajnah Kajian dan Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor - HARAKAHDAILY 17/7/2018