LRT3: Penjelasan prasarana tidak relevan

Nasional
Typography

LAPORAN media yang bertajuk, “Prasarana says it knew initial RM10b estimate for LRT3 ‘inadequate’ (The Edge Markets, 14 Julai 2018) dan “Kos awal LRT3 sebanyak RM 10 billion sebelum ini tidak cukup – Prasarana” (Utusan Online, 14 Julai 2018) adalah dirujuk.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganggap penjelasan yang diberikan oleh Prasarana Malaysia Berhad mengelirukan. Bagaimana projek LRT3 yang bernilai RM 9 billion dan telah dilancarkan sejak 24 Ogos 2016 (hampir 2 tahun) meningkat secara mendadak sehingga lebih 3 kali ganda, kemudian ia baru diketahui oleh rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu?

Prasarana harus merujuk kenyataan awal yang dilaporkan oleh portal Edge Prop pada 9 Julai 2018 yang bertajuk, “Prasarana ponders taking over LRT3 to control costs” yang menyatakan bahawa kos projek tersebut telah meningkat sehingga RM 15 billion disebabkan perubahan design asal LRT3 dan meningkatkan kapasiti penumpang.

Malah, turut dilaporkan terdapat beberapa kos pembinaan stesen tiba-tiba melonjak daripada RM 80 juta kepada RM 200 juta.

Lebih mengejutkan lagi, Prasarana membuat keputusan untuk ambil alih projek berkenaan daripada ‘delivery partners’ iaitu Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dan George Kent (M) Bhd disebabkan oleh peningkatan kos dari RM 9 billion kepada RM15 billion.

Sehari selepas pengumuman Prasarana tersebut, Menteri Kewangan pula mengumumkan bahawa kos LRT3 telah melonjak dari RM 15 billion sehingga RM 31.45 billion berikutan kelemahan pengurusan projek oleh Prasarana.

Mengapa kos melonjak sehingga lebih tiga kali ganda? Adakah ia hanya untuk membayar yuran, kos pembayaran semula ‘Project Delivery Partners’, sumbangan kepada syarikat utiliti dan staf? Ini bermakna lebih RM 20 billion dianggarkan untuk bayar semua perkara berikut.

Penjelasan ini tidak relevan, mengelirukan dan ternyata banyak keraguan tidak munasabah yang timbul daripada penjelasan yang diberikan oleh Prasarana dan Kementerian Kewangan.

Oleh yang demikian, DPPWP menolak penetapan Kabinet yang memutuskan projek LRT3 berjumlah RM 16.63 billion. Tidak boleh sewenang-wenangnya sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan diperbadankan menaikkan kos projek dengan hanya memberikan alasan ‘kelemahan pengurusan projek oleh Prasarana’.

Ia melibatkan duit rakyat dan Prasarana serta Menteri Kewangan harus bertanggungjawab sepenuhnya atas kelemahan projek tersebut.

Pihak DPPWP akan serius memantau perkembangan isu ini dan tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada SPRM jika mempunyai bukti yang lebih kukuh.

Sekian.

MUHAMMAD FARKHAN MD ZIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
4 Dzul Qa’edah 1439 | 17 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 17/7/2018