Selamat bersidang parlimen baharu

Nasional
Typography

“MAKA dengan sebab rahmat dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Maksud Surah Ali-Imran: 159)

Tanggal 16 Julai 2018 bakal menempa sejarah tersendiri.

Buat pertama kali Parlimen Malaysia menyaksikan perubahan blok kerajaan dan pembangkang di dalam Dewan Rakyat, apabila majoriti pengundi membuat keputusan untuk memilih Pakatan Harapan sebagai Kerajaan dalam PRU14 yang lalu.

Selain bakal mempunyai Speaker, Timbalan Speaker dan Ketua Pembangkang yang baru, Parlimen juga akan menyaksikan 90 Ahli Parlimen yang bakal beraksi buat kali pertama, suatu angka tertinggi dalam sejarah Parlimen Malaysia.

Dalam konteks usia Ahli Parlimen, rekod termuda kini dipegang oleh YB Batu, rekod Menteri termuda pula dipegang oleh YB Muar, manakala usia Perdana Menteri berkemungkinan besar akan menjadi rekod yang tidak mampu disaingi selamanya.

Dalam konteks demografi, Parlimen bakal menyaksikan buat pertama kali seorang Timbalan Perdana Menteri di kalangan wanita, serta Menteri Kewangan berbangsa Cina, Menteri Penerangan berbangsa Punjabi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dari kaum Kadazandusun dan Menteri Kerjaraya dari suku Lun Bawang.

Di samping itu, perubahan institusi yang dijanjikan oleh Kerajaan bakal menyaksikan sembilan agensi penting akan diletakkan pentadbirannya secara terus di bawah Parlimen, antaranya SPR, SPRM, SUHAKAM, Suruhanjaya Kehakiman, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pendidikan dan Jabatan Audit Negara.

Manakala beberapa akta yang bersifat ‘draconian’ juga bakal dihapuskan atau dipinda dalam tempoh terdekat ini, antaranya Akta Hasutan, Akta Anti Berita Tidak Benar, Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta NSC, AUKU, SOSMA serta GST.

Di sebalik semua rekod baharu ini, Parlimen Malaysia wajar menyaksikan kualiti perbahasan yang lebih matang dan rasional di kalangan ahli Yang Berhormat, tanpa perlu ada lagi insiden jeritan, ejekan dan gimik murahan yang sinonim sebelum ini.

Rakyat pastinya mendambakan suasana perdebatan yang baharu, di mana Ahli Parlimen bebas bersuara dan berhujah dengan penuh tertib dan hormat, serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat di hadapan, melangkaui kepentingan politik kepartian.

Setiap Ahli Parlimen juga perlu memberikan keutamaan terhadap agenda penambahbaikan institusi negara seperti pengukuhan federalisma, pematuhan undang-undang, pemerkasaan demokrasi, dan peningkatan integriti, di samping agenda mensejahterakan hidup rakyat, khususnya dalam aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kelestarian alam.

Justeru, tanggungjawab yang dipikul oleh 222 Ahli Parlimen ini adalah sangat berat, kerana mereka adalah legislator yang bakal mencorakkan kualiti dan kredibiliti Parlimen Malaysia yang baharu.

Sekalian Ahli Parlimen PAS pastinya bersedia dan wajar menjadi contoh, selaras dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang berpaksikan politik damai (muwajahah silmiyyah) dan politik kerjasama (ta'awun siyasi).

Kepada para Yang Berhormat, selamat bersidang.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM – HARAKAHDAILY 17/7/2018