Beri peruntukan kepada tahfiz di Sabah

Nasional
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sabah mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Sabah menyediakan peruntukan kewangan tetap kepada madrasah-madrasah tahfiz dan pondok-pondok agama. Ini kerana buat masa ini saya kira hampir semua Pusat Pendidikan seumpama ini mencari dana sendiri untuk menampung perbelanjaan dan kos pengurusan mereka.

PAS Sabah berpandangan madrasah tahfiz dan pondok seumpama ini telah terbukti melahirkan ilmuan dan penghafal al-Quran. Di Pusat Pendidikan seumpama ini jugalah akan melahirkan golongan ilmuan Ahli Sunnah Waljamaah yang berkualiti. Ini kerana kaedah pengajaran yang digunakan adalah dengan berguru secara berdepan dan meneliti kitab pengajian secara khusus setiap muka surat.

Di samping itu, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar di sini. Dalam konteks Negeri Sabah, pusat pengajian madrasah dan pondok ini banyak membantu masyarakat Islam bagi menghantar anak-anak mereka ke aliran agama. Ini secara tidak langsung telah membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk membina sekolah-sekolah agama.

Saya yakin Kerajaan Sabah yang baharu akan lebih terbuka terhadap isu ini. Pusat pengajian seumpama ini harus diperkasakan. Kerajaan hendaklah mencari jalan supaya pusat pengajian seumpama ini terus mendapat pembelaan dan bantuan. Kerajaan mesti membantu supaya pusat-pusat pengajian ini lebih berdaya saing.

USTAZ MUSTAQIM ALING
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah
16 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 16/7/2018