Kesultanan Melaka pusat dagang dan dakwah

Nasional
Typography

PERDAGANGAN telah menjadi nadi yang mewujudkan kemakmuran ekonomi kepada Kerajaan Melaka. Dengan kedudukan Melaka yang menguasai seluruh kawasan laluan perdagangan di Selat Melaka, selain menjadi kuasa politik, ia telah menjadi kuasa ekonomi terbesar di Nusantara. Para pedagang dari seluruh dunia, termasuk Arab, Parsi, India, China dan Alam Melayu telah mengunjungi Melaka, dan menjadikannya sebagai pusat pertukaran barang-barang dagangan. Kewujudan pelabuhan entreport ini telah membolehkan Melaka mengatasi Samudera-Pasai dari segi penguasaan ke atas Selat Melaka, dan mengatasi Majapahit dari segi pengaruh politik, khususnya pada abad ke-15M. Dengan kekuatan politik itu pula, Melaka dapat menguasai Selat Melaka sepenuhnya apabila Jambi menjadi wilayah taklukannya, sedangkan penguasaan ke atas Kepulauan Riau-Lingga yang lebih awal menjadikan semua laluan perdagangan ke Barat dari Timur dan sebaliknya dikuasai oleh Melaka.

Kekukuhan Melaka dalam penguasaan ke atas laluan-laluan perdagangan utama ini telah menjadikan Melaka sebagai perhatian kuasa-kuasa politik dunia. Seperti mana Daulah Abbasiyah Kaherah dan Daulah Othmaniyah yang membina hubungan rapat dengan Melaka untuk pengukuhan politik Islam dan dakwah, Dinasti Ming juga berbuat demikian untuk kepentingan mereka di Nusantara. Selepas kejatuhan Granada pada 1492M, Negara-negara Kristian Khatolik di Eropah turut menjadikan Melaka sebagai sasaran mereka dalam rangka menghancurkan Islam. Gerakan untuk menguasai pusat perdagangan di Melaka yang dibuat oleh Portugis telah membawa kepada penjajahan pada 1511M. Sedangkan, di pihak Islam, kemajuan perdagangan ini dimanfaatkan untuk mengembangkan dakwah Islam di seluruh Kepulauan Melayu sehingga rantau ini bertukar menjadi Wilayah Islam.

Pelabuhan Melaka: Menghubung Timur dan Barat

Kedudukan strategik Melaka yang menguasai laluan perdagangan tersibuk di dunia, iaitu Selat Melaka telah menjadikan Melaka sebuah pusat perdagangan tersibuk dan terpenting di dunia dewasa itu. Selat Melaka yang sempit, dalam dan keadaan politik yang aman menjadi nadi ekonomi dunia, kerana ia terletak di antara dua pusat tamadun manusia - China di Timur dan India di Barat. Dari India pula, dunia dihubungkan dengan Arab dan Eropah melalui Makkah dan Aden. Kerana itu juga, Nusantara turut dikunjungi oleh para pedagang dari Arab sejak abad ke-6 Masehi. Kewujudan perkampungan Arab yang disebut dalam catatan China sebagai "Ta-shih" di Utara Sumatera membuktikan hubungan ini. Apabila Melaka bangkit sebagai pusat perdagangan, para pedagang Islam dari Arab, Parsi dan India turut berdagang di Melaka. Di sini, mereka telah berdagang dengan para pedagang dari seluruh dunia. Nusantara sendiri terkenal kerana hasil rempah ratusnya, selain pelbagai hasil tanaman yang disebut dalam catatan China, India dan Arab.

Tumpuan para pedagang di Melaka antara lain disebabkan oleh kekayaan bumi Semenanjung Tanah Melayu dengan emas yang sudah terkenal sejak zaman Ptolemy (150M) lagi. Diberitakan, kedudukan strategik Melaka di tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa, dengan selat yang sempit dan kestabilan politik sepanjang selat itu, sejumlah 83 bangsa telah berdagang di Melaka. Bahkan, Melaka telah menjadi pasar raya besar dunia yang memperdagangkan barang dagangan di seluruh dunia. Disebabkan faktor ini, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Kerajaan Melaka telah menjadi lingua franca bagi semua pedagang di Melaka pada kala itu. Islam yang mentadbir pula mendapat perhatian Bangsa Melayu sendiri, selain para pedagang. Negara-negara besar seperti China, Majapahit, Siam, India dan Arab pula mewujudkan hubungan diplomatik dengan Melaka demi melindungi kegiatan perdagangan rakyat mereka di sini.

Kedudukan Melaka dalam pemerhatian Barat

Kedudukan Melaka sebagai sebuah pelabuhan dan pusat perdagangan yang unggul bukan sahaja mendapat perhatian masyarakat Timur, tetapi juga orang-orang Eropah di Barat. Ketika pemikiran Mercantilisme sedang berkembang di Eropah, mereka mula mencari sumber-sumber asli dan berfikir mengenai pasaran. Bangkit bersama fahaman ini ialah Nasionalisme dan Imperialisme, yang kemudiannya dicantumkan dalam agenda 3G (Gospel, Glory and Gold) yang ditaja oleh gereja. Seperti yang diungkap oleh W.G Shallebear mengenai kedudukan Melaka ketika itu, "Maka segala pedagang atas angin dan bawah angin sekaliannya datang ke Melaka, terlalu ramai Bandar Melaka ketika itu," maka Melaka menjadi salah satu sasaran Barat dalam melaksanakan agenda mereka. Seorang penulis Portugis yang mengungkapkan mengenai Melaka berkata, "Melaka ialah sebuah pelabuhan yang terkaya sekali dengan ramainya pedagang-pedagang yang berjual beli secara borong dan banyaknya perkhidmatan perkapalan yang datang dari seluruh dunia." 

Daripada anggapan dan pandangan yang begitu kagum dengan keagungan Melaka dalam bidang perdagangan, maka Tome Pires menggambarkan pula kekuatan ekonomi Melaka terhadap dunia dengan menganggap Melaka adalah emporium dunia, di mana apa sahaja barang dagangan yang ada di dunia ini dapat dibeli di Melaka. Walaupun Portugis telah menduduki Tanjung Harapan, Hormuz dan Goa, mereka melihat bahawa untuk menguasai dunia, mereka mesti menguasai Melaka, sama perdagangannya atau politiknya. Seorang pengembara dan penulis Portugis, Duarte Barbosa dalam mengulas mengenai Melaka berkata, "He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice“ (Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia). Hal inilah akhirnya mendorong Portugis menyerang Melaka bagi membolehkan mereka menguasai dunia.

Perdagangan dan dakwah di Melaka

Salah satu sumbangan terbesar aktiviti perdagangan yang berkembang pesat di Melaka ialah berkembangnya dakwah Islamiyah. Sebagaimana peranan Perlak dan Samudera-Pasai sebelumnya, Melaka turut menjadi tumpuan para pedagang yang juga pendakwah dari setiap penjuru dunia. Para pedagang dari Arab, Afrika Utara, Parsi dan India, bahkan China juga telah menggunakan perdagangan sebagai medium dakwah. Pertama, melalui aktiviti perdagangan, mereka menggerakkan serentak kegiatan dakwah, termasuk membawa pendakwah-pendakwah ke Melaka dan negeri-negeri lain. Kedua, para pedagang sendiri menjadi pendakwah bil hal, di mana akhlak mereka semasa berdagang telah menarik orang Melayu kepada Islam. Dan ketiga, kegiatan ekonomi telah digunakan untuk membiayai dakwah, sehingga para pendakwah, ulamak, pelajar agama dan institusi agama termasuk masjid dan Pusat-pusat Pengajian Islam dapat memberi tumpuan kepada kegiatan mereka dengan dibiayai oleh para pedagang.

Kesan daripada peranan para pedagang ini, telah wujud perkampungan-perkampungan Islam di Melaka, sehingga ada orang Islam dari Arab dan India diberikan kedudukan dalam kerajaan, seperti Makhdum Syed Abdul Aziz dari Hijaz dan Tun Ali dari India. Orang-orang tempatan kemudian memeluk Islam dan belajar agama selepas Sultan Melaka memeluk Islam, kesan daripada kekaguman baginda melihat akhlak para pedagang Islam. Keadaan ini membentuk proses untuk meng-Islamkan Melaka. Kemudian, para pedagang di Melaka turut menyebarkan Islam kepada pedagang luar yang berada di Melaka, selain menghantar para pendakwah ke Pulau-pulau Nusantara melalui aktiviti perdagangan. Dari Melaka pedagang dan pendakwah bergerak ke Jawa, Maluku, Sulawesi, Mindanao, Borneo dan lain-lain. Pergerakan para ulamak di Nusantara dalam menjejaki pulau-pulau dibantu sepenuhnya oleh para pedagang yang menumpangkan kapal-kapal dagang mereka sebagai kenderaaan. Berbeza dengan wilayah daratan di Asia Barat, hampir keseluruhan gerakan dakwah di Nusantara berkembang melalui kapal-kapal pedagang. Dalam konteks inilah, kemajuan dan kemakmuran perdagangan di Melaka menjadi pemangkin perkembangan dakwah.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
29 Syawal 1439 / 13 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 16/7/2018