Ruang forum terbuka Dr Zakir jawab tohmahan

Nasional
Typography

UMAT Islam negara ini menuntut agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tidak tunduk dengan desakan sesetengah pihak supaya pendakwah bebas Dr Zakir Naik dihantar pulang ke negara asalnya India amat penting bagi menjamin keselamatan pendakwah tersebut. Keadilan dan karomah insaniah menjadi intipati prinsip asas dan pendirian negara Malaysia mengenai Islam dalam menangani tuntutan pelbagai golongan termasuk mereka yang mahu melemahkan kedudukan agama Islam di negara ini.

Cadangan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy agar Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India supaya hubungan Malaysia dengan India tidak terjejas adalah pandangan tidak berasas. Hubungan diplomatik antara India dengan Malaysia tidak akan terjejas hanya kerana dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. India tidak akan mengambil tindakan diplomatik hanya kerana seorang warganegaranya yang bukan seorang pemimpin politik, bukan pula penjenayah berat, bukan pelampau, serta tidak terlibat dengan aktiviti keganasan. Beliau hanyalah seorang warga yang mahu memilih tinggal di negara lain. Kebimbangan kita bahawa Dr Zakir Naik berdepan dengan intimidasi, perlecehan dan hukuman penjara di negara tersebut jika dia dihantar pulang dan ini akan menghalangnya daripada menjalankan kerja-kerja dakwah , bahkan dinafikan hak sebagai manusia yang bebas.

Sememangnya kerajaan tidak perlu melayan tuntutan golongan yang paranoid terhadap kepetahan dan keseriusan pendakwah global tersebut kerana Dr Zakir Naik tidak membuat apa-apa kesalahan. Dakwaan mereka hanyalah berbentuk spekulatif, prejudis dan skeptikal tanpa dapat mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh. Sewajarnya debat secara sihat diadakan, terutama di antara Dr Zakir dan juga Dr Ramasamy, tokoh DAP yang paling aktif memicu isu ini.

Kes tuntutan terhadap Dr Zakir Naik tidak boleh disamakan dengan kes terhadap Jho Low atau Sirul Azhar yang dituntut di ekstradisi oleh kerajaan kerana mereka jelas melakukan jenayah dan kesalahan besar. Sebaliknya, Dr Zakir perlu diberikan kebebasan memilih tempat pemastautinnya tanpa gangguan mana-mana pihak apatah lagi sentimen agama yang melatari kebencian ini.

Bagi umat Islam, Dr Zakir Naik adalah permata yang bergemerlapan, aset ummah yang sangat berharga. Beliau adalah pembela dan pembahas terkemuka di dunia Islam. Jarang ada manusia sepertinya yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam ilmu perbandingan agama, mampu berhujah bukan sekadar melalui Al Quran dan Hadis, malah mampu mengeluarkan hujah melalui kitab-kitab suci agama lain. Kehadirannya di mana-mana pentas dan bersedia berdebat dengan mana-mana pihak secara spontan begitu dikagumi sehingga ramai yang memeluk Islam kerana hujah Zakir yang interaktif dan memancing pesona.

Bagi menutup mulut para pengkritik Islam dan pembenci Dr Zakir, Perdana Menteri perlu bertindak lebih jauh dengan menginstitusikan pemikiran dan metodologi dakwah Dr Zakir Naik. Beliau perlu diberikan ruang melalui insititusi yang ditaja kerajaan supaya lebih ramai para pendakwah dalam bidang perbandingan agama mampu dilahirkan di negara ini. Selain itu, lebih banyak forum terbuka, dialog agama, wacana silang budaya dan agama, ceramah dan perbahasan perlu dianjurkan melibatkan beliau dengan tokoh-tokoh agama lain diseluruh negara. Ini penting bagi menjawab kesemua tohmahan dan tuduhan terhadapnya, selain membuktikan bahawa kerajaan sedia memberi ruang kepada mereka yang melakukan kebaikan demi agama, bangsa dan negara. – HARAKAHDAILY 15/7/2018

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.