Diskriminasi atau keliru?

Nasional
Typography

LGBT adalah satu kumpulan yang sebenarnya telah lama wujud yang diketahui semenjak zaman Nabi Luth lagi. Ianya ribuan tahun dahulu, bukan dua tiga dekad ini. Mungkin berbeza dari fizikal, tetapi ianya seperti yang sedia kita maklum, berpunca daripada hati dan perasaan yang cenderung untuk menjadi jantina yang berlawanan dengan yang mereka miliki. Ada juga yang rasa puas nafsunya bila mendapat kedua-duanya. Ada yang suka memuaskannya dengan jantina yang sama dan kemuncaknya ada yang merasa seksa batin mereka terlepas apabila menukar terus jantina mereka menjadi apa yang mereka mahukan.

Yang menukar keseluruhan sistem ciptaan Allah itu, tidaklah ramai, tetapi ia berkembang. Apatah lagi dengan bantuan teknologi moden, mereka boleh bertukar kepada jasad yang lebih menarik lagi daripada jasad mereka yang asli. Tetapi paling membimbangkan ialah golongan yang tidak bertukar fizikal, kekal dalam bentuk asal mereka, tetapi semuanya mereka sapu, belakang depan, tiada halangan, hanyalah peluang. Tiada terdetik oleh kita keraguan atas tindak-tanduk mereka. Solat, puasa, zakat dan mungkin umrah dan haji menjadi rutin mereka. Tidaklah berkubu di tempat mereka sahaja, tetapi mereka melata di mana-mana sahaja hatta ada laporan di Madrasah Pengajian Islam juga.

Dalam memahamkan masyarakat berkenaan hak mereka yang perlu kita hormati, kita mesti jelas kepada isu pokok. Isu pokok ialah jika mereka khunsa, atau sememangnya asli berperwatakan begitu, tetapi mereka masih menjalani kehidupan normal yang lain, maka benar, mereka wajib dihormati oleh seluruh lapisan masyarakat. Ini bukan direka oleh manusia atau sekadar kebiasaan kita menghormati mereka sebagai manusia tetapi lebih tegas dari itu, Islam mengajarkan kita hukum berkenaan khunsa. Ada fikah kedudukan khusus kepada mereka. Tiada di dalam kitab-kitab agama lain yang secara khusus membicarakan hak golongan khunsa ini. Begitulah indahnya Islam mengajar hak asasi manusia.

Akan tetapi kita sekarang bukan berdiskusi mengenai khunsa yang ditakdirkan Allah secara semula jadi. Kita membincangkan hal golongan khusna jadi-jadian. Semua agama, bukan sahaja Islam, menolak secara total golongan luar tabi’i ini. Tiada diterima oleh sesiapa sahaja yang waras. Mereka menjadikan alasan hak asasi manusia sebagai perisai diri, pada masa yang sama hak asasi pihak lain, dikesampingkan mereka.

Benar, dosa itu ketika di tempat tertutup, tidak dibenarkan orang lain mengintai-ngintai sebagaimana yang dipesan Allah di dalam Surah al-Hujurat. Begitu juga tauladan yang ditinggalkan oleh Saidina Umar. Beliau diprotes oleh rakyat beliau kerana beliau memanjat rumah rakyatnya bagi mengintai perbuatan dosa rakyat itu. Ia sebagai suatu perlanggaran hak kepada rakyatnya. Tiada hukuman dikenakan kepada rakyat itu kerana perlanggaran haknya oleh Umar, walaupun terbukti rakyatnya melakukan kesalahan. Inilah contoh kehebatan Islam.

Tidak boleh menyamakan kedudukan LGBT dengan cerita Saidina Umar dan ayat al-Quran tadi sedang dalam masa yang sama, LGBT melaung-laungkan perbuatan mereka. Membina rangkaian peminat-peminat mereka, merekrut ahli-ahli baharu, menceritakan pengalaman, berniaga barang-barang mereka, menyediakan tapak-tapak markas mereka, mengisytiharkan akan berkahwin sesama mereka, menunjuk-nunjuk bahagian sulit, maka contoh manakah yang boleh kita samakan dengan riwayat Saidina Umar itu tadi? Dalam Islam, selain saksi dan bukti, pengakuan si pelaku juga antara asbab hukuman dijatuhkan. Adakah kita cuba mendiskriminasikan golongan ini atau kita yang terkeliru dengan apa yang sepatutnya kita lakukan dengan tindakan mereka ini?

Keutamaan kita sekarang ialah membanteras kegiatan ini yang semakin menular dan ia sudah didedahkan kepada masyarakat dengan berani dan tersusun. Semua lapisan masyarakat menyedari kegiatan ini. Ia bakal membawa bencana kepada semua. Paling ditakuti ialah bala dari Allah. Tidak sepatutnya dipesongkan isu ini kepada isu pengamal LGBT menjadi kafir. Ia adalah isu penularan dosa yang besar yang bakal berjangkit dan memusnahkan kehidupan. Jika begitu tanggapan sesetengah orang, biarlah pengedar dadah dengan dunia mereka kerana mereka memproses dadah di dalam makmal tertutup, tidak harus kita mengintai-ngintai kegiatan mereka. Menjual dadah tidak mengkafirkan seseorang. Begitukah cara kita menyelesaikan kekeliruan?

Bilakah lagi kita mahu membanteras kegiatan ini? Adakah ketika LGBT mengetuk pintu rumah-rumah kita baharulah kita tengadah? Kata ahli perang, pertahanan yang paling baik ialah dengan menyerang musuh. Ayuh kita ‘serang’ LGBT dengan hikmah. Jangan dibiarkan mereka berleluasa mengambil wilayah kita atas apa nama sekalipun. Kitalah yang sepatutnya menguasai wilayah mereka. 

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
15 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 15/7/2018