Normalisasi lubang biawak

Nasional
Typography

"ALAH... Ketua Hakim Negara saja pun. Mereka tak boleh buat keputusan sendiri. Tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang juga."

Kalau anda boleh terima hujah ini, lepas ini, anda terpaksa juga terima bila Perdana Menteri (PM) daripada orang kafir. Sebab PM pun tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang.

Anda juga perlu akur bila ditakdirkan Agong pun dipilih daripada orang kafir. Kerana Agong juga tertakluk kepada Perlembagaan.

Ini dipanggil normalisasi. Rakyat sedikit demi sedikit akan menerima kafir sebagai pemimpin. Sehingga hilang sensitiviti terhadap bangsa dan kesedaran terhadap batas agama. Pada ketika itu, bila Perlembagaan diubah, kita sudah tidak akan rasa apa-apa lagi.

Rakyat Palestin sudah menerima nasib sebegini awal lagi. Sewaktu British menjajah Syam (Levant), mereka membenarkan Yahudi masuk ke Palestin. Yahudi yang kaya-raya mula menjual tanah mereka dengan tawaran harga yang mahal. Pada waktu itu mereka sangat berhajat kepada wang. Dalam masa sama, Uthmaniah berhadapan krisis ekonomi dan politik yang teruk.

Mufti Palestin mengeluarkan fatwa haram menjual tanah kepada Yahudi. Namun penduduk Palestin ingkar. Ada Ulamak Su' menuduh Mufti sebagai macai kerajaan, jumud tidak faham realiti semasa, dan mereka-reka pengharaman yang tiada dalam Nas. Ulamak Su' cuba normalisasi kemahuan rakyat yang sudah dikaburkan dengan material

Akhirnya bila Yahudi sudah menguasai majoriti tanah di Palestin, mereka melobi PBB untuk mengiktiraf Israel. Palestin dihilangkan dari peta dunia, barulah mereka menyesal namun tiada apa gunanya lagi.

Nabi sudah menggambarkan bagaimana taktik Yahudi supaya orang Islam mengikut telunjuk mereka. Mereka tak akan buat drastik, sebaliknya sedikit demi sedikit, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, perlahan, halus dan konsisten. Ia strategi normalisasi yang ampuh untuk melekakan umat. Sabda Rasulullah S.A.W:

لَتَتّبِعُنّ سَنَنَ الّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ. شِبْراً بِشِبْرٍ، وَذِرَاعا بِذِرَاعٍ. حَتّىَ لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبَ لاَتّبَعْتُمُوهُمْ" قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللّهِ آلْيَهُودُ وَالنّصَارَىَ؟ قَالَ "فَمَنْ؟

"Kamu akan mengikut jalan orang yang terdahulu darimu. Sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hinggalah kalau mereka masuk ke lubang biawak, nescaya kamu akan turut masuk. Sahabat bertanya adakah mereka Yahudi dan Nasrani? Jawab Baginda: Siapa lagi kalau bukan mereka?"

[HR Bukhari dan Muslim]

29 Syawal 1439
13 Julai 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 13/7/2018