Siapa layak Speaker Dewan Rakyat?

Nasional
Typography

SPEAKER Dewan Rakyat atau lebih tepatnya Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat mempunyai peranan besar dalam memimpin perjalanan persidangan Dewan Rakyat serta urusan pentadbiran yang berkaitan dengannya. Beliau berperanan untuk mengendalikan persidangan Dewan Rakyat dengan dibantu dua orang Timbalannya. Secara umumnya beliau berkuasa mengawal perjalanan persidangan dari sudut kelancaran, agenda yang hendak dibincangkan dan anggota yang dibenarkan berucap.

Misalnya jika ada anggota Dewan mencadangkan usul penangguhan sidang bagi membincangkan perkara penting, maka dia berkuasa untuk membenarkan atau menolaknya. Beliau ada budi bicara untuk menentukan sama ada usul itu memenuhi tiga kriteria: (1) perkara yang tertentu; (2) perlu disegerakan; (3) menyentuh kepentingan awam (Aturan 18). Dalam pengalaman yang lepas, banyak usul begini ditolak atas budi bicara Tuan Yang Di-Pertua tanpa boleh dipertikaikan.

Secara umumnya beliau, dengan kerjasama badan pentadbiran, beliau akan menentukan perjalanan persidangan Dewan Rakyat dari sudut tarikh persidangan, agenda mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, pengendalian proses pengundian dan seumpamanya. Beliau juga boleh memberikan arahan dari masa ke masa kepada Setiausaha Dewan Rakyat berhubung menguruskan perjalanan persidangan Dewan Rakyat.

Ketika persidangan sedang berjalan beliau berkuasa untuk menentukan penangguhan dan pemanjangan tempoh persidangan jika dirasakan perlu. Bahkan dalam isu melibatkan tatatertib Dewan, beliau boleh menghentikan persidangan serta-merta.

Antara peranan besar yang ada pada Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat ialah dalam penguatkuasaan dan pematuhan peraturan persidangan Dewan Rakyat. Keputusan dan ketetapan beliau adalah muktamad. (Aturan 43). Dalam hal ini beliau berhak untuk memberhentikan ucapan anggota Dewan jika perlu. Semua anggota Dewan perlu duduk dan diam ketika beliau sedang bercakap. Bahkan beliau boleh mengambil tindakan penggantungan ke atas anggota Dewan yang melanggar peraturan Dewan. Anggota Dewan yang digantung akan diarahkan untuk keluar Dewan. Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat berkuasa mengarahkan polis atau mana-mana petugas Dewan untuk menguatkuasakan arahannya.

Selain itu Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat juga berhak untuk memberikan kelonggaran dan kebenaran dalam kod pakaian (Aturan 41). Dia juga boleh memberikan kelonggaran ucapan dalam Bahasa Inggeris jika dirasakan sesuai. Walau bagaimanapun beliau perlu mengutamakan Bahasa Malaysia. Bahkan seseorang Tuan Yang Di-Pertua sepatutnya mampu menguasai Bahasa Malaysia dengan baik dan fasih.

Selain itu, Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat juga secara langsung mengetuai Jawatankuasa Peraturan Dewan, Jawatankuasa Pengurusan dan beberapa jawatankuasa lain yang dapat berperanan untuk menentukan hala tuju Dewan Rakyat.

Peranan besar Tuan Yang Di-Pertua adalah untuk mewujudkan suasana perbincangan yang sihat, matang dan berkualiti tinggi dalam persidangan Dewan Rakyat. Kita tidak mahu lagi melihat Dewan Rakyat menjadi medan untuk maki hamun, sindir-menyindir, sorak menyorak dan seumpamanya. Kita mengharapkan anggota Dewan mampu berhujah secara ilmiah dengan berfakta serta memberikan fokus kepada kesejahteraan rakyat dan keunggulan negara. Inilah cabaran besar Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat nanti.

Bagi melaksanakan tugas dan kuasa yang besar ini, Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat perlu mempunyai ilmu yang mencukupi terutamanya dari sudut perundangan, perjalanan mesyuarat dan kenegaraan. Beliau juga perlu mempunyai kemahiran dalam mengendalikan pelbagai watak dan gelagat anggota Dewan. Ketegasan, keadilan dan hikmah dalam membuat keputusan juga memainkan peranan penting bagi seorang Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat. Walaupun beliau mungkin datang dari latar belakang politik tertentu, sebagai Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat beliau perlu mengutamakan kesaksamaan tanpa cenderung kepada mana-mana parti.

Ringkasnya, Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat adalah satu jawatan yang bukan sahaja tinggi dari sudut taraf dan protokol, bahkan mempunyai kuasa yang berpengaruh dalam menentukan perjalanan perbahasan dan sebarang keputusan yang ditetapkan oleh Dewan Rakyat. Oleh yang demikian, pemilihan Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat perlulah dibuat dengan cermat agar mereka yang benar-benar sesuai dan berkelayakan diletakkan pada kedudukan berkenaan.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
12 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 12/7/2018