Apa itu PAS?

Nasional
Typography

TETAMU yang diberkati, datangnya membawa kebaikan pulangnya meninggalkan kekuatan.

Saya menerima kunjungan seorang Pegawai Kerajaan berjawatan sebagai Penolong Pengarah yang berhasrat untuk menyertai PAS minggu lepas. Sambil mencicip isian cawan sebagai menghormati tetamu dengan seadanya kami memulakan perbualan.

Lidahnya petah mencadangkan beberapa perkara untuk dilaksanakan oleh PAS Pahang dan Tanjung Lumpur, menarik cadangannya seindah bahasanya yang teratur. Namun apa yang lebih indah ialah isi hatinya iaitu hasratnya untuk menyertai PAS.

Soalan yang kesekian kalinya dari saya kepada mereka yang nak menyertai PAS "kenapa PAS"? Dia menarik nafas sambil senyum, yang sebenarnya ini bukan pertemuan pertama, wajah jernihnya seringkali menjadi hidangan pandangan saya di majlis-majlis kuliah masjid atau surau.

Jawapannya tidak sama dengan orang-orang yang pernah saya tanyai dulu. "Saya sokong PAS sebagaimana sebabnya Ustaz sokong PAS," katanya sambil ketawa. Lalu dia bertanya kepada saya "boleh saya tahu kenapa Ustaz masuk PAS?", giliran saya pula ketawa. "Nampaknya isi hati kami sama". Kami sama-sama ketawa kecil. Isterinya turut ketawa.

"Kalau kerana duit dan harta saya dah ada semua itu," katanya. Isterinya juga bergaji belasan ribu sebulan. "Kalau kerana pangkat, Ustaz pun tahu kan?", saya angguk kerana saya tahu dia memiliki semua itu. "Kita mesti cari sesuatu yang kita tiada dan yang lebih dari kita miliki," katanya.

Dia ceritakan apa yang berlaku di jabatannya, isterinya pun turut menambah cerita di jabatannya pula. Dia kata "memang benar kepakaran, kemahiran dan kepandaian itu penting untuk mentadbir sebuah negeri, tapi jika tiada taqwa, jujur dan takut kepada Allah S.W.T maka kepandaian itu akan disalahgunakan".

"Jabatan Kerajaan perlukan manusia yang takut kepada Allah S.W.T untuk memimpin, bukan orang takut kepada manusia atau takut kehilangan harta sehingga tunduk kepada manusia walaupun ianya adalah kesilapan dan penyelewengan. Sekaya mana pun sebuah negeri akan melingkup juga akhirnya, kalau tidak zaman kita pasti akan berlaku zaman anak cucu kita nanti".

"Negara dan negeri akan ditadbir oleh orang politik. Orang politik yang menentukan dasar pemerintahan, baik buruk sebuah negara terletak pada orang politik. Sebab itu bagi saya memilih parti politik itu penting dan menjadi keutamaan. Pilihan raya itu sangat penting dan bantu parti politik yang memilih Islam sebagai dasarnya adalah penting dan wajib," katanya.

"Saya tak kata ahli PAS itu perform, tapi saya lihat pemimpin PAS dan ahlinya ramai yang bersungguh dengan Islam, surau dekat taman saya pun hampir semua orang PAS. Yang parti lain itu adalah seorang dua, itu pun bila majlis ilmu pakat hilang belaka. Ustaz yang berceramah pula boleh katakan 100 peratus Ustaz PAS. Secara zahir pun saya nampak bahawa PAS ini sebuah parti yang mendidik ahli dia dengan Islam".

"Saya tak kata semua orang PAS itu baik, tapi saya lihat ahlinya ramai yang baik-baik dan berjiwa Islam. Begitu juga pimpinan PAS, ramainya ulamak dan Ustaz-ustaz dan orang bukan ulamak atau Ustaz pun saya lihat berwatak agama, termasuklah Setiausaha saya, kerani dan budak-budak di jabatan saya, mereka semua baik-baik dan jujur dengan kerja".

"Alangkah bagusnya kalau rakyat Malaysia ini dipimpin oleh orang yang dapat memimpin manusia ke jalan Allah S.W.T, orang yang tegas dengan agama dan dapat mentadbir dengan agama. Saya yakin dalam banyak-banyak parti politik hanya PAS sahaja yang mampu laksanakan agenda Islam ini".

Saya memberinya lima helai borang sebagaimana dikehendaki, dia, isteri dan anak-anaknya. "Cuma buat masa ini saya tak boleh aktif lagi, masuk ahli saja dulu dan saya akan bantu sekadar mampu, ada apa-apa program Ustaz post ke saya, InsyaAllah kalau sempat dan ada kelapangan saya hadir".

Dia tinggalkan RM 1500 "Untuk program ziarah Ustaz, saya sentiasa ikuti FB Ustaz dan anak saudara saya pun selalu ikut program Ustaz. Saya pun kalau ceramah selalu juga datang, mungkin Ustaz tak perasan, duduk dalam gelap," sambil senyum. "Tapi kalau dekat surau itu memanglah saya selalu ada," memang kami selalu jumpa dekat surau.

Sebelum dia berlalu dia sempat bagi semangat "Kalau takdir PAS dapat perintah Pahang, Ustaz jangan bimbang, saya akan bantu dan ramai kawan-kawan saya akan bantu. Cuma PAS kena gandakan usaha agar dapat memerintah Pahang, jumpa dengan semua lapisan masyarakat dan jelaskan matlamat perjuangan PAS. Ramai lagi yang tak faham kerana kekadang ianya terlindung dek fitnah musuh dan juga kelemahan ahli PAS dalam menampilkan imej Islam. Kalau PAS bersungguh beri kefahaman InsyaAllah saya yakin orang akan faham sebagaimana saya faham".

"Terima kasih atas ingatan". "Sama-sama Ustaz dan terima kasih juga atas ilmu yang selama ini disampaikan". Dia berlalu dengan meninggalkan segumpal semangat untuk saya meneruskan tanggungjawab ziarah dan memberi penerangan supaya masyarakat yang tidak mengenali PAS dapat kenal "apa itu PAS". - HARAKAHDAILY 10/7/2018