Tahfiz bantu pembangunan insan bertakwa

Nasional
Typography

BISMILLAH. Saya terpanggil untuk mengulas berkenaan isu cadangan bekas seorang Menteri Umno yang mahu menghapuskan sekolah tahfiz. Pelajar lepasan tahfiz atau Sekolah Agama Rakyat (SAR) ini adalah tenaga yang turut aktif memberikan khidmat kepada masyarakat. Jika dibandingkan dengan pelajar lepasan sekolah biasa tentulah tidak adil kerana jumlah mereka tidak sama.

Sekolah Kebangsaan biasa mempunyai nilai-nilai baik dengan cara dan acuan mereka sendiri. Akan tetapi ia tidaklah akan sama dengan nilai-nilai yang ada pada pelajar-pelajar tahfiz. Mereka dilatih agar memahami al-Quran bukan sahaja mata pelajaran biasa. Rasulullah S.A.W menegaskan manusia yang terbaik adalah orang yang belajar al-Quran dan yang mengajarkannya.

Jangan kita membiasakan diri membandingkan apa yang kita nampak dengan apa yang Allah dan Rasul janjikan. Akibatnya nanti cara pemikiran kita akan menjadi pemikiran Komunis yang mendakwa pemberian adalah daripada manusia, bukan dari tuhan kerana kita tidak nampak tuhan. Keberkatan hidup ini adalah rahsia Allah, bukan ternilai atas manusia.

Rakyat juga harus sedar betapa pelajar-pelajar tahfiz ini adalah aset kepada kesedaran ummah. Mereka hadir bagi membaiki kerosakan masyarakat melalui al-Quran. Akhlak terbaik sebagaimana yang dinyatakan oleh Ummul Mukminin A’isyah adalah akhlak Rasulullah yang berakhlak dengan petunjuk al-Quran. Adakah kita mahu menafikannya?
Saya setuju jika mahu diberikan penambahbaikan kepada Pusat Tahfiz. Maka berilah bantuan, bukan menghapuskan. Jika dihapuskan dan kononnya mahu dibina yang baharu, berapa lamakah masa yang akan diambil? Jika dihina kepada tenaga pengajar yang ada kerana tidak berkelayakan, maka berapa ramaikah sudah tenaga pengajar yang ada dari kalangan guru-guru dari Kerajaan sekarang yang berkelayakan untuk mengajar al-Quran ini? Ikutlah kemampuan sendiri. Mengajar tahfiz ini bukan sekadar menghafal, tetapi juga hukum-hakam bacaannya dan paling utama ialah akhlak mesti menurut acuan al-Quran. Jadi biarlah berpijak di bumi apabila memberikan kritikan.

Saya bimbang dengan arus kebencian kepada golongan agama ini akan menjadi suatu budaya baharu, apatah lagi yang turut terlibat ialah orang-orang atasan. Secara nyata, mereka yang belajar al-Quran untuk menjadi hafiz ini adalah golongan yang baik. Kenapakah golongan ini mahu dibuat musuh? Sudah habiskah musuh yang sepatutnya dimusuhi di luar sana sehinggakan golongan yang baik ini dijadikan sasaran? Janganlah ini semua sebagai tanda hati kita sudah membusuk. Sangat tidak munasabah dengan umur yang semakin hampir dengan kematian, tetapi masih gagal mengenal yang mana musuh syaitan dan mana musuh Allah.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Terengganu
26 Syawal 1439/10 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 10/7/2018