UEC langkau sempadan pendidikan Malaysia

Nasional
Typography

RESPONS tindakan Kerajaan Melaka mengiktiraf lepasan UEC untuk diambil sebagai penjawat awam negeri.

I-Guru meyakini bahawa pendidikan merupakan wadah yang terpenting dalam usaha integrasi bagi mewujudkan perpaduan antara kaum serta pembinaan negara bangsa yang utuh dan harmoni di Malaysia.

I-Guru turut menyokong Laporan Rahman Talib yang mencadangkan penyatuan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk semua kaum di Malaysia sebagai langkah paling strategik mendekatkan pelbagai kaum. Walau bagaimanapun, cadangan ini masih belum menjadi kenyataan.

Sehubungan itu, I-Guru melahirkan rasa bimbang dengan usaha pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang akan terus melebarkan usaha integrasi dan perpaduan ini.

I-Guru berasa sangsi dengan kesediaan pihak Kerajaan Negeri Melaka yang mengambil penjawat awam lulusan UEC yang hanya mahu peperiksaan Bahasa Melayu sahaja yang diwajibkan sebagai syarat pengiktirafan tersebut sedangkan peperiksaan lain masih mengekalkan bahasa Cina. Bahkan kurikulumnya berkiblatkan negara Cina dan Taiwan serta mengekalkan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.

I-Guru berpandangan, pengiktirafan UEC dengan syarat sebegini hanya akan meneruskan dua aliran pendidikan yang berbeza dan seterusnya menyumbang kepada pemisahan ideologi, cara hidup dan pergaulan dalam kalangan rakyat Malaysia.

I-Guru juga menzahirkan rasa bimbang dengan kerapuhan jati diri pelajar yang lahir dari kurikulum yang berkiblatkan negara lain. Bagaimana mungkin semangat patriotisme dapat disemai tanpa bersandar kepada kurikulum nasional sebagai teras pendidikan dan pembinaan jati diri.

I-Guru menyeru agar kerajaan negeri PH bersikap lebih tegas menolak usaha-usaha untuk menghalang perpaduan ini. Kerajaan PH seharusnya mengenepikan perbezaan politik dalam menangani isu ini sekiranya benar-benar komited untuk merealisasikan hasrat perpaduan, pembinaan negara bangsa dan gagasan kemalaysian.

Pendidikan sangat penting untuk mewujudkan perpaduan, semangat patriotisme serta menjamin kestabilan negara. Hala tuju negara dipupuk dan ditentukan melalui pendidikan. Maka kurikulumnya mestilah berasaskan falsafah pendidikan kebangsaan dan dalam kerangka mendaulat bahasa kebangsaan.

Mohd Azizee Hasan
Presiden I-Guru - HARAKAHDAILY 10/7/2018