Perkembangan dan kebangkitan Kesultanan Melaka

Nasional
Typography

LEGASI Empayar Melayu yang ditinggalkan oleh Sriwijaya (682-1100M) pada abad ke-12M memerlukan penyambung yang dapat membina semula kekuatan bangsa selepas diserang Empayar Chola (300-1279M) dari India pada 1025M. Kejatuhan Sriwijaya yang beragama Buddha sebenarnya membangkitkan dua kuasa politik Melayu pada abad ke-13M, iaitu Dharmasraya (1080-1347M) yang beragama Hindu dan Melaka yang telah memeluk Islam. Dharmasraya di Jambi (sebelum berpindah ke Pagaruyung) yang bersekutu dengan Singhasari (1222-1292M), Kerajaan Hindu di Jawa menjadi saingan utama Melaka yang baru memeluk Islam dan bertapak di Semenanjung Tanah Melayu. Ketika Melaka bersekutu dengan Samudera-Pasai untuk membangkitkan gelombang Islam, muncul pula Majapahit (1293-1498M) yang membangunkan Empayar Hindu di Nusantara. Di Utara, kebangkitan Kerajaan Buddha Ayyutthaya (1350-1767M) turut mengancam Melaka, selepas Sukhothai (1238-1430M) merosot. Inilah gambaran persaingan politik-agama di kalangan Kerajaan-kerajaan di Nusantara pada abad ke-13 dan 14M, di mana Melaka adalah salah satu pesaing utamanya.

Kebangkitan Melaka sebagai penyambung Empayar Sriwijaya sebenarnya diperkuatkan oleh faktor Islam. Melaka telah berkembang pesat dalam masa 250 tahun dengan menjadi pusat perdagangan tersibuk dan terpenting, sedangkan dalam meluaskan pengaruh politiknya, Melaka dapat menguasai semula wilayah utama Sriwijaya, khususnya Negeri-negeri pesisir Selat Melaka hingga Segenting Kra. Kekuatan ini sekali gus merangsang kemajuan Islam dalam pentadbiran, pelaksanaan Syariat dan perkembangan dakwah. Dalam mengukuhkan kedudukan ini, Melaka telah membina hubungan dengan Dinasti Ming (1368-1683M) di China, selain Khalifah Abbasiyah-Mamluk (1250-1517) di Kaherah melalui Syarif Makkah, Daulah Othmaniyah (1289-1924M) yang disebut sebagai Sultan Rom dan Kesultanan Delhi (1206-1526M) di India. Ketokohan dan kewibawaan Sultan-sultan Melaka sangat berkesan terhadap kemajuan ini, di samping dukungan besar daripada para pembesar dan ulamak dalam membentuk sebuah Empayar Islam di Nusantara.

Melaka menyambung Legasi Sriwijaya

Sriwijaya adalah Empayar Melayu yang melanjutkan Kerajaan Minanga yang wujud pada awal abad ketujuh Masehi. Empayar Melayu Buddha yang berpusat di Palembang ini menguasai seluruh Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu hingga Segenting Kra, seluruh Pulau Jawa kecuali Jawa Timur, dan Champa di Indo-China. Sriwijaya runtuh pada abad ke12M setelah diserang Empayar Chola dari India pada 1025-1026M dan Dharmasraya dari Batanghari (Jambi) pada 1088M. Keruntuhan Sriwijaya telah menyebab keluarga Dirajanya berundur dari Palembang. Sebahagian daripada mereka ke Pulau Bintan, dan akhirnya berkerajaan di Singapura. Kerajaan Singapura yang diasaskan oleh Sang Nila Utama akhirnya terpaksa berundur ke Melaka kerana diserang oleh Majapahit. Kebangkitan Melaka sebagai sebuah Kerajaan Melayu adalah menyambung legasi Sriwijaya sebelumnya yang merupakan Empayar Melayu terbesar antara abad ketujuh hingga 11M.

Sriwijaya disebut sebagai "Sribuza" dalam catatan Arab, "San-fo-si" dalam catatan Cina, "Yavadeh" dalan catatan Pali dan Sanskerta dan "Malayu" dalam catatan Khemer. Para pengkaji menjangkakan Pulau "Sabadeibei" dalam peta Ptolemy (150M) adalah Sriwijaya. Keagungan Sriwijaya telah mengangkat Bangsa Melayu menjadi kuasa besar di Tenggara Asia dan Bahasa Melayu menjadi Lingua Franca di Nusantara terutama dalam urusan perdagangan, selain menjadi pusat pengembangan Agama Buddha. Atas asas kekuatan ini, para Khalifah Islam telah mewujudkan hubungan dengan Sriwijaya terutama pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz (717-720M). Walaupun Dharmasraya yang disebut dalam Prasasti Grahi (1183M) juga merupakan Empayar Melayu Hindu yang besar, dan pernah menjadi sekutu Singhasari, tetapi ia tidak dapat menahan kebangkitan Majapahit dari Jawa. Yang dapat bangkit menggantikan Sriwijaya sebagai Empayar Melayu ialah Melaka yang berdiri pada 1262M, dengan putera Palembang sendiri yang mengasaskan kerajaannya.

Dari pelabuhan menjadi empayar

Pemilihan Melaka sebagai Pusat Kerajaan Baru oleh Parameswara berkait rapat dengan kedudukan strategiknya sebagai sebuah pelabuhan di Selat Melaka, iaitu di muka Sungai Bertam (sekarang Sungai Melaka). Maka dari bandar pelabuhan inilah Parameswara membina Kerajaan pada peringkat awal, kemudian selepas memeluk Islam dan mengahwini Puteri Perlak yang juga ipar Sultan Samudera-Pasai, Melaka mula dikunjungi oleh para pendakwah dan pedagang dari Arab, Parsi, India dan China sehingga ia dapat mengambil alih peranan pelabuhan Samudera-Pasai di Selat Melaka. Pada zaman kemuncaknya, dikatakan 83 bangsa yang datang berdagang di Melaka, sehingga Tome Pires menyifatkan Melaka sebagai imperium dunia. Beberapa ketika selepas kemunculan Melaka dan tersebarnya Islam, Kerajaan yang baru ini dirundung malang apabila berlaku konflik dalam Istana disebabkan oleh perebutan takhta dan Sultan yang lemah. Sultan Mahkota (1282-1284M) dan Sultan Abu Syahid (1341-1343M) adalah antara Sultan yang tidak berkesan di Melaka, sedangkan Sultan Mohammad Shah (1284-1341M) masih memberi tumpuan mengekalkan kelangsungan Melaka dalam wilayah yang kecil.

Apabila Raja Kassim (Sultan Muzaffar Shah) (1343-1373M) menjadi Sultan pada 1343M, baharulah nama Melaka mulai terkenal dan Islam dijadikan agama rasmi. Para pendakwah mula dikirimkan ke pulau-pulau seluruh Nusantara termasuk Brunei dan Mindanao. Kemasyhuran Melaka telah memaksa mereka menghadapi serangan Siam yang cuba meluaskan pengaruh selepas kebangkitan Ayutthaya pada 1350M. Pada zaman Sultan Mansur Shah (1373-1446M), bagi menghadapi ancaman Siam, Melaka membina hubungan dengan China dan Laksamana Cheng Ho telah melawat Melaka sebanyak tiga kali, sehingga Siam tidak lagi mengancamnya. Pada zaman ini juga Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka telah diwujudkan. Dengan kekuatan yang ada ini, Sultan Alaiddin Riayat Shah (1446-1479M) bukan sahaja mewarisi sebuah Kerajaan yang kuat, tetapi dapat pula baginda mengukuhkan kedudukan dengan melaksanakan Syariat yang lebih tegas, di samping aktiviti dakwah yang semakin rancak. Melaka dapat melahirkan beberapa tokoh seperti Sunan Gunung Jati, Sunan Kalijaga dan Sunan Fatahillah yang mengembangkan Islam di Jawa dan mengasaskan Kerajaan Demak pada 1475M.

Selepas kewafatan Sultan Alaiddin Riayat Shah, Sultan Mahmud Shah (1479-1510M) telah membangunkan Empayar Melaka dengan lebih luas. Negeri-negeri Melayu yang dikuasai sebelum ini oleh Sultan Mohammad Shah seperti Pahang, Sungai Ujung, Kelang dan Selangor, telah diperluas oleh Sultan Muzaffar Shah ke Dinding, Muar, Batu Pahat, Singapura dan Bintan. Sedangkan Bernam, Beruas, Perak, Kedah, Terengganu dan Johor dikuasai pada zaman Sultan Mansur Shah. Sultan Mahmud Shah kemudiannya meluaskan lagi Wilayah Melaka ke Kelantan, Pattani hingga ke Singgora, di samping seluruh Pantai Timur Sumatera dari Aru hingga Jambi. Hubungan diplomatik dengan Kerajaan-kerajaan Islam di India, Makkah, Kaherah dan Rom juga diperkukuhkan, sehingga akhirnya Melaka menjadi sasaran penjajah Kristian Portugis pada 1511M. Akibat serangan Portugis ini, Kerajaan Melaka telah runtuh dan Sultan Mahmud Shah terpaksa berundur ke Muar dan akhirnya mendirikan Kerajaan Johor-Riau.

Tokoh-tokoh utama di Melaka

Sepanjang suku alaf kemunculan Melaka (1262-1511M) dalam politik dan sejarah Nusantara, Empayar Islam ini telah melahirkan tokoh-tokoh besar dalam bidang politik dan juga agama, termasuk tokoh-tokoh di kalangan orang bukan Melayu. Mendahului kegemilangan tokoh-tokoh tersebut ialah Parameswara (1262-1282M) sendiri yang merupakan pengasas dan pembangun Melaka. Kemudian muncul pula beberapa Sultan yang terkenal iaitu Sultan Muzaffar Shah (1343-1373M), iaitu Sultan yang bertanggungjawab meletakkan Islam sebagai agama rasmi Melaka, sekali gus membuka ruang kebangkitan Islam, manakala Sultan Mansur Shah (1373-1446M) pula telah memperkenalkan Hukum Kanun Melaka sebagai undang-undang bertulis berasaskan Islam. Sultan Alaiddin Riayat Shah (1446-1479M) pula dianggap Sultan yang terbaik kerana telah mempraktiskan cara pentadbiran Khalifah Umar al-Khattab (634-644M), sedangkan Sultan Mahmud Shah (1479-1510M) adalah penakluk bagi Empayar Melaka sehingga Selat Melaka dapat dikuasai sepenuhnya.

Selain daripada Sultan-sultan yang berwibawa ini, kekuatan Melaka sangat dibantu oleh para pembesar yang berwibawa sama ada sebagai Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari, Temenggung atau pembesar yang lain. Tokoh-tokoh utama di kalangan pembesar ialah Bendahara Seri Wak Raja Tun Pepatih, Bendahara Tun Perak, Bendahara Tun Mutahir dan Bendahara Tepok. Mereka adalah pentadbir utama mewarnai kegemilangan Melaka. Di kalangan Laksamana, Penghulu Bendahari dan Temenggung yang terkenal ialah Laksamana Hang Tuah, Laksamana Hang Jebat dan Laksamana Hang Nadim. Tun Ali pula merupakan bekas Penghulu Bendahari Melaka yang pernah menjadi Bendahara, manakala Temenggung Khoja Hassan juga adalah antara yang terkenal di kalangan mereka. Di satu sisi yang lain, turut berperanan besar dalam Kerajaan Melaka ialah para ulamak yang menjadi pentadbir agama seperti Makhdum Syed Abdul Aziz, anaknya - Qadhi Maulana Yusof dan cucunya - Qadhi Maulana Munawar yang merupakan pemimpin agama yang utama di Melaka. Maulana Sadar Jahan juga berperanan besar terutama ketika Melaka menghadapi serangan Portugis pada 1511M.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
25 Syawal 1439 / 9 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 10/7/2018