Kerajaan PAS dalam mengarusperdana tahfiz

Nasional
Typography

ALAM siber berdecak hebat hari ini dengan euforia kejengkelan terhadap penyokong Pakatan Harapan (PH), Zainudin Maidin mantan Menteri Penerangan berkenaan cadangan untuk menutup sekolah tahfiz. Pelbagai komentar bergentayangan di alam siber, bukan sekadar menghulur simpati pada institusi tahfiz, malah ada yang berbaur kemarahan pada penyokong Dr Mahathir itu. Serangan netizen seolah berangkai dengan beberapa isu tidak mesra syariah Kerajaan PH yang didominasi oleh DAP dengan jenama Malaysia Baru.

Pengajian tahfiz menjadi fenomena baru tanah air kita dalam dua dekad ini, apatah lagi dengan kegagalan sistem pendidikan arus perdana melahirkan generasi berakhlak. Ibu bapa mencari alternatif dan pendidikan tahfiz mendapat sambutan yang hangat, bahkan akhirnya menjadi fenomena di negara ini. Kelantan dan Terengganu mempunyai jaringan sekolah tahfiz yang sangat meriah sejak dua dekad ini, sama ada di bawah milik persendirian atau didukung oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan sempena Ihtifal Tahfiz an-Nur Setiu baru-baru ini mempertegaskan komitmen Kerajaan Terengganu untuk membantu Pusat Pendidikan Tahfiz dalam usaha membina generasi al-Quran. Terengganu sejak zaman dahulu terkenal dengan pusat-pusat pengajian Islam sehingga melahirkan ilmuan dan ulamak Islam. Menurut Dr Samsuri, aspirasi Kerajaan Terengganu adalah untuk menjadikan Terengganu sebagai Hab Pendidikan Islam negara ini. Kerajaan PAS Terengganu hari ini ingin menyambung usaha yang dibuat oleh Kerajaan PAS sebelum ini (1999-2004), menjadikan pendidikan sebagai satu usaha terancang melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan menjadi pemangkin kepada kemajuan negara. Penulis menganggarkan Terengganu mempunyai 60 sehingga 80 buah sekolah-sekolah tahfiz persendirian dan yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri. Ini termasuk Maahad Darul Quran Rusila yang membuka aliran tahfiz, Maahad Tahfiz Wal Tarbiah Tok Jiring yang diusahakan oleh Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, Tahfiz Kubang Bujuk, Tahfiz an-Nur Setiu dan Besut, Tahfiz Darul Hijrah, Tahfiz Matlail Badrin, Tahfiz Darul Itqan dan lain-lain lagi.

Dalam kita melihat kebangkitan pusat pengajian tahfiz al-Quran di negara ini, jangan kita lupakan peranan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam mengupayakan dan mengarusperdanakan sistem pendidikan al-Quran di negara ini. Sosok ini berjaya membudayakan al-Quran dalam masyarakat, bukan sahaja dengan pengajaran Tafsir al Quran, namun berjaya menggalakkan masyarakat Melayu menghafal al-Quran. Semenjak pulang dari Asia Barat setelah bermukim ilmu, beliau sangat obses dengan pendidikan Islam. Tak lengah dan tak lelah, terus menceburi bidang pendidikan Islam dan bercita-cita untuk membentuk generasi al-Quran di tanah air ini. Sekolah Agama Darul Anuar adalah manifestasi keseriusan beliau dalam membangun pendidikan al-Quran, juga dengan zuriat beliau yang ditekankan pendidikan al-Quran.

Menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, telah membuka ruang yang luas untuk almarhum merealisasikan cita-citanya. Beliau memberikan fokus kepada sekolah-sekolah agama di Kelantan, terutama Maahad Tahfiz yang akhirnya berkembang menjadi fenomena negara ini. Hasrat beliau agar Kelantan kekal dengan reputasi sebagai ‘Serambi Makkah’ yang meranum subur dengan ilmu-ilmu pengajian Islam dan al-Quran.

Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas di kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz al-Quran sama ada yang ditubuhkan oleh Kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak Kerajaan Negeri yang diterajui oleh PAS.

Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al-Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Matlamat penubuhan Maahad Tahfiz Pulai Condong ialah untuk melahirkan generasi yang celik al-Quran secara bersistematik, melahirkan pelajar-pelajar yang berpegang kepada al-Quran dan juga memberi kesedaran betapa pentingnya pendidikan al-Quran bagi mengimbangi tuntutan semasa. Matlamat lain yang ingin dicapai ialah melahirkan ulamak hafiz yang mampu memahami isi kandungan al-Quran serta memelihara al-Quran daripada sebarang bentuk penyelewengan.

Sehingga kini Kelantan mempunyai lebih daripada 100 buah sekolah tahfiz akibat rangsangan dan pemupukan yang berterusan daripada Kerajaan Negeri. Antara sekolah tahfiz yang telah beroperasi ialah Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat di Repek Pasir Mas, Maahad Tahfiz di Kampung Slow Machang Pasir Mas, Al-Imam International Institute di Kubang Kerian, Kota Bharu, Maahad Tahfiz Ummu Qura di Kampung Kolam Kota Bharu, Maahad Tahfiz Sains dan banyak lagi yang didirikan di setiap daerah di Kelantan. Maahad Tahfiz Pulai Chondong merupakan sekolah tahfiz paling cemerlang, bukan sahaja dalam peperiksaan awam, tetapi juga kerana menjadi model untuk kurikulum bagi sekolah-sekolah tahfiz di Brunei, Johor, Selangor, Terengganu dan Pahang.

Kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu wajar melanjuti apa yang Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz tinggalkan, menggerakkan jihad ta’lim sepenuh hati sehingga kefahaman Islam meratai seluruh sektor masyarakat. Menghasilkan para huffaz yang juga sebagai kelompok profesional dan aktivis Islam, bukan sekadar memimpin solat berjemaah tetapi memandu manusia ke arah menegakkan pemerintahan berlandaskan al-Quran. Kelantan dan Terengganu juga wajib merintis penubuhan Jamiah al-Quran Malaysia bagi menampung pendidikan tinggi al-Quran di negara ini. Universiti al-Quran ini mampu membuka peluang pelajar-pelajar daripada negara jiran untuk mendalami ilmu al-Quran seterusnya menjimatkan kos anak tempatan untuk menyambung pendidikan tertiari di dalam negara sendiri.

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat. - HARAKAHDAILY 10/7/2018