Menteri perlu atasi isu sara hidup peneroka Felda

Nasional
Typography

PENEROKA mulai resah apabila mereka tidak menerima pembayaran sara hidup sejak Jun yang lalu. Isu ini mengejutkan mereka kerana tidak menjangkakan perkara ini boleh berlaku selepas Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara.

Mereka yang membuat perubahan besar dalam PrRU yang lepas mengharapkan Kerajaan baharu dapat menguruskan Felda dengan lebih baik setelah Felda menghadapi masalah besar dikhianati oleh pemimpin Umno sebelum ini.

19 Kawasan Parlimen Felda dimenangi PH berbanding sebelum ini hanya 6 dalam PRU13. Mereka menilai sendiri betapa teruknya skandal besar melanda Felda di era pentadbiran Tan Sri Isa Abdul Samad sebelum ini.

Skandal saham FGV, skandal Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang masih misteri kehilangan RM1.1 bilion peruntukan untuk menyiapkan 20,000 unit kediaman kepada anak generasi Felda, isu pembelian hartanah dan hotel mewah, isu pembelian 37 peratus saham EHP di Kalimantan, Indonesia isu ternakan ikan dan bermacam isu lagi.

Atas faktor ini mereka membuat perubahan dan mengharapkan isu langsung peneroka Felda seperti hutang yang diragui sehinggakan mencecah RM5 bilion dan isu aliran tunai Felda dapat diselesaikan oleh kerajaan yang baharu.

Sebaliknya selepas dua bulan peneroka dihantui isu sara hidup mereka tertangguh. Sebelum ini pernah berlaku Felda gagal membayar tunai selama beberapa bulan pada tahun 2016, namum masalah ini diselesaikan dan kini isu ini datang kembali di zaman kerajaan PH.

Warga Peneroka Felda mengharapkan YB Menteri Ekonomi yang menjaga Felda dapat menyelesaikan isu ini dengan kadar segera. Penjelasan juga perlu diberikan berkaitan aliran tunai terkini Felda agar peneroka tidak mendapat maklumat yang salah. - HARAKAHDAILY 9/7/2018

Penulis adalah Pegawai Khas Felda Badan Perhubungan PAS Terengganu.