UEC: Pengiktirafan bermotif politikĀ 

Nasional
Typography

PENGIKTIRAFAN Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh Kerajaan Negeri Melaka menjadi satu lagi langkah Pakatan Harapan (PH) merobek kedaulatan dan ketatanegaraan Malaysia. Ia bakal mengacau-bilaukan sistem pendidikan yang berhasrat murni membina serta membentuk jati diri sebenar warga rakyat dan Negara Malaysia.

Malah, keputusan tersebut hakikatnya tersembunyi sifat perkauman dan 'pelampau halus'. Akhirnya di masa depan ia bakal menggagalkan usaha membina bangsa Malaysia pelbagai kaum. Bahkan, juga akan semakin menjurangkan perbezaan sedia ada, sekali gus mengembangkan pelbagai sensitiviti.

Selain itu, ia turut berpotensi untuk memicu gugatan terhadap keharmonian dan ketenteraman. Mengapa mutakhir ini PH lebih galak untuk memperkasakan unsur-unsur berkaitan perkauman? Jika demikian, tidak ada bezanya dengan perangai Umno-BN sebelum ini. Lebih malang asas-asas negara ini diremehkan.

UEC yang dikendalikan Pertubuhan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) harus kekal sebagai penilaian persendirian pilihan. Sekiranya ia diterima sebagai syarat untuk ke sektor nasional, terlalu banyak dan besar rombakan perlu diadakan terhadap negara.

Natijahnya, Malaysia akan pincang dan menjauhi asal usul serta identiti serta tujuan pembentukannya. Bermula rungkaian terhadap dasar dan sistem pendidikan negara, ia akan menerobos kepada segala sektor lain. Sensitiviti ini seharusnya dibendung dan tidak sewenang-wenangnya diubah mengikut selera politik.

Sikap membisu Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pendidikan dari segera menegaskan pendirian menimbulkan persoalan. Apakah kerajaan sudah hilang 'deria rasa' atau sedang 'diikat' kaki tangan dan mulut? Sedangkan secara pentadbirannya Melaka telah melangkaui semangat Federalisme.

Kami menegaskan sebarang kunci asas negara yang telah termaktub dan masih relevan kini tidak sekali-kali digugat. Agama Islam, Raja-raja Melayu, Tanah Rizab dan Bahasa Kebangsaan adalah teras mendiri dan menyatukan seluruh bangsa Malaysia. Kita tidak harus bertindak 'radikal demokratik' untuk menghancurkannya.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 7/7/2018