Cukup anggap dosa dengan Allah sahaja?

Nasional
Typography

LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) berdosa, kalau buat juga, dosa dengan Allah. Rasuah berdosa, kalau buat juga, dosa dengan Allah. Dadah berdosa, kalau buat juga, dosa dia dengan Allah. Arak berdosa, kalau buat juga dosa dengan Allah. Zina berdosa, kalau buat juga dosa dia dengan Allah. Judi berdosa, kalau buat juga dosa dia dengan Allah. Mencuri berdosa, kalau buat juga, dosa dengan Allah.

Kalau begitu apa tanggungjawab pemerintah? Di mana kitab amar makruf nahi munkar? Kalau alasan seperti ini, maka negara tidak perlu undang-undang. Cukup anggap dosa dengan Allah sahaja. Tunggu balasan di akhirat sahaja!

Konsep amar makruf dan nahi munkar datang dengan satu pakej. Ia tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Di samping didik dan dialog, undang-undang dan pencegahan mesti dijalankan serentak. Matlamat amar makruf nahi munkar tidak akan tercapai tanpa ada kuat kuasa dan pencegahan. Inilah tugas pemimpin kena menjaga agama dan rakyat untuk kesejahteraan dunia dan akhirat. Bukan hendak jaga kemahuan manusia dan sokongan politik semata-mata walaupun bertentangan dengan konsep amar makruf nahi munkar.

Benarlah kata Imam al-Ghazali: “Agama asas, pemimpin penjaga. Sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh. Suatu yang tidak ada penjaga, ia akan hilang”.

Nanti akan ada yang berhujah, ini qias maal mafariq (qias yang tidak betul). Kerana tidak memberi kepuasan kepada pihak mereka. Terpulanglah. Wallahuaklam…

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
6 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 6/7/2018