Pengajaran berharga bagi Menteri berseluar pendek

Nasional
Typography

TINDAKAN Menteri Belia dan Sukan mengenakan seluar pendek ketika menyertai satu aktiviti kecergasan tentu sekali didorong faktor ingin menunjukkan kebersamaan dengan aspirasi anak muda. Sukan telah menjadi fenomena anak muda hari ini. Gym, gelanggang futsal, badminton, taman rekreasi, trek jogging menjadi permintaan tinggi di kalangan anak muda. Sementelah Menteri tersebut sememangnya muda.

Walau bagaimanapun, mungkin sang Menteri tidak menyedari bahawa di sebalik kegilaan anak muda untuk bersukan, kesedaran terhadap agama juga bergerak selari ke depan. Sebab itulah gambar beliau berseluar pendek mendapat kecaman yang hebat daripada masyarakat. Bahkan dia seorang sahaja berpakaian sebegitu.

Kita bukan ingin berbahas mengenai variasi hukum batas aurat. Namun kemarahan masyarakat lebih didorong dengan sentimen adab kesopanan dan juga meraikan mazhab setempat. Pemimpin sebaiknya tidak menimbulkan polemik yang tidak perlu. Keluar daripada khilaf dan mengambil ihtiyat adalah lambang kekuatan taqwa.

Virus Liberalisasi

Jika difahami secara lebih teliti, fenomena ini merupakan barah Liberalisme yang semakin menular. Zaman hari ini adalah giliran Liberalisme dengan versi yang pelbagai menusuk masuk ke minda separa rakyat, sebagai peluru perang ideologi terhadap Islam menggantikan perang bersenjata. Liberalisme adalah penerus kepada ideologi sosiopolitik Nasionalisme yang diperkenalkan pasca Kolonialisme, yang kini tidak lagi digemari rakyat.

Vaksin Islamisasi

Walau bagaimanapun, proses Islamisasi di Malaysia khususnya turut berjalan rancak seiring perang ideologi yang dilancarkan. Masyarakat semakin faham Islam jika dibandingkan sejak pasca Kolonialisme dahulu. Jika dulu Islam hanya di kampung, kini Islam lebih rancak di bandar. Jika dulu Islam hanya diminati golongan pencen, kini Islam menjadi trendy kalangan anak muda. Jika dulu Islam hanya di masjid surau, kini Islam sampai ke konti radio dan pentas TV.

Adaptasi Liberalisme

Perkembangan Islamisasi ini menyebabkan musuh Islam mengadaptasi pendekatan agar terus menawan umat Islam secara halus. Daripada Liberalisme, diperkenalkan ideologi Islam-Liberal. Menerima pendekatan Islam yang selari dengan beberapa pendekatan Liberalisme, dalam masa yang sama mengajak supaya Syariah Islam secara keseluruhan dikaji semula agar selari dengan prinsip Liberalisme. Yang paling penting adalah memastikan segala agenda dan ajaran yang mendorong kepada Syariah Islam ditegakkan di peringkat pemerintahan tidak berjaya. Sekularisme masih menjadi tunjang utama.

Menteri Belia dan Sukan yang baharu ini tidaklah dikenali sebagai pembawa ideologi Islam-Liberal sebelum ini. Bahkan dia bukanlah dari lulusan agama walaupun seorang graduan UIA. Gaya hidupnya juga lebih Liberal. Justeru tidak menjadi pelik jika dia tampil berseluar pendek. Cuma mungkin dia belum memahami situasi untuk mengadaptasi Liberalisme dalam masyarakat yang dipengaruhi Islamisasi ini.

Boleh jadi juga apa yang dilakukan itu adalah percaturan pihak tertentu yang sengaja mahu 'test-market' terhadap sosio masyarakat Malaysia. Mungkin juga sebagai langkah normalisasi Liberalisme secara halus.

Cabaran di medan politik

Di medan politik, pendukung Islam sudah tentu mahu menyaingi populariti yang sedang dibina pemerintah sekarang. Kealpaan dari mendekati rakyat terutama anak muda yang semakin membesar populasinya di negara ini akan menyebabkan PAS secara khususnya terus ketinggalan. Oleh kerana itu PAS juga kini rancak dengan program yang lebih bersifat mendekati anak muda.

Kajian akademik diperlukan

Namun, perlu ditentukan terlebih dahulu pendekatan apakah yang paling tepat untuk digunakan. Adakah dengan mengekalkan nilai-nilai Islam yang menjadi identiti PAS, atau menjadi sedikit terbuka agar dapat 'lepak sekali' dengan anak muda. Khusus menyentuh mengenai hiburan.

Jawapan yang konkrit tidak boleh diberikan. Persoalan ini perlu diperhalusi dengan membuat kajian dan pemerhatian. Perlu dapatkan angka-angka dan data yang jelas apakah sebenarnya kemahuan rakyat dan anak muda.

Hipotesis yang mengatakan anak muda Malaysia sukakan hiburan, anak muda tertarik program hiburan anjuran PAS, ramai mendekati program PAS kerana program hiburan yang ada di dalamnya, dan yang berkaitan dengannya perlulah diukur dengan metodologi akademik. Data dan angka mengenai kesan daripada program hiburan yang dijalankan, golongan sasaran yang ingin dicapai, kesedaran Islam yang berjaya dibentuk, persepsi masyarakat yang bukan hedonis dan sebagainya juga perlu disediakan. Barulah program yang dianjur benar-benar berjaya dan tidak hanya dijalankan atas nama adat atau terikut rentak tarian pesaing politik semata-mata.

Dibimbangi jika tersilap pendekatan, ia bakal menatijahkan impak negatif terhadap PAS. Golongan yang memiliki kesedaran Islam yang semakin membesar populasinya tidak lagi melihat PAS memiliki jati diri Islam yang hakiki. Lalu mereka memilih jemaah yang lebih dilihat berprinsip. Lebih ditakuti, kesilapan mengamalkan pop-Islamisme menyebabkan kita secara tidak langsung menyumbang kepada agenda normalisasi perkara yang tidak Syarie.

Badan kajian; PAS mampu lakukan 

Isu-isu belia hanyalah satu juzuk dari masalah sosial yang perlu ditangani. Banyak lagi masalah sosial yang lain. Belum lagi masuk bab masalah politik, ekonomi, pendidikan, pertanian, keselamatan dan sebagainya. Atas sifat gerakan Islam yang membawa agenda tajdid (pembaharuan) dan islah (pemulihan), PAS perlu menangani masalah itu dengan teliti dan cermat. Usia hampir mencecah 70 tahun ini sepatutnya lebih matang dan profesional dalam setiap tindakan.

Manfaatkan kuasa negeri

Dengan kelebihan menguasai dua Negeri Kelantan dan Terengganu, sepatutnya sudah wujud institut penyelidikan yang besar yang dianggotai pakar-pakar akademik dalam menjalankan kerja-kerja kajian dan penambahbaikan (R&D) dalam gerak kerja. Modul pemerintahan bersepadu seperti WINS2051 di peringkat nasional dan PITAS2030 di Terengganu menunjukkan PAS memiliki cukup kepakaran untuk merangka pelan pemerintahan yang lebih sistematik. Ianya patut dijadikan rujukan utama sebelum sebarang aktiviti dan projek dijalankan.

Siapa mahu cabar Rand Corporation, Brookings ETC? 

Sedarlah bahawa musuh Islam jauh meninggalkan kita dari sudut gerak kerja yang sistematis. Mereka punya badan seperti Rand Corporation, Brookings Institute, CIA dan sebagainya. Belanja untuk R&D sahaja telah melewati angka trillion dollar. Sebab itulah agenda mereka di seluruh dunia berjalan lancar.

Justeru mendukung perjuangan Islam tidak boleh sekadar melepaskan batuk di tangga. Jangan berselindung atas slogan tawakkal dan Allah pasti menolong hingga bersikap acuh tidak acuh. Tiada istilah hit and run. Allah menuntut supaya kita umat Islam berjuang sehabis daya dan ruang. Gembeling segala kekuatan dan tenaga yang ada, agar kita mencukupkan semua syarat-syarat kemenangan Islam.

Kita selalu bercakap mengenai strategi al-Fateh yang begitu teliti dalam menawan Constantinople. Namun apakah kita telah mengambil langkah yang serupa?

22 Syawal 1439
6 Julai 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 6/7/2018