Kenapa ikut Erdogan, sedangkan kita mampu?

Nasional
Typography

MASIH ramai kelihatannya keliru dengan agenda Islam tanpa syariat ini. Saya rasa sangat penting bagi semua pihak diterangkan berkenaan dengan Islam tanpa syariat ini. Mari kita lihat dari sudut yang ringkas bagi memahamkan situasi kita sebagai pendukung perjuangan Islam ini.

Polis yang kita kenali ialah polis yang mempunyai pakaian seragam yang lengkap. Polis memakai baju biru tua, topi khas di kepala, bertali pinggang rapi. Kasutnya berkilat, rambut pendek, kemas, rapi, dan biasanya mereka bersenjata. Ditambah lagi dengan kenderaan khusus mereka, maka kita mengenali mereka sebagai anggota polis secara rasmi. Jika kita ditahan mereka, mungkin kita tidak akan meminta pengenalan dirinya kerana semuanya sudah memadai. Bukan di sini sahaja, malah di seluruh dunia, kita akan kenal anggota polis ini berdasarkan seragamnya.

Berbeza dengan anggota polis cawangan khas yang tidak memakai pakaian seragam. Mereka ini berpakaian seperti orang biasa, terkadang tiada pengenalan diri khas anggota keselamatan kerana menyamar. Jika mereka menahan orang awam, maka mungkin akan berlaku kekecohan kerana mereka tidak berpakaian sebagaimana yang sepatutnya. Mereka terpaksa menerang dengan panjang lebar atau meminta bantuan anggota lain kerana ketidakpercayaan orang awam pada mereka sebagai anggota polis. Dan banyak kes, orang awam juga boleh menipu menyamar dan mendakwa dia sebagai polis.

Begitulah diibaratkan dengan Islam yang kita anuti ini. Islam adalah Islam dan tanda seragam Islam itu adalah mesti mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Inilah dua tanda yang disahkan oleh Rasulullah. Tuntas, di seluruh dunia, hanya itulah Islam yang satu bentuknya. Islam mesti dibawa dengan kesusahan. Jangan diangankan Islam itu mahu dibawa dengan kesenangan. Jangan diimpi Islam itu bakal disambut dengan senyum manis manusia, dan permaidani merah. Islam asasnya ialah amar makruf nahi mungkar.

Carilah Sirah, bermula dari Nabi Adam sehingga sekarang, adakah akan berjumpa dengan jalan yang lain daripada itu? Tidak ada. Kerana amar makruf dan nahi mungkar inilah para pejuang dan pendakwah Islam dihina, dicaci, diugut dan dibunuh. Islam perlukan pengorbanan masa, harta dan terakhir, nyawa sebagai harganya. Ia sentiasa disebut Allah. Tidak juga semestinya Islam itu memerintah baru kita mahu melaksanakannya, apatah lagi duduk di bwah kuasa Kuffar. Islam di kala lemah juga wajib kita perjuangkan.

Jika kita menukarkan pakaian sebenar Islam itu kepada pakaian lain sebagaimana contoh polis cawangan khas di atas, maka kita akan menghadapi kesukaran untuk mengenalkan Islam kepada masyarakat. Mereka akan melihat Islam itu kononnya sebagai agama yang bertolak ansur dengan judi, arak, pelacuran dan segala maksiat yang lain. Jika kita melarang, maka kita pula yang bersalah kerana menghalang mereka menganuti Islam sebagaimana yang mereka fahami. Lihat di Jepun, bagaimana mereka 'mengamalkan' Islam? Bagaikan semua yang di dalam Islam itu dipraktikkan mereka. Tetapi mana perginya syariat? Saya bimbang nanti Jepun akan dikatakan sebagai Negara Islam kerana praktikalnya tetapi tiada syariatnya.

Dinukilkan di dalam al-Quran, ada tiga Nabi yang mempunyai seorang pengikut sahaja. Ada Rasul yang berdakwah selama hampir 1000 tahun, mempunyai 80 pengikut sahaja. Ada Rasul yang digergaji kepala oleh umatnya. Ada juga Rasul yang dilemparkan ke dalam api oleh pemerintahnya. Bermacam ujian dan tribulasi yang dialami oleh para Nabi dan Rasul ini, hanyalah kerana mereka menyeru manusia kepada Allah dengan memperkenalkan Islam sebagaimana sepatutnya.

Tetapi bagaimana susah sekalipun, tidak pernah mereka bersama dengan si pemaksiat dalam menegakkan agama Allah sebagaimana tolakan Rasulullah kepada Musyrikin Makkah untuk di’plural’kan agama Islam bersama Kemusyrikan. Tidak pernah Rasul menukar strategi asas dakwah semata-mata mahu menang. Tetap mereka dengan amar makruf nahi mungkar sehingga mati. Syariat itu bersama dakwahnya. Di sinilah fungsi al-Quran sebagai al-Huda (petunjuk), al-Bayyinah (keterangan) dan al-Furqan (pembeza) melalui syariatnya, gagal difahami oleh orang Islam itu sendiri.

Sahabat yang bernama Khabbab, pernah ditegur Rasulullah kerana tidak sabar dalam berjuang walaupun Khabbab pernah diseksa, dibakar api belakangnya sehingga menitis air tubuhnya. Bagaimana kita? Kita menganggap bahawa kemenangan itu mesti kita rangkul. Kita tidak sedar akan syarat kemenangan itu sepertinya tiada di dalam diri masing-masing. Terlalu jauh kita dengan petunjuk al-Quran. Lalu kita meyalahkan pimpinan dan mulai terliur dengan kemenangan musuh. Inilah penyakit kita yang sebenarnya. Kita mahu segera, kita mahu mudah dan kita mahu kesenangan. Jadilah kita dengan konon bermacam idea dan formula kemenangan, mengubah strategi, tanpa kita mengubah diri mengikut kehendak Allah.

Negara Malaysia ialah negara yang dipuji oleh Negara-negara Arab. Ini kita akui sedikit baik daripada mereka walaupun kita diperintah oleh BN sebelum ini, malah sejak zaman Tun Mahathir lagi. Hakikatnya Malaysia dan Negara-negara Arab itu juga bukanlah terbaik dalam pengamalan Islamnya masih jauh, tetapi mereka mengagumi kita. Antara negara yang memuji kita termasuklah Turki yang begitu Sekular. Namun anehnya, kita yang dipuji Turki, kemudiannya kita pula cuba menjadikan Turki sebagai idola kita dalam membentuk Negara Islam dengan cara mereka.

Tidakkah itu sebagai sesuatu yang pelik jika dikiblatkan Negara Islam yang dikatakan contoh itu, kita merujuk kepada Turki? Oleh itu kita mahu mengikut Turki dengan mengesampingkan syariat kerana kononnya mahu memujuk rakyat dahulu dengan memperkukuhkan ekonomi, mahu membasmi kemiskinan sebelum menegakkan Syariat Islam. Bimbang nanti Islam dipandang hodoh kerana syariat ditegakkan tetapi ekonomi merudum, konon kata mereka. Bukankah semua itu tipu daya?

Soalan yang gagal dijawab ialah, pada kadar berapa peratus ekonomi dikira sebagai baik dan boleh dimulakan Syariat Islam itu? Pada berapa peratus paras kemiskinan yang boleh kita mulakan Syariat islam? Itu semua omong kosong kerana mereka tidak dapat menentukan semua itu. Dapatkah kita lihat strategi ini sebagai ‘downgrade’? Sepatutnya apabila semua bersetuju kita lebih baik daripada Turki, maka kita mesti ‘upgrade’ terus ke hadapan, dan Turki akan terus menjadikan kita sebagai model Negara Islam. Bukan kita ‘U-Turn’ kembali ke belakang dengan mengikut Turki.

Tidakkah kita sedar bahawa waqi’ kita sangat berbeza dengan Turki? Kita sudah lama maju ke hadapan, contohnya sekurang-kurangnya sudah mempunyai Mahkamah Syariah sendiri yang hanya perlu diperkasakan (tetapi gagal diperkasakan oleh BN), tiba-tiba mahu mengenepikan syariat? Kita asyik membandingkan Turki yang Sekular, tanpa kita sedari mereka baharu membina negara. Mungkin sedikit kelonggaran dan kita fahami kekurangan mereka itu untuk mengurangkan Sekularisme. Tetapi Malaysia sudah mempunyai hukum berlandaskan Islam (walaupun masih banyak kekurangan) semenjak tahun 50-an lagi dan hanya memerlukan pengesahan di Parlimen sahaja untuk penambahbaikan. Tegasnya di sini, kita bukan bermusuh dengan Erdogan mahupun Turki, mereka mungkin betul mengikut cara mereka, dan kita di Malaysia pula perlu percaya dan yakin jalan yang kita lalui sekarang, dengan memartabatkan syariat adalah jalan yang paling baik dan betul.

Jadi di mana kita sebenarnya? Kita menganuti Islam ini ikut-ikutan pimpinan sekarang atau kita berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah yang diamalkan oleh para Anbiya semenjak dahulu dengan membawa Syariat Allah bersama mereka? Kita sebenarnya lebih baik daripada Turki jika mengikut syariat. Dan Turki juga mahu melaksanakan syariat, pastinya. Ianya dijamin Allah walau jalan-jalan ranjau, hodoh, perit dan berbagai kesusahan seperti yang dilalui oleh para Anbiya. Anda kata andalah pengikut para Nabi dan Rasul, tetapi anda memilih jalan lain? Kita tidak bersedia dengan ‘tewas’ di dunia sedangkan itulah Sunnah perjuangan dalam Islam. Takut bukan Islam tidak menerima Islam sehinggakan kita sendiri membuang syariat, iaitu unsur utama Islam, sedang hidayah itu milik Allah, ketaatan pula kewajipan kita. Pelik bukan?

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
5 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 6/7/2018