Kempen Kelantanku Bersih

Nasional
Typography

Ikuti temuramah bersama ketua aktivis/Pengarah Kempen KelantanKu Bersih, Dr Muhd Al-Aarifin Ismail.

Dari mana tercetusnya kempen Kelantanku Bersih?

Cetusan idea ni timbul apabila kita melihat di sana perlunya usaha bersepadu untuk mewujudkan negeri yang bersih. Rakyat Kelantan sering kaitkan dengan masyarakat yang pengotor. Walaupun kesahihan kenyataan ini masih boleh diperdebatkan, namun realiti tentang tahap kebersihan di tempat-tempat tumpuan ramai di Kelantan adalah sesuatu yang sukar untuk dinafikan. Menyedari hakikat ini, saya dan rakan-rakan dalam Pertubuhan Amal Perubatan Ibn Sina Malaysia (PAPISMA Malaysia) berbincang untuk cuba menyelesaikan masalah ini. Daripada situ timbulnya idea untuk kita mengadakan kempen Kelantanku Bersih.

Siapakah sebenarnya Kelantanku Bersih ni?

Kempen Kelantanku Bersih ni dicetuskan oleh sekumpulan golongan profesional perubatan dan kesihatan daripada NGO PAPISMA Malaysia, sebuah NGO yang dianggotai oleh kakitangan-kakitangan kerajaan dan swasta dalam bidang perubatan dan kesihatan termasuk doktor-doktor pakar, pegawai-pegawai perubatan, jururawat, pakar pemakanan, dan lain-lain lagi.
Gerakan Kempen KelantanKu Bersih ini bernaung di bawah kerajaan negeri dengan sokongan daripada rakyat pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama serta aliran politik. Setelah gerakan ini semakin diterima ramai, maka penyertaan dibuka kepada semua pihak yang ingin bersama dalam mencapai impian menjadikan Kelantan sebuah negeri bersih. Sehingga kini, tersapat ramai pihak, khususnya NGO-NGO, universiti-universiti, agensi-agensi kerajaan dan sebagainya menyatakan sokongan kepada gerakan ini, dengan pelbagai kempen dan gotong royong telah masuk siri ke-5.

Bilakah mulanya kempen ini?

Kempen ni bermula pada awal pertengah Mei 2018. Tatkala pilihan raya umum baru sahaja tamat. Waktu itu bahan-bahan kempen pilihan raya termasuk bahan-bahan bercetak masih berselerak jalan-jalan raya. Di situlah bermulanya kempen ini.

Sejauh mana keterlibatan/sokongan dari kerajaan kelantan

Kempen ini digerakkan oleh kerajaan negeri Kelantan di bawah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dr Izani Hussin. Ianya digerakkan dengan sokongan padu daripada rakyat Kelantan yang mempunyai kesedaran tentang kepentingan menjaha kebersihan. Mesyuarat atau perbincangan penyelarasan telah diadakan beberapa kali termasuk dengan kehadiran pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Kelantan. Kita boleh simpulkan, suatu hubungan dan sokongan yang padu.

Apa target yang nak dicapai dan apa harapan kepada pembaca?

Untuk makluman semua, pihak Jawatankuasa Kebersihan Negeri Kelantan telah menggariskan bahawa, Kempen Kelantanku Bersih akan dilaksanakan selama 3 tahun (minimum). Kempen ini dibahagikan kepada 3 fasa di mana setiap fasa, mempunyai objektif serta aktiviti-aktivitinya yang tersendiri.
Fasa pertama merujuk kepada Fasa Pendidikan (Jun 2018 - Jun 2019). Fokus utama pada fasa ini adalah untuk mendidik masyarakat tentang amalan kebersihan.
Fasa kedua (Jun 2019 - Jun 2020) pula merujuk kepada Fasa Penguatkuasaan. Pada fasa ini, pihak kerajaan melalui PBT-PBT dengan kerjasama daripada masyarakat akan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap pesalah-pesalah yang melibatkan kebersihan.
Fasa ketiga merujuk kepada Fasa Pemerkasaan (Jun 2020 - 2021). Dalam fasa ini, pihak kerajaan serta seluruh rakyat Kelantan akan berganding bahu dalam pelbagai aspek bagi memastikan negeri Kelantan benar-benar menjadi sebuah negeri yang bersih.
Pembahagian fasa ini bukan bermaksud turutan pelaksanaan, bahkan ia lebih kepada strategi agar gerak kerja lebih tersusun. Penguatkuasaan undang-undang misalnya, akan dikuatkuasakan sepanjang masa sebagaimana biasa. Begitu juga dengan pendidikan dan sebagainya. Penerangan lanjut berkenaan dengan program-program di bawah setiap fasa kempen akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi (FB page) kempen.
Mewakili pihak sekretariat kempen, saya ingin mengajak seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, agama, serta fahaman politik untuk sama-sama terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti di bawah kempen ini. Sama-sama kita realisasikan impian kita semua untuk menjadikan Kelantan sebuah negeri bersih. – HARAKAHDAILY 5/7/2018

b4

b1

b2

b3