Kabinet baharu, siapa boleh ramal dengan tepat?

Nasional
Typography

POLITIK sukar diramal pasca PRU14. Pertama kali dalam sejarah 60 tahun Negara Kerajaan Umno kecundang. Walaupun bukan sesuatu yang pelik di negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Cumanya ianya tidak pernah berlaku.

Tindakan Tun Mahathir juga sukar diramal kali ini. Walaupun kita semua sangat tahu tindak-tanduknya sebelum ini mudah diduga. Kali ini agak berbeza. Dan juga suasana jauh berbeza dengan zaman dia mengetuai Barisan Nasional (BN).

Imbangan kedudukan kaum dalam Kabinet kali ini juga terlihat pemilihan yang berhati-hati dan tidak diterjemahkan dari sudut wakil kompenen parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH). Posisi kaum tidak diambil keutamaan. Ianya lebih kepada kepercayaan Mahathir terhadap individu tertentu.

Penguasaan Sabah Sarawak juga sukar diramal. Pelantikan lima pemimpin Warisan Sabah dalam Kabinet berbanding hanya seorang Menteri penuh dari komponen di Sarawak juga agak menimbulkan tanda tanya strategi Tun kali ini. (Mungkin ada lagi lantikan dari Sarawak)

Penantian tiga lagi Senator sebagai Menteri penuh juga dinanti dan menjadi rebutan serta perhatian semua pihak terutamanya parti politik. Kemasukan YB Saifuddin Abdullah sebagai Menteri penuh juga menarik perhatian. Oleh kerana beliau antara pemimpin Umno yang keluar parti dan dapat kedudukan dalam Kabinet baharu.

Kabinet Tun Mahathir terkini mempunyai 26 Menteri dan 23 Timbalan Menteri, yang mencakupi 27 portfolio tertentu dengan pembahagian dan perkongsian antara empat komponen PH selain wakil tunggal daripada Parti Warisan Sabah.

Menariknya, Kabinet ini diperhati oleh rakyat segala tindak tanduknya. Segala polemik yang tercetus bakal diadili rakyat. Apakah kali ini Tun Mahathir benar-benar bertindak bijak atau sebaliknya.

Seperkara lagi parti yang menjadi perhatian ialah DAP. Kerana sebelum ini sikapnya terhadap Islam dan Melayu menakutkan orang Islam. Apakah kegilaan anti Melayu dan Islam ini akan diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan agenda Kerajaan PH. - HARAKAHDAILY 5/7/2018