Pendakwaan Dato’ Seri Najib

Nasional
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) berpegang kepada prinsip “amar makruf nahi mungkar” dalam semua aspek kehidupan sama ada atas kapasiti individu, kumpulan, masyarakat dan juga sebuah Kerajaan. Prinsip di atas adalah tanggungjawab semua pihak dalam rangka mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang baik lagi menjamin keamanan dan kebahagiaan seluruh rakyatnya.

PAS amat percaya usaha di atas hanya boleh dijayakan dengan berpandukan kepada proses keadilan yang dilaksanakan berteraskan kepada kedaulatan undang-undang (rule of law) serta ketinggian sistem nilai. Proses keadilan ini seharusnya melibatkan semua institusi serta entiti perundangan khususnya pihak Mahkamah, Pendakwaan, Pembelaan serta institusi masyarakat awam termasuk media.

Dalam konteks pendakwaan terhadap mantan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, PAS juga berharap ia hanya bertujuan untuk mencapai matlamat tadi yang dan tidak boleh dikompromi oleh tujuan atau kepentingan lain.

Dalam hal ini PAS berpegang teguh kepada prinsip perundangan dan keadilan Islam bahawa “seseorang adalah tidak bersalah sehinggalah ia dibuktikan bersalah menurut proses undang-undang, innocent until proven guilty. Manakala pihak pendakwaan memikul “beban untuk membuktikan (burden of proof) tuduhan terhadap tertuduh”. Di samping itu mahkamah akan bertindak sebagai pengadil yang akan bertindak secara adil dan tidak berpihak without fear or favour.

PAS berharap proses keadilan terhadap mantan Perdana Menteri ini akan berjalan mengikut lunas undang-undang serta dihormati, dipatuhi dan dipertahankan oleh semua pihak dan golongan bagi memastikan ia memberi keadilan kepada semua, terutama pihak yang dituduh, pihak yang berkepentingan langsung dan masyarakat serta negara amnya.

Walau apa pun keputusan yang bakal diperolehi dalam proses perundangan yang sedang berjalan, PAS berharap ia akan menyumbang secara positif kepada keutuhan, pembaikan dan kematangan kehidupan bermasyarakat dan bernegara kita, selain meningkatkan mutu kewarganegaraan dan keperibadian rakyat dari sudut-sudut yang dimaksudkan di atas.

TAKIYUDDIN HASSAN, JP.
Setiausaha Agung PAS

Bertarikh: 4 Julai, 2018- HARAKAHDAILY 5/7/2018