Perkembangan maju Kesultanan Samudera-Pasai

Nasional
Typography

KEJATUHAN Kerajaan Perlak pada 1292M telah membangkitkan pula Kerajaan Samudera-Pasai yang memerintah selama 254 tahun (1267-1521M) dengan 20 orang Sultan. Sepanjang tempoh suku alaf ini, Samudera-Pasai boleh dikatakan melalui empat fasa kerajaan iaitu zaman penubuhan (1267-1326M), zaman keagungan (1326-1428M), zaman kemerosotan (1428-1468M) dan zaman kejatuhan (1468-1521M). Para pengkaji masih mempersoalkan bilakah tarikh sebenar keruntuhan Samudera-Pasai kerana bukti inskripsi batu nisan menunjukkan Sultan terakhir wafat pada 1517M, sedangkan catatan Portugis mengatakan ia berlaku pada 1521M. Terhenti dari persoalan ini ialah, bagaimanakah Kerajaan Samudera-Pasai berkembang sebagai sebuah Kerajaan Islam yang menyaingi Majapahit dari satu sudut, dan membantu mengukuhkan Kerajaan-kerajaan Islam yang tumbuh sepanjang abad ke-15, dari sudut yang lain.

Untuk menilai secara umum perkembangan kemajuan Kerajaan Samudera-Pasai selama 254 tahun ini, kita dapati tahap-tahap perkembangan yang berlaku pada empat fasa tersebut. Faktor serangan kuasa asing dan pergolakan politik dalaman memberi kesan besar terhadap kemajuan kerajaannya, yang tidak mampu disokong oleh sistem pentadbiran cekap, pelaksanaan Syariat, kegiatan dakwah dan aktiviti perdagangan di pelabuhan. Ternyata faktor kestabilan politik menjadi kekuatan kepada Samudera-Pasai terutama pada zaman Malik az-Zahir II dan Sultanah Nahrasyiyah. Keupayaan kerajaan mengadakan hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa besar seperti khalifah di Kaherah dan Empayar Islam yang lain, termasuk kuasa politik China dapat mengimbangi ancaman kuasa Siam dan Majapahit. Namun, apabila krisis politik bersifat dalaman seperti perang saudara, perebutan takhta dan persaingan pengaruh, ia segera melemahkan Samudera-Pasai secara mendadak, sehingga tidak mampu untuk menghadapi serangan Portugis pada 1521M.

Perkembangan politik dan perluasan Wilayah

Setelah terbentuknya Kerajaan Samudera-Pasai pada 1267M, Sultan Malik as-Saleh (1267-1297M) yang menjadi menantu Sultan Perlak telah memperkukuhkan kedudukannya sehingga kewafatan iparnya, Sultan Makhdum Alaiddin Abdul Aziz Johan Berdaulat (1267-1292M) pada 1292M. Setelah itu, Perlak menjadi sebahagian wilayahnya, terutama apabila Sultan Muhammad Malik az-Zahir (1297-1326M) memasukkan Perlak dalam Kerajaan Samudera-Pasai. Pada zaman Sultan Ahmad (1326-1330), Wilayah Samudera-Pasai semakin melebar dengan jatuhnya Kerajaan Karang Batu di Teuminang ke tangan Samudera-Pasai. Berdasarkan catatan China, Wilayah Samudera-Pasai pada 1412M telah sampai ke perbatasan Kerajaan Aru di selatan, Kerajaan Nakur dan Lide di utara dan Lamuri di Barat. Dengan kawasan yang luas, pelabuhan yang sibuk dan pemimpin yang cekap, Kerajaan Samudera-Pasai pada zaman Sultan Mahmud Malik az-Zahir II (1330-1349M) diiktiraf sebagai wakil khalifah Abbasiyah (1264-1517M) di Kaherah untuk mewakili Alam Melayu.

Kerajaan Samudera-Pasai pada saat pemerintahan Sultan Mahmud Malik az-Zahir II ini dikatakan berada di kemuncak kemasyhuran di mana ia turut dilawati oleh Ibnu Batutah pada 1345M. Pada zaman ini, Syariat Islam telah dijalankan sepenuhnya mengikut Mazhab Syafie. Sultan menubuhkan Majlis Ulamak, melantik Qadhi dan menggerakkan pendakwah untuk menyebarkan Islam ke seluruh Nusantara termasuk Kelantan, Champa, Pattani, Melaka dan Jawa. Kesan daripada kegemilangan ini, Samudera-Pasai telah diserang oleh Majapahit pada 1345-1350M. Majapahit dikatakan cemburu dengan kejayaan Samudera-Pasai lalu melancarkan gerakan menyatukan Nusantara sehingga dapat menjajah Palembang, Jambi, Pagaruyung dan Semenanjung. Kemudian Sultan Zainal Abidin I (1349-1406M ) diculik pula oleh Siam sehingga memaksa Kerajaan Islam membayar ufti bunga emas. Dalam masa yang sama juga, Samudera-Pasai turut diserang oleh jirannya, Kerajaan Nakor sehingga menyebab Sultan Zainal Abidin syahid.

Walaupun Sultan Samudera-Pasai syahid dalam mempertahankan negaranya, Samudera-Pasai telah dapat dipertahankan dan diperintah oleh Sultanah Nahrasyiyah (1406-1428M), di mana kegemilangan Samudera-Pasai dapat dikembalikan dan menerima tiga kali kunjungan Laksamana Cheng Ho antara 1405M hingga 1412M. Selepas itu, ia mulai merosot terutama bila tercetus perang saudara antara Raja Bakoy dan Raja Mustafa. Selepas itu, Samudera-Pasai dipimpin oleh Raja-raja yang lemah, sedangkan pada masa yang sama Melaka telah bangkit sebagai kuasa politik yang baru. Disebutkan bahawa ketika tercetus perang saudara pada 1466-1474M, Sultan Zainal Abidin III (1468-1474M) telah meminta campur tangan Melaka. Selepas kejatuhan Melaka pada 1511M, Samudera-Pasai yang sedang melemah ekoran tertubuhnya Kerajaan Aceh di Lamuri pada 1497M, telah diserang pula oleh Portugis pada 1521M, yang menyebabkan Kerajaan Samudera-Pasai runtuh, sebelum dikuasai oleh Sultan Ali Mughiyat Shah, pendiri Kerajaan Aceh Darussalam.

Kemajuan ekonomi dan perdagangan

Dengan kedudukan yang strategik di pintu masuk ke Selat Melaka mengadap Lautan Hindi, Samudera-Pasai mempunyai kekuatan untuk menggantikan Perlak sebagai pelabuhan yang menghubungkan Timur dan Barat. Pelabuhan yang disebut "Lhoksaumawe" bermaksud teluk yang bergelora pada masa ini dikawal oleh seorang laksamana yang menguatkuasakan Undang-undang Laut. Ketika Samudera-Pasai dikunjungi oleh Ibnu Batutah, pelabuhan dikawal oleh Laksamana Bohruz. Selain kaya dengan sumber bumi termasuk wangian kapor, beras, kayu dan lada, ia juga adalah pengeluar hasil ternakan dan galian seperti emas. Atas sebab itu Samudera-Pasai menerima kunjungan pedagang dari Arab, Parsi, India, China dan Alam Melayu. Salah satu rombongan perdagangan yang besar berlaku pada abad ke-15M ialah apabila Samudera-Pasai dikunjungi oleh Laksamana Cheng Ho dan armadanya pada 1405M, 1408M dan 1412M yang sekali gus membentuk hubungan ekonomi dan politik dengan Dinasti Ming (1368-1644M) di China.

Salah satu pembaharuan penting dalam pentadbiran ekonomi di Samudera-Pasai ialah penggunaan mata wang emas yang dibuat pada zaman Sultan Mohamad Malik az-Zahir. Sejak itu, setiap Sultan mengeluarkan koin masing-masing yang ditulis nama Sultan sama ada dinar (emas) atau dirham (perak). Walaupun Samudera-Pasai telah mencapai kemajuan dalam ekonomi, namun serangan yang dilakukan oleh Majapahit, Siam dan Nakur sepanjang abad ke-14M, diikuti oleh krisis dan perang saudara sepanjang abad ke-15M, telah melemahkan kegiatan ekonomi di sini. Ditambah pula, pada abad ke-15M telah muncul Melaka di Selat Melaka, Pattani dan Brunei di Laut China Selatan, serta Majapahit di Laut Jawa dan Selat Sunda yang menjadi saingan kepada Samudera-Pasai. Ketidakstabilan politik telah memberikan kesan buruk kepada perdagangan di Samudera-Pasai sehingga akhirnya peranan pelabuhannya untuk mengawal selat sempit itu diambil alih oleh Melaka.

Hubungan Samudera-Pasai dengan Kerajaan-kerajaan Besar

Sebagai sebuah kerajaan yang menjadi Pusat Perdagangan Antarabangsa, Samudera-Pasai mempunyai hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa besar terutama dalam dunia Islam. Taqiyuddin Muhammad dalam kajiannya mengatakan Samudera-Pasai mempunyai hubungan politik dengan Negara-negara Islam Ghowri dan Mamalik di India, Parsi dan juga Arab. Kebanyakkan ulamak yang berkhidmat sebagai pendakwah dan pentadbir di Samudera-Pasai adalah berasal dari Arab, Parsi atau India. Ibnu Batutah sendiri mencatatkan adanya pegawai dari India, Syiraz dan Isfahan yang berkhidmat di sana. Khalifah Abbasiyah sendiri mengiktiraf bahawa Samudera-Pasai adalah wakil khalifah di Nusantara, sehingga Raja-rajanya memakai gelaran yang sama dengam Raja-raja di Asia Barat seperti Malik as-Saleh, Malik az-Zahir, Malik an-Nasir dan lain-lain. Dicatatkan juga bahawa Samudera-Pasai turut mempunyai hubungan dengan Kerajaan Othmaniyah yang ditubuhkan pada 1299M, selain dengan Kerajaan-kerajaan di India dalam Kesultanan Delhi. Kehadiran para pendakwah dari Makkah dan India untuk mengembangkan dakwah di Nusantara melalui Samudera-Pasai menunjukkan bahawa hubungan antara Kerajaan Islam ini telah terbina.

Selain Kerajaan-kerajaan Islam di Asia Barat, Samudera-Pasai mempunyai hubungan khusus dengan Kerajaan Melaka, sehingga dikatakan bahawa Sultan Mansur Shah Melaka (1456-1477M) mempunyai hubungan darah dengan Sultan Zainal Abidin II (1428-1428M). Di sebelah Timur, hubungan Samudera-Pasai dengan Siam dikatakan terbentuk pada zaman Sultan Zainal Abidin I (1349-1406M), di mana bunga emas dikirimkan kepada Kerajaan Siam sebagai ufti. Hubungan Samudera-Pasai dengan Majapahit juga dalam bentuk negatif selepas serangan pada 1345M, tetapi kemerosotan Majapahit selepas berkembangnya Islam di Jawa pada abad ke-15, menjadikan hubungan mereka bukan antara kerajaan, tetapi antara Samudera-Passi dan Majlis Dakwah Wali Songo yang ditubuhkan pada 1404M. Untuk menghentikan ufti ke Siam pula, Samudera-Pasai telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Dinasti Ming di China sejak 1405M. Selepas kedatangan Laksamana Cheng Ho sebanyak tiga kali pada awal abad ke-15, Samudera-Pasai mengutuskan diplomatnya ke Beijing pada 1434M. Hubungan baik dengan China, telah membolehkan Samudera-Pasai mendapat perlindungan dari serangan Siam dan juga Majapahit.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
18 Syawal 1439 / 2 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 4/7/2018