Kerajaan Islam Samudera-Pasai

Nasional
Typography

KEBANGKITAN Kerajaann Samudera-Pasai pada 1267M telah memberi cahaya baru kepada Islam setelah merosotnya Kerajaan Perlak yang telah menyumbang kepada perkembangan Islam lebih 400 tahun sebelumnya. Samudera-Pasai yang menerima Islam sejak awal abad ke-11M telah bangkit sebagai sebuah Kerajaan Islam yang baru melalui peranan pelabuhannya yang mengendalikan pedagang dari Arab, Parsi, India, China dan Alam Melayu. Kemajuan perdagangannya telah membolehkan ia bangkit sebagai kuasa politik Islam yang baru ketika Nusantara dikuasai oleh Empayar Majapahit (1293-1527M) yang beragama Hindu. Melalui peranan besar yang dimainkan oleh Samudera-Pasai inilah, Islam telah berkembang di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu, sekali gus meruntuhkan Majapahit melalui gerakan dakwah Wali Songo.

Dalam konteks Samudera-Pasai, para sarjana masih membahaskan bagaimana Islam dikembangkan di wilayah ini, yang kemudiannya menjadi nukleas dakwah Nusantara. Peng-Islaman Meurah Silu disepakati sebagai titik mula kebangkitan Islam dalam Kerajaan Samudera-Pasai, walaupun masih dipersoalkan apakah dalam peristiwa itu baginda masuk Islam atau menjadi pengikut aliran Sunni. Meurah Silu yang bergelar Sultan Malik as-Salleh menjadi watak terpenting dalam sejarah Samudera-Pasai, di mana keturunannya dapat mewarisi sebuah Kerajaan Islam yang kuat sehingga 1521M, hasil daripada kewibawaan beliau merungkaikan krisis dalam Kerajaan Samudera pada 1261M, sekali gus meluaskan pengaruh peribadinya dalam Kerajaan Perlak, sehingga dapat menguasainya selepas 1292M. Dengan kaliber Meurah Silu inilah, Kerajaan Samudera-Pasai menjadi pusat pengembangan Islam bagi Alam Melayu.

Islamnya Samudera-Pasai

Peranan Perlak dalam meng-Islamkan Samudera-Pasai hampir tidak boleh ditolak kerana telah diketahui bahawa Perlak telah mengirimkan para pendakwah untuk menyebarkan Islam di kerajaan-kerajaan kecil sekitarnya sejak abad ke-10M, dan akhirnya berlaku pernikahan antara pemimpin Pasai dengan puteri Perlak. Namun begitu, berdasarkan pelbagai informasi, terutama catatan-catatan dalam kronik Melayu seperti Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu (Silalatus Salatin), terdapat beberapa riwayat berbeza tentang kemasukan Islam ke Samudera-Pasai.

●     Pendakwah Islam kiriman Daulah Fatimiyah

Slamet Mulyana, seorang sarjana tempatan Indonesia dalam tulisannya mengenai keruntuhan Kerajaan-kerajaan Hindu dan kebangkitan Kerajaan Islam di Nusantara, mendakwa Daulah Fatimiyah (906-1179M) pada zaman Khalifah al-Amir bi Ahkam Allah (1101-1130M) telah mengirimkan pendakwah-pedagang yang diketuai oleh Nizamuddin al-Kamil. Mereka tiba di Pantai Timur Sumatera pada 1128M dan mendirikan Kerajaan Pasai. Dikatakan Nizamuddin al-Kamil bertanggungjawab melantik Meurah Silu sebagai Raja Pasai.

●     Pernikahan Raja Pasai dengan Puteri Perlak

Raja Samudera-Pasai, Meurah Silu dikatakan telah dikahwinkan oleh Sultan Makhdum Alaiddin Muhammad Amin Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M) dengan puteri baginda, Puteri Ganggang Sari (Puteri Raihani) bagi mengukuhkan hubungan Kerajaan Perlak dengan kerajaan sekitarnya. Melalui perkahwinan ini, Meurah Silu di-Islamkan.

●     Mimpi bertemu Rasulullah S.A.W

Menurut Hikayat Raja-raja Pasai, Meurah Silu telah bertemu dengan Rasulullah S.A.W dalam mimpinya, lalu diajar mengucap dua kalimah syahadah. Lalu diberikan nama Islam untuknya, Malik as-Salleh. Selepas itu, baginda dapat membaca al-Quran dengan lancar tanpa perlu belajar.

●     Pendakwah kiriman Syarif Makkah

Dalam kebanyakkan sumber menyebutkan bahawa Syarif Makkah telah mengirimkan pendakwah ke Perlak, iaitu Sheikh Ismail dari Hijaz. Ulamak ini kemudiannya disertai juga oleh Raja Muktabar, India, Sultan Muhammad, seorang Arab keturunan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, yang bergelar Faqir Muhammad. Sheikh Ismail telah berdakwah di seluruh negeri sekitar Perlak, termasuk Aru, Deli dan Pasai. Selepas bertemu Sheikh Ismail dan Faqir Muhammad, Meurah Silu memeluk Islam dan membaca al-Quran, diikuti oleh para pembesarnya yang turut memeluk Islam. Inilah riwayat yang dikemukakan oleh Sejarah Melayu.

●     Pendakwah kiriman Kerajaan Ghowri, India

Seorang sarjana, Taqiyuddin Muhammad dalam kajiannya mendakwah Islam yang berkembang di Samudera-Pasai adalah dibawa oleh putera Kerajaan Ghowri dari India, iaitu Ibnu Mahmud (m. 1226M). Anak kepada Sultan Mahmud al-Ghurry (1206-1212M) dikatakan bertanggungjawab mengembangkan aliran Mazhab Syafie di Nusantara melalui Perlak. Beliau mengemukakan teori ini berdasarkan prasasti batu nisan Ibnu Mahmud yang dijumpai di Aceh.

Daripada pelbagai pendapat ini, terdapat beberapa fakta penting, antaranya peng-Islaman Samudera-Pasai oleh Nizamuddin al-Kamil dari Daulah Fatimiyah. Hal ini mempunyai asas berdasarkan Mazhab Syiah yang tersebar lebih awal di Samudera-Pasai. Kemudian, kerajaan ini dikatakan telah "di-Sunnikan" oleh pendakwah kiriman Syarif Makkah, yang menurut Ahmad Jelani Halimi, inilah yang dimaksudkan sebagai "peng-Islaman" oleh Sejarah Melayu. Kemudian baharulah Mazhab Fikah Syafie disebarkan melalui peranan Kerajaan Ghowri. Wan Hussein Azmi, walau bagaimanapun telah menolak semua teori peng-Islaman Meurah Silu ini, kerana mendakwa Islam telah tiba lebih awal dan telah berkerajaan di Samudera sejak 1042M. Jika pandangan Wan Hussein Azmi adalah benar, maka lebih tepat adalah Islam dibawa Samudera oleh Perlak, sedangkan semua kedatangan pendakwah dari Mesir, Makkah dan India berlaku dalam tempoh selepas 1042M untuk mengukuhkan perkembangkan Islam, terutama pada zaman Maharaja Ghiyayuddin Shah (1133-1155M) yang dikatakan dakwah mula berkembang pesat.

Meurah Silu: Pengasas Kesultanan Samudera-Pasai

Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, disebutkan bahawa pada satu ketika, terdapat dua putera di Pasai iaitu Raja Ahmad dan adiknya, Raja Muhammad. Mereka masing-masing mempunyai anak angkat iaitu Puteri Buluh Betong dan Meurah Gajah. Kemudiannya, kedua-duanya telah berkahwin dan mendapat dua putera bernama Meurah Silu dan Meurah Hasun. Setelah wafatnya Raja Ahmad dan Raja Muhammad serta kedua ibu bapa mereka, Meurah Silu berpindah ke Rimba Jeram. Di sini, beliau melihat semut gergasi dan memakannya, lalu menamakan tempat tersebut sebagai Samudera, sedangkan Pasai adalah nama anjing buruannya. Akhirnya negeri tersebut dikenali sebagai Samudera-Pasai. Dalam riwayat lain, dikatakan Meurah Silu adalah putera keturunan Suku Imam Empat (Sukee Imeum Peuet) yang berasal dari Khemer. Keturunan mereka menjadi Raja-raja di Perlak, Indrapurba, Samaindra dan Jeumpa. Sesetengah sarjana mengatakan Meurah Silu adalah keturunan dari dinasti Johan Berdaulat dari Perlak.

Meurah Silu (m. 1297M) menjadi tokoh yang sangat penting dalam sejarah Kerajaan Samudera-Pasai kerana beliaulah yang mengasas kerajaan ini, dan kebanyakkan pengkaji mendakwa beliaulah Raja Melayu yang pertama beragama Islam dengan gelaran Malik as-Salleh pada 1267M. Disebabkan peranan besar Kerajaan Samudera-Pasai dalam menyambung peranan Perlak dalam perluasan dakwah di Nusantara, dengan sendirinya Meurah Silu menjadi tokoh yang sangat penting dalam perkembangan Daulah Islam di rantau ini. Pada batu nisan Malik as-Salleh yang ditemui di Aceh mencatatkan, "Ini kubur adalah kepunyaan al-Marhum hamba yang dihormati, yang diampuni, yang taqwa, yang menjadi penasihat, yang terkenal, yang berketurunan, yang mulia, yang kuat beribadah, penakluk, yang bergelar dengan Sultan Malik as-Saleh". Batu nisan itu mencatatkan tarikh kewafatan baginda pada bulan Ramadhan tahun 696H (1297M).

Samudera-Pasai menggantikan Perlak

Kewujudan Kerajaan Samudera-Pasai dikatakan bermula setelah krisis dalaman Kerajaan Samudera selepas kewafatan Sultan al-Kamil pada 1210M tanpa putera. Selepas 50 tahun berkrisis, Meurah Silu dari Pasai berjaya merampas kuasa dari Sultan Malik an-Nassir pada 1261M, lalu baginda menjadi Raja Samudera-Pasai. Selepas itu, beliau dikahwinkan dengan puteri Perlak dan menjadi Raja pada 1267M dengan nama Sultan Malik as-Salleh. Baginda mempunyai putera dari perkahwinan ini bergelar Sultan Muhammad Malik az-Zahir (1297-1320M). Selepas kewafatan Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul Aziz Johan Berdaulat (1267-1292M), Kerajaan Perlak telah menghadapi serangan musuh, dan ramai rakyatnya berundur ke Samudera-Pasai. Sultan Malik as-Salleh menjadi tokoh penting yang mempertahankan kelangsungan Perlak sehingga kewafatannya pada 1297M. Sejarah Melayu mengatakan ketika ini, Kerajaan Samudera-Pasai mempunyai seorang bendahara agung yang bernama Orang Kaya Raja Kenayan yang giat memperluaskan wilayahnya. Dengan peranan bendahara ini, Sultan Muhammad Malik az-Zahir yang naik takhta pada 1297M telah bertindak mengambil alih kerajaan ayahanda saudaranya di Perlak, lalu diserapkan ke dalam Kerajaan Samudera-Pasai. Dengan itu, bermulalah Kerajaan Samudera-Pasai sebagai pengganti Perlak.

Selain kekuatan kerana kaliber Sultan dan bendahara agung tersebut, Samudera-Pasai ketika ini sudah mulai menjadi pelabuhan yang penting dan mempunyai hubungan dengan China, di samping kesuburan tanahnya. Wilayah Kesultanan Samudera-Pasai ketika ia dibangunkan oleh Sultan Muhammad Malik az-Zahir turut meliputi Gayo dan Aceh Tengah hingga ke Pergunungan Peut Sagoe. Seorang pengembara Perancis, Odoric de Pordenone (m. 1331M) mencatatkan Negeri Samudera-Pasai sebagai kaya dengan beras, emas, tembaga, kayu, lada dan juga binatang ternak. Dengan kekayaan ini dan kemajuan pelabuhannya, Kerajaan Samudera-Pasai telah menjadi pengganti yang melanjutkan legasi Perlak sebagai Daulah Islam yang baru di Nusantara. Ini terbukti kerana Samudera-Pasai dapat memainkan peranan yang lebih besar terhadap dakwah Islam ke seluruh Nusantara, selain pelaksanaan Syariat yang lebih meluas.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
17 Syawal 1439 / 1 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 4/7/2018