Tarif elektrik naik membebankan rakyat

Nasional
Typography

TARIF elektrik pengguna komersial termasuk pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj sebulan di Semenanjung Malaysia akan terkesan ekoran keputusan Suruhanjaya Tenaga mengenakan surcaj tambahan sebanyak 1.35 sen/kWj bermula 1 Julai sehingga 31 Disember 2018.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia sangat prihatin dengan berita kenaikan tarif ini memandangkan Kerajaan juga akan mengenakan sales and service tax (SST) pada bulan September 2018. Walaupun kenaikan tarif ini dikenakan kepada pengguna komersial, tetapi kesan kepada kenaikan kos sara hidup akan dirasai oleh rakyat marhaen di semua peringkat.

Agak menghairankan apabila tarif ini dinaikkan memandangkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM 2.74 billion bagi tempoh empat bulan berakhir 31 Disember 2017. Berdasarkan kenyataan Pengerusi TNB pada Disember 2017, Lembaga Pengarah meluluskan pembayaran dividen 50 peratus daripada Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (Patami), yang berada di peringkat lebih tinggi dari 30 peratus hingga 60 peratus dasar dividen syarikat.

Ternyata bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa dasar yang sama seperti Kerajaan Barisan Nasional (BN) sewaktu memerintah negara. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan melalui TNB dan pemegang saham utama TNB, adalah untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham daripada prihatin kepada kenaikan kos sara hidup rakyat.

Memang benar apabila diumumkan pada Disember 2017 bahawa kadar tarif elektrik pengguna di Semenanjung kekal bagi tempoh tiga tahun bermula pada 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020. Tetapi realiti yang telah berubah pada pertengahan tahun 2018 adalah tarif imbalance cost passed through (ICPT). Tarif ini memang dikaji dan ditukar jika perlu setiap enam bulan. Rakyat harus ambil tahu tentang fakta-fakta sebegini.

Oleh yang demikian, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia mencadangkan agar cara yang lebih baik untuk menurunkan tarif elektrik adalah dengan kaedah pecahkan monopoli agar syarikat-syarikat bersaing dengan sihat untuk membekalkan kuasa elektrik yang murah kepada rakyat. Kerajaan boleh memainkan peranan ini demi keprihatinan kepada rakyat.

Jika dahulunya, ramai yang memperjuangkan isu kenaikan tarif elektrik sewaktu pemerintahan BN, kini suara-suara itu telah hilang. Namun begitu, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia dan PAS melalui Gagasan Sejahtera tetap istiqamah dalam menyebarkan fakta-fakta penting yang merangkumi isu-isu semasa yang membabitkan hak rakyat.

SHAHIR ADNAN 
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
merangkap Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera - HARAKAHDAILY 3/7/2018