SPRM beku akaun Umno

Nasional
Typography

KETIKA rencana ini ditulis belum ada penjelasan SPRM tentang beberapa pembekuan akaun Umno termasuk akaun besar pejabat agungnya.

Khabar yang tersebar ia ada kaitannya dengan aliran dana dari 1MDB.

Kesan dari pembekuan ini Umno tidak dapat memenuhi tanggungjawab kewangannya terhadap urusan harian termasuk gaji kakitangannya bagi yang belum menerima gaji bulan Jun lalu.

Bagi mereka yang Umno majikannya, tiada gaji untuk beberapa bulan mungkin sanggup dihadapi kerana bekerja dengan Umno tidak makan gaji sebagai keutamaan, sebaliknya adalah berkorban kepada parti yang dipercayai mereka demi agama, bangsa dan negara.

Jika Umno yang awal 70 tahun dulu mengorban wang dan harga bagi menghidupkan Umno demi memperjuangkan kemerdekaan, maka jadi cabaran pula kepada pekerja Umno tidak menerima gaji dua tiga bulan setelah ia kalah dalam pilihan raya.

Justeru mereka duduk di Rumah Umno dan dekat dengan pembesarnya tentulah rezeki yang Umno lambakkan kepada penyokongnya direbut dulu oleh mereka. Kebanyakannya tentu banyak duit dan boleh hidup beberapa bulan tanpa gaji.

Itulah pengorbanan namanya dan mereka mesti tabah menghadapi ujian yang baru sekali itu. Rakyat selama 70 tahun semua berkorban kepada negara, maka tiba masanya orang di bawah dagu para pemimpin Umno diuji.

Tetapi bagi keperluan harian dan aliran tunai yang diperlukan, memerlukan jumlah yang banyak, tentulah sakit bagi Umno dengan pembekuan itu.

Jika PAS seteru ketat Umno sepanjang zaman dikatakan dapat 90 juta dari 1MDB, dipercayai ia lebih mudah mengalir kepada Umno. SPRM kini sedang mencari ke mana pergi duit 1MDB hilang berbilion itu?

Yang senang berduit sebelum ini ialah Umno, maka SPRM mahu memastikan dari mana ia dapat duit itu dan tidak mungkinkah dari 1MDB? Yang membekalkan duit ke pejabat Umno itu ialah Presidennya Najib dan orang-orang yang dipercayainya, tidak mungkin duit dari Najib itu 1MDB yang punya.

Bagi membersihkan nama Umno, SPRM bekukan akaunnya.

Oleh kerana PAS dikatakan diberi 90 juta, maka ia boleh didatangi SPRM dan tidak berupaya menolak jika ia datang bertanya mengenainya. Kerana PAS tidak pernah ada akaun berjuta seperti itu, tiada apa yang SPRM hendak bekukan dari akaunnya.

Tapi jika SPRM sangka PAS sorokkan bawah katil atau dalam bantal, maka tiada siapa dapat halang SPRM serbu markas tarbiyahnya dan rumah pemimpinnya.

Maka bersabarlah Umno bila akaun banknya dibeku, kerana SPRM terpaksa mengesan duit yang hilangg itu hingga ke lubang cacing.

Jika polis jumpa bergeti-geti duit dari premis milik Najib, mengambil masa lebih sebulan menjumlahkannya, belum lagi menyiasat dari mana duit itu diperolehi, maka SPRM tentu memerlukan sedikit masa bagi mengetahui ada atau tidak duit 1MDB dalam akaunnya?

SPRM tentu mahu menyelesaikan siasatan secepat mungkin setidak-tidaknya kerajaan Harapan ditumbangkan. Jika Harapan tumbang sebelum selesai, ditakdirkan BN berkuasa semula, nescaya siasatan dihentikan.

SPRM mesti segera selesaikan sementara ia diberi peluang menunaikan tanggungjawabnya.

Jangan bersungut banyak jika SPRM ditekan kerajaan sekarang bertindak terhadap Umno, kerana separuh dari kuasa Harapan itu adalah asalnya Umno juga iaitu PKR dan Bersatu. Dulu mereka bergocoh sesama Umno dalam Umno, sekarang mereka bergocoh dengan Umno dari luar Umno.

Sesudah sekian lama diuji dengan kemewahan, bersabarlah sekejap dengan ujian kesempitan. – HARAKAHDAILY 3/7/2018