Ribuan penduduk Ketengah masih tidak miliki tanah

Nasional
Typography

RIBUAN rakyat yang tinggal di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menghadapi masalah besar apabila rumah yang mereka duduki sejak puluhan tahun yang lalu masih berstatus sewa sahaja.

Seorang penduduk kawasan itu yang tinggal di Bandar Al-MuktafiBillah Shah mendakwa, ia bertentangan dengan perjanjian asal semasa awal penubuhan Ketengah.

“Isu paling besar di Ketengah sekarang ialah perumahan. Dulu perjanjiaan awal (penduduk) boleh hak milik, sekarang tak boleh hak milik, sewa sahaja,” jelas beliau dipetik Buletin Online.

Ibrahim Kassim atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Usop’ berkata, hanya 30 peratus sahaja penduduk yang telah diberikan hak milik.

“Sebelum pilihan raya (umum) ke-13, Ketengah telah menyatakan syarat semua geran hak milik tanah yang diluluskan adalah atas nama Ketengah.

“Apabila keputusan itu dibuat, mana-mana rumah yang (tanahnya) tidak ada hak milik, dia tidak akan jual dan penduduk hanya akan sewa sahaja,” jelas beliau.

Menurutnya, kira-kira lebih 70,000 orang penduduk dalam kawasan Ketengah yang merangkumi lima bandar dari Cheneh hingga ke Bukit Besi.

Rumah2

Rumah penduduk dalam lingkungan lima kilometer dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah masih daif dan miskin walaupun Ketengah telah ditubuhkan lebih 44 tahun lalu.

Ketengah telah ditubuhkan sejak tahun 1973, dan penghuni mula duduk di wilayah itu sejak tahun 1980.

Menurut laman sesawangnya, Ketengah merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang telah diperbadankan pada 12 April 1973 melalui Akta Parlimen Bil. 104/73.

Ia diberi kuasa untuk menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan seluas 443,876 hektar meliputi pedalaman Daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Pada 12 Jun 1993, Kawasan Pembangunan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu seluas 209,199 hektar telah digezetkan melalui P.U.(B) 356 dan pelan warta kawasan No. PW486 sebagai sebahagian daripada kawasan Ketengah.

Ia menjadikan keseluruhan wilayah Ketengah berjumlah 653,075 hektar atau kira-kira satu perdua daripada keluasan Negeri Terengganu.

gHAZALISehubungan itu, Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) PAS Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman menggesa kerajaan Pusat dan negeri menilai semula keputusan tersebut.

Beliau berkata, tidak memberikan hak milik tanah kepada penduduk wilayah terbabit bertentangan dan bercanggah dengan objektif penubuhan Ketengah.

“Ia ditubuhkan untuk kemajuan ekonomi dan sosial kepada rakyat dan orang Melayu Islam khususnya yang tinggal dalam kawasan itu.

“Tanpa pemilikan tanah, orang-orang Melayu akan terus miskin dan merempat dan ia sangat tidak sama serta berlawanan dengan penggubalan Akta Ketengah lebih 44 tahun yang lalu,” tegasnya.

Justeru itu beliau berkata, Ketengah dan kerajaan mesti kembali kepada perjanjian asal sebagaimana yang ditawarkan kepada penduduk.

“Mesti kembali kepada perjanjian asal, mana-mana penduduk yang tinggal dalam kawasan Ketengah selama lima tahun.

“Dalam tempoh itu adalah tertakluk dengan perjanjian sewa beli dengan syarat bayaran berterusan akan dapat tawaran jual beli dengan perjanjian baru,” jelasnya.