Kembalikan peranan asal LPN

Nasional
Typography

CADANGAN untuk menamatkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam industri beras adalah satu langkah tepat dan selaras dengan tuntutan PAS sebelum ini.

Tujuan asal penswastaan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) sehingga menubuhkan Bernas pada tahun 1994 adalah untuk menguruskan simpanan stok negara secara sistematik, menstabilkan harga beras dan menjaga kebajikan para pesawah di samping memperoleh manfaat ekuiti daripada penswastaan tersebut.

Namun akhirnya, Bernas telah didominasi oleh pihak korporat sepenuhnya pada tahun 2014 setelah dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia dan menjadi institusi yang berorientasikan keuntungan semata-mata.

Mana mungkin sebuah syarikat persendirian dipertanggungjawabkan untuk lebih mengutamakan kebajikan sosial pesawah berbanding mengaut keuntungan syarikat jutaan ringgit setiap tahun? Matlamat asal Bernas telah tersasar dan tidak ada institusi khas yang berwibawa untuk membela nasib mereka.

Terlalu banyak isu yang meliputi industri padi dan beras di negara kita. PAS berharap agar tindakan menamatkan monopoli Bernas adalah langkah awal untuk memulihkan secara keseluruhan pelbagai masalah yang membelenggu setiap rantaian pembekalan dan permintaan beras di Malaysia.

Kita tidak hanya berhadapan dengan masalah pengimport tunggal beras sahaja, tetapi juga isu subsidi dan kos input pesawah, masalah kewangan pengilang dan pemborong, kawalan mutu serta kegagalan memenuhi sasaran Tahap Sara Diri.

Oleh yang demikian, penamatan monopoli Benas adalah aspek kecil yang perlu ditanggapi berbanding desakan solusi yang lebih menyeluruh. Ekoran itu, kementerian juga digesa untuk menilai semula salah satu pilihan yang dilihat lebih baik ketika ini iaitu mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) sebagai sebuah badan kawal selia yang lebih berkesan.

Di samping itu, LPN juga harus diberi mandat yang lebih luas untuk memantau setiap rantaian bekalan dan permintaan dari jelapang padi hingga ke pinggan rakyat.

PAS bersedia untuk bertemu dan berbincang bagi mencadangkan pelan yang konstruktif sementara pihak kementerian sedang membuka cadangan awam terhadap model baru pembekalan beras di Malaysia.

Kami sangat berbesar hati untuk berkongsi pandangan demi memastikan industri ini kekal ampuh seterusnya boleh meningkatkan tahap sekuriti beras pada tahap terjamin.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
14 Syawal 1439 | 28 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 28/6/2018