DAP bayangi Malaysia Baru?

Nasional
Typography

NEGARA ini sedang bergerak menelusuri road map yang dikehendaki oleh DAP. Ketika Presiden PAS memberikan ingatan tentang bahayanya jika ahli Parlimen yang bukan Islam lebih ramai daripada ahli Parlimen Islam, kamu pandang sebelah mata peringatan itu. Kamu tak peduli dan bahkan kamu hina-hina dan rendah-rendahkan pandangan beliau. Sekarang kamu lihat.

Sebagai seorang pemimpin tertinggi sebuah parti Islam, Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) memberikan pandangan dan peringatan bersumberkan peringatan Allah dalam al-Quran. Tapi kamu kata apa TGHH tahu pasal politik. Dia hanya layak mengajar di masjid dan surau-surau sahaja. TGHH bukan Nabi mahupun Rasul. Tapi beliau membacakan peringatan Allah dari Quran yang dibacakan oleh Rasul kepada kaum Baginda.

Hancurnya kaum yang terdahulu kerana membelakangkan peringatan para Rasul yang didatangkan dari Allah. Rasul diremehkan oleh mereka dan diperolok-olokkan. Kita sedang melalui ulangan fasa-fasa tersebut.

Waspadalah wahai kaumku. Jangan dikeranakan keghairahan kamu berpolitik dan berpesta kemenangan menyebabkan kamu lupa peringatan Allah. Kalimat-kalimat kufur dinobat dan dimuliakan sedangkan kalimat Allah dibelakangkan. Aliran pemikiran manusia diagung-agungkan dan dianggap paling sesuai, sedangkan kalimat aqidah dianggap kolot dan terkebelakang. Hasilnya orang-orang yang jahil agama dimuliakan dan orang-orang soleh yang berpegang teguh kepada agama dipermainkan.

Kami tidak terkejut dengan fenomena itu. Kerana semuanya telah dilakarkan Allah dan Rasul-Nya dalam al-Quran dan al-Hadis. Kami hanya ingin berkongsi dengan kamu wahai kaum, bangsa dan saudaraku tentang peringatan itu. Kubur kita memang lain-lain dan masing-masing, namun Mahsyar kita nanti dan Sirat adalah sama.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 28/6/2018