Tindakan Guan Eng bercanggah manifesto PH

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah memandang berat tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang cuba mengangkat bahasa Mandarin dalam urusan rasmi Kementerian Kewangan dan menyifatkan tindakan itu bercanggah dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan yang mahu memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahaya berkata meskipun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengeluarkan kenyataan mendakwa tindakan Lim sebagai 'kesilapan yang kecil' berhubung kontroversi tersebut namun, Ummah berpendapat kesilapan kecil itu dibuat sekiranya tanpa niat.

"Hal ini dalam kenyataannya (Lim Guan Eng) di ruangan Facebook bertarikh 24 Jun 2018, yang ditulis dalam bahasa Cina semata-mata yang boleh diterjemah menggunakan 'auto translation', Lim secara terang-terangan menyatakan antara lain "Selain bahasa Melayu dan Inggeris, pegawai-pegawai kerajaan harus membiasakan diri menguasai bahasa Mandarin dan bahasa ibunda yang lain.

"Ummah ingin mengingatkan bahawa Suruhanjaya Reid sebagai suruhanjaya yang berperanan mengesyorkan perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, perenggan 171 laporannya pada tahun 1957 dengan tegas menyatakan ucapan bahasa Cina dan India seharusnya dielakkan selagi mungkin, bukan dijadikan sebagai aturan umum untuk urusan rasmi," katanya.

Beliau berkata demikian mengetuai satu sidang media khas gabungan badan bukan kerajaan Islam (NGO) yang diadakan di Pejabat Muafakat, di sini semalam yang turut dihadiri oleh Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat, Pengamal undang-undang yang juga aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Aidil Khalid, Timbalan Ketua Sekretariat, Kamaruzaman Mohamad, Ketua Eksekutif MAPPIM, Mohd Zai Mustafa dan ramai lagi.

Tambahnya, lebih biadap lagi apabila tular di media sosial satu video sidang media Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran yang menjawab soalan daripada wartawan dalam bahasa Tamil.

"Kebiadaban dan kelancangan seperti ini perlu dihentikan dengan serta-merta. Jika pun soalan diajukan wartawan dalam bahasa etnik, maka sebagai menteri yang mewakili kerajaan Malaysia bertanggungjawab memberikan penerangan dan jawapan dalam bahasa kebangsaan yang difahami oleh rakyat keseluruhannya," katanya.

Mewakili 300 gabungan NGO, Aminuddin mengajak semua mengingat kembali peristiwa yang ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan ketika memutuskan kes Merdeka University Berhad lawan kerajaan Malaysia pada tahun 1982 yang menekankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi teras penyatuan rakyat berbilang kaum. - HARAKAHDAILY 27/6/2018